Oleh Minda Jentayu
Jika
kita menggunakan istilah “Leadership of the Clergy” untuk merujuk
kepada amalan kepimpinan PAS, ia mungkin akan dirasakan janggal.
Bunyinya seolah-olah satu konsep yang diambil dari agama lain di mana
wujudnya pembahagian diantara golongan “clergy” dan golongan “lay” atau
orang-orang biasa. Namun, itulah hakikat konsep kepimpinan ulama. Ia
sangat asing pada Islam dan sebenarnya lebih hampir pada fahaman sekular
yang membahagikan di antara urusan agama dan duniawi. Ia seolah satu
langkah ke belakang atau “rollback’ yang akan memundurkan PAS.
Namun, implikasi dari perkembangan yang berlaku pada Muktamar PAS ke 61
bukan sekadar satu perubahan semantik semata-mata. Ia juga mempunyai
implikasi strategik yang amat ketara. Malahan, ia merupakan kemuncak
strategi membina kembali “containment” pengaruh PAS dan melemahkan
Pakatan Rakyat.
Sebelum PRU 1999, pengaruh PAS dilhat sebagai terbatas. Prestasi
pemimpin-pemimpin PAS di luar Kelantan amat tidak menentu. Adakalanya
menang dan adakalanya kalah dalam pilihanraya. Bagi Umno, PAS diterima
sebagai “necessary evil”.
Dengan adanya PAS, Umno dapat memaparkan dirinya sebagai golongan
sederhana. Dalam konteks hubungan antarabangsa, PAS boleh digunakan
sebagai jembalang untuk mengingatkan pengkritik, sekiranya Umno lemah
Malaysia akan jatuh kepada golongan fundamentalis agama. Pendekatan
strategik yang digunakan dalam menanggani PAS ialah pendekatan
“containment”. Biarkan PAS bertapak di kawasan-kawasan tertentu,
khususnya di negeri-negeri Pantai Timur. Biarlah PAS wujud dalam
“sphere of influence” yang terbatas dan terbendong ini.
Prestasi ulama PAS pula tidaklah begitu memberansangkan. Walau pun
mampu memberi ceramah dan pidato berapi-api serta mengistiharkan
berbagai hukum, mereka umumnya tidak berkesan dalam Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri. Kebanyakan mereka tidak mampu membahaskan isu-isu dasar
dengan berkesan. Kalau ada pun, sekadar membuat saranan umum memgenai
perlu kembali kepada Islam, perlu ikut sistem ekonomi dan pendidikan
Islam tetapi tidak melebihi dari itu.
Dalam isu-isu berkaitan dasar fiskal, mengenai strategi merubah ekonomi
Malaysia dari ekonomi yang dipacu pelaburan kepada ekonomi yang dipacu
inovasi dan bagaimana meningkatkan pelaburan, golongan ulama umumnya
mati punca. Demikian juga, apabila muncul skandal-skandal mega golongan
ini juga kelihatan ibarat rusa sesat di tengah pekan. Sama ada skandal
BMF, Maminco, Perwaja atau skandal spekulasi matawang Bank Negara yang
berlaku 20-30 tahun dahulu mahupun skandal-skandal yang mutakhir seperti
skandal PKZ, MAS, 1MDB dan NFC, golongan ulama nyata tidak dapat
menguasai isu-isu semasa ini. Mereka lebih selesa membisu dalam isu-isu
sebegini.
Umno menganggap adalah memadai dengan pendekatan “containment” terhadap
PAS. Ini berlarutan sehinggalah dua perkembangan yang membimbangkan
Umno. Pertama ialah perkembangan politik selepas pemecatan Anwar Ibrahim
dari kerajaan pada tahun 1998. Ia menyaksikan lonjakan aktivitisma
politik di kalangan rakyat Malaysia.
PKR masih belum wujud, ramai di antara aktivis Melayu menyertai PAS.
Ini termasuklah golongan professional. Penyertaaan mereka ini membawa
beberapa perubahan penting kepada PAS. Golongan ini lebih canggih dari
segi pemikiran politik dan keupayaan menanggani isu-isu semasa. Mereka
dapat mengolah isu dan idea dalam bahasa dan gaya yang mempunyai daya
tarikan kepada golongan kelas pertengahan Melayu. Golongan ini juga
selesa menjalinkan hubungan dengan golongan bukan Islam, sama ada
dengan DAP atau NGO-NGO yang turut disertai bukan Islam. Golongan ulama
sebaliknya lebih bersikap “insular”. Mereka jarang sekali menyertai
program-program bersama yang diwujudkan parti-parti Pakatan Rakyat.
Dari segi aktivisma, golongan ulama lebih selesa dengan program-program
dalaman. Sebaliknya, golongan professional lebih aktif dalam ruang
lingkup kegiatan-kegiatan yang lebih luas. Ini termasuklah dalam isu-isu
seperti reformasi pilihanraya dan hak asasi manusia. Inilah sebabnya
pemimpin-pemimpin PAS dari golongan professional lebih ramai menghadapi
dugaan ditangkap dan dipenjarakan. Golongan ulama lebih selesa berjuang
di medan ceramah sedangkan golongan professional yang selalu berada di
barisan hadapan dan menghadapi berbagai ujian dan ibtilak.
Sekiranya
perjuangan para anbiya dipenuhi dengan dugaan dan ujian, tidak sukar
untuk melihat siapakah yang lebih hampir pada perjuangan para anbiya.
Perkembangan kedua ialah PRU pada 2008. Akibat dari jalinan hubungan
dengan golongan bukan Islam, PAS mula diterima masyarakat bukan Melayu
dan bukan Islam. Semakin ramai pengundi bukan Melayu yang memberi undi
kepada PAS dan membolehkan PAS menang kerusi-kerusi di luar Pantai Timur
dan khususnya di kawasan-kawasan bandar.
Hasil PRU 2008 dan 2013 menunjukkan tembok “containment” yang wujud
sebelum ini roboh. Perkembangan ini juga turut dirasakan DAP.
Pengundi-pengundi Melayu, terutama golongan kelas pertengahan dan
generasi muda, mula memberi sokongan kepada DAP. Dengan robohnya tembok
“containment” ini, berlakulah tsunami yang merungkaikan penguasaan dua
pertiga Parlimen BN dan menafikannya sokongan majoriti pada PRU ke 13.
Untuk menghadapi realiti baru ini, Umno memerlukan satu strategi baru
untuk menggantikan strategi “containment”. Strategi ini mestilah mampu
memusnahkan sumber-sumber kekuatan yang membolehkan PAS keluar dari
tembok “containment” ini.
Bagi Umno, ancaman sebenar kepada pengaruhnya bukanlah ulama PAS.
Golongan ulama lama wujud di dalam PAS dan dapat di “contain” dengan
mudah. Sebaliknya, ancaman utama kepada Umno ialah golongan
professional. Mereka inilah yang berjaya merobohkan tembok
“containment”. Adalah perlu kekuatan ini dimusnahkan.
Strategi melemahkan PAS dan PR bolehlah diistilahkan sebagai strategi
“rollback”. Tujuan strategi “rollback” ialah menolak kembali PAS ke
ruang “containment” yang wujud sebelum 1998. Ini akan dicapai bila
kepercayaan di kalangan golongan kelas pertengahan, khususnya di Pantai
Barat, dan di kalangan pengundi bukan Melayu terhadap PAS dapat
dilunturkan. Untuk tujuan ini, umpan hudud dan sentimen perpaduan
Melayu digunakan. Pada ketika yang sama, langkah untuk melemahkan PR dan
PKR turut diambil. Ini adalah dengan mewujudkan fitnah liwat terhadap
Anwar Ibrahim dan memenjarakan beliau.
Di antara langkah yang diambil untuk menawan hati beberapa ulama PAS
ialah program-program “taklimat” tertutup yang diberikan sebuah agensi
perang saraf kerajaan.
Dua perkara utama cuba dicapai dari program-program ini. Pertama,
memberi gambaran, kedudukan orang Melayu dan Islam akan terjejas jika
PR memerintah. Ini kerana golongan MP bukan Islam dikatakan lebih ramai
dari golongan Islam dalam sebuah kerajaan PR. Ini dikatakan boleh
menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam.
Kedua, usaha dilakukan untuk meyakinkan golongan ulama ini, Anwar
Ibrahim ialah seorang peliwat dan membawa kefahaman liberal. Di antara
perkara yang dilakukan dalam program-program “taklimat” tertutup ini
ialah “pengakuan” dua orang bekas pemimpin ABIM dan seorang tokoh
korporat yang rapat dengan PAS, mereka yakin Anwar memang seorang
peliwat. Salah seorang dari ulama ini di bawa ke sebuah kilang di
Thailand yang dimiliki tokoh korporat ini. Ketika di sana dia diberi
sanjungan dan layanan istimewa.
Sebelum ini, pendekatan yang hampir sama turut digunakan ke atas
pemimpin-pemimpin reformasi yang ditahan di bawah ISA. Mereka diberi
maklumat terpilih mengenai “salahlaku” Anwar Ibrahim. Mereka dilayan
seperti mereka golongan istimewa dan diberi maklumat yang tidak
didedahkan kepada orang lain. Namun, muslihat ini gagal mengubah
pandangan tahanan-tahanan ISA ini.
Kedua-dua bekas pemimpin ABIM ini dan tokoh korporat ini menggunakan
pendekatan emosi dalam meyakinkan ulama PAS ini, Anwar adalah peliwat,
satu ancaman kepada Islam dan harus dihalang dari menjadi Perdana
Menteri. Namun, “taklimat-taklimat” ini tidak pula pernah menyebut
mengenai bagaimana kepentingan Melayu dan Islam dikhianati elit Melayu
melalui pembaziran dan amalan rasuah. Peranan J Lo serta kroni-kroni
lain elit Melayu tidak pernah disebut. Demikian juga, penglibatan
seorang warga Israel sebagai penasihat komunikasi juga tidak
dibincangkan. Sesi-sesi taklimat ini berjaya menambat hidung ulama
PAS. Muslihat yang gagal digunakan ke atas tahanan ISA mengena pada
ulama PAS ini. Ini membuka jalan untuk membolehkan strategi “rollback”
dilaksanakan sepenuhnya.
Pergolakan MB Selangor berjaya digunakan untuk mencetuskan ketegangan
di dalam PR dan PAS sendiri. Walau pun pendirian presiden PAS
bercanggahan dengan keputusan yang dibuat JK Pusat PAS, yang
dipersalahkan ialah golongan professional. Maka berbagai istilah pahit
seperti barua, jebon, budak suruhan DAP, perosak dan pengkhianat
digunakan untuk melabel golongan ini. Ketika para sahabat Rasulullah
tidak menyetujui dengan perjanjian Hudhaibiah dan pada mulanya enggan
membuka pakairan ihram mereka, Rasulullah tidak pula mempersoalkan wala
mereka atau menggunakan bai`ah yang mereka berikan untuk memaksa mereka
akur dengan keputusan baginda.
Jauh sekali melabel mereka sebagai
pengkhianat atau perosak. Tetapi ulama PAS bertindak sebaliknya dan
membiarkan suasana memfitnah, mencaci dan mengecam berterusan
seolah-olah inilah sibghah Islam yang mereka bawa. Mungkin ulama PAS
tidak mempelajari tafsir surah Al Hujurat, wallahu `alam.
Budaya taat tanpa menyoal dalam PAS turut memudahkan proses
memecahbelahkan PAS dilakukan. Muhasabah bukanlah suatu yang mudah
dilakukan dalam PAS, terutama apabila ia melibatkan ulama. Sebagai
contoh, seorang pemimpin ulama ketika PAS memerintah Terengganu memiliki
sehingga enam buah kereta rasmi. Ini kerana kedudukannya dalam Exco
negeri dan beberapa jawatan dalam lembaga GLC negeri Terengganu.
Namun, amalan yang keterlaluan ini tidak pula ditegur sesiapa. Ini
semata-mata kerana pemimpin ini digelar ulama. Demikian juga, pemimpin
yang sama membiarkan diri dipanggil dengan gelaran doktor sejak tahun
1980han walau dia tidak melengkapkan pengajian PhDnya.
Nyata sekali semua asas-asas strategi “rollback” ditegakkan. Golongan
professional dalam PAS yang merupakan ancaman utama kepada Umno
dinyahkan. Inilah sebabnya pemimpin Umno dan media yang dikawal Umno
begitu teruja dengan monopoli “leadership of the clergy” dalam PAS.
Inilah sebabnya pemimpin-pemimpin Umno menunjukkan kegembiraan mereka
dan cepat mengucapkan tahniah kepada ulama PAS. Mereka tahu strategi
mereka berjaya. Kain kafan diikat, hanya tunggu untuk memasukkan PAS ke
dalam liang lahad. Dengan ini berjayalah strategi “rollback” mereka dan
pengaruh PAS akan kembali terbendung dalam ruang “containment” yang
wujud sebelum 1998.
Pada PRU ke 14 nanti, kemerosotan sokongan kepada PAS akan menyebabkan
PAS kalah dibanyak kerusi yang dipegangnya ketika ini. Tidak mungkin
Umno akan membiarkan PAS mengambil kerusi-kerusi yang kini dipegangnya.
Apabila ini berlaku, nilai PAS kepada Umno sudah tidak wujud lagi.
Malahan, lebih baik Umno bekerjasama dengan PKR pada ketika itu. Akan
jelaslah ketika itu siapa sebenarnya yang merosakkan dan mengkhianati
PAS. Pada ketika itu, para ulama PAS bolehlah menggunakan lutut dan
siku yang terdapat di bawah jubah mereka untuk bergocoh sesama sendiri.
PAS selepas muktamar ke-61 kembali ke belakang
Written By Wadah Baru on Rabu, 1 Julai 2015 | 9:58 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan