Home » , » Pendirian AMANAH Berhubung TPPA

Pendirian AMANAH Berhubung TPPA

Written By Wadah Baru on Ahad, 24 Januari 2016 | 10:10 PG

OLEH KHALID ABD SAMAD

Masih ramai yang bertanya berhubung sikap AMANAH terhadap TPPA. Sudah pasti mereka tidak menyedari hakikat bahawa AMANAH telah lama terlibat dalam beberapa program membincangkan TPPA dan telah juga menyuarakan bantahan terhadapnya.

Akan tetapi sebagai sebahagian dari strategi AMANAH, kami telah bersetuju supaya pihak NGO menjuarai isu ini supaya ianya tidak dilihat sebagai isu yang mempunyai apa-apa agenda atau kepentingan politik.

Bantahan terhadap TPPA telah turut disuarakan oleh rakan-rakan kami dalam Pakatan Harapan dan dalam satu kenyataan akhbar di pejabat PKR pada 19 Januari lalu, Pakatan Harapan telah menyuarakan pendiriannya. Mungkin pendirian kami bersama Pakatan Harapan tidak begitu mendapat perhatian sehingga masih ramai yang tertanya-tanya.

Oleh itu kami mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan pendirian AMANAH seperti berikut :-

1.    Kerajaan dituntut supaya tidak menandatangani perjanjian TPPA pada 4 Februari ini. Ini adalah kerana ianya akan menggadaikan kedaulatan negara dalam beberapa aspek sambil mendatangkan kesan buruk terhadap ekonomi negara khususnya terhadap syarikat-syarikat tempatan yang tidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat antarabangsa. Pada masa sama ianya akan mendatangkan kesan buruk juga terhadap kos kehidupan rakyat khususnya yang berkenaan dengan hak milik dan hak cipta intelektual, lebih lebih lagi dalam kos perubatan.

2.    TPPA lebih dilihat sebagai perjanjian yang ingin melindungi kepentingan pelabur dan bukan mendatangkan keuntungan perdagangan. Ianya seolah-olah menganggap keuntungan pelabur adalah terjamin dan perlu sentiasa diutamakan.

3.    Pada masa sama, ianya juga dilihat sebagai perjanjian yang mempunyai tujuan dan matlamat politik mengikut kepentingan Amerika Syarikat. Melaluinya Amerika mengharapkan tapak pengaruh yang semakin kukuh di kawasan Asia Timur demi menghalang kemaraan pengaruh China. Dasar tidak berpihak Malaysia yang sekian lama terlaksana mungkin terjejas melaluinya.

4.    Dilihat juga bahawa perbahasan berhubung TPPA masih belum selesai sepenuhnya di pihak negara penggubalnya sendiri ia itu Amerika Syarikat apabila kedua-dua calon Presiden samada dari Demokrat mahupun Republikan tidak senang dengan perjanjian tersebut. Oleh itu kegejolohan kerajaan untuk menandatanganinya sangat dipertikaikan.

5.    Berpandukan keadaan di atas, maka Pakatan Harapan mendesak supaya sidang khas Parlimen pada 26 dan 27 Januari ini digunakan untuk membahas persoalan penyelarasan bajet dan potongan-potongan yang dicadangkan termasuk pemotongan biasiswa JPA. Kesan pemotongan perbelanjaan dalam usaha penyelarasan bajet ini dilihat lebih penting dan lebih semasa berbanding TPPA yang tidak perlu disegerakan untuk ditandatangani.

6.    Berhubung demonstrasi TPPA yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 23 Januari ini, pihak AMANAH menggalakkan ahli dan penyokongnya untuk menyertainya sebagai tanda protes terhadap perjanjian berat sebelah dan tidak adil ini demi memaksa kerajaan untuk tidak menandatanganinya.

Sekian.

“Harapan Baru”

KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger