PETALING JAYA: Enam kartunis yang pernah memenangi anugerah
menyatakan sokongan mereka kepada kartunis politik Zunar, mendesak
kerajaan Malaysia membatalkan sekatan perjalanan yang dikenakan
terhadapnya.
“Hak asas kebebasan bersuara dan bergerak Zunar perlu dihormati
menurut Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik yang
ditandatangani Malaysia,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di New
York.
Enam kartunis itu ialah Patrick Chappatte dari New York Times, Jeff
Danziger dan Ann Telnaes (The Washington Post), Liza Donnelly (The New
Yorker dan CBS News), Nicolas Vadot daripada Belgian daily Le Vif dan
Robert Russell yang mengetuai Cartoonist Rights Network International
(CRNI).
Sokongan solidariti itu dikeluarkan selepas Zunar atau nama
sebenarnya Zulkifli SM Anwarul Haque memfailkan semakan kehakiman di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Disember untuk mencabar sekatan
perjalanannya, menamakan ketua pengarah Jabatan Imigresen dan ketua
polis negara dalam permohonan itu.
Zunar dilarang menghadiri satu forum di Singapura pada 17 Oktober
apabila pegawai imigresen di Lapangan Terbang Kuala Lumpur KL
memberitahunya beliau berada dalam senarai hitam perjalanan.
Beliau kemudian diberitahu arahan sekatan ke luar negara itu dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Zunar, yang terkenal menghasilkan karya satira terhadap pemimpin Umno
menerusi kartun, berdepan 9 tuduhan hasutan. Lima daripada karyanya
diharamkan kerajaan.
Dalam kenyataan itu, 6 kartunis berkenaan mendesak Putrajaya
membatalkan sekatan perjalanan terhadap Zunar dan menggugurkan tuduhan
hasutan.
“Dengan melukis dan membuat komen mengenai ehwal semasa dengan bakat,
kebiadaban dan humor, kartunis sepatutnya diberikan kebebasan bersuara.
“Zunar, sapa seperti kartunis editorial lain yang diancam,
dipenjarakan atau dipaksa melarikan diri kerana lukisan mereka, layak
mendapat sokongan penuh masyarakat antarabangsa,” katanya.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan