Home » , » Kawan Dengan Tauke Judi, Ketua Polis Negara Lindungi Penjenayah ?

Kawan Dengan Tauke Judi, Ketua Polis Negara Lindungi Penjenayah ?

Written By Wadah Baru on Isnin, 19 Jun 2017 | 12:50 PTG

 Oleh Syed Ibrahim Syed Noh

Saya ambil maklum kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar mengakui bahawa suspek utama berhubung kes menerima rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka adalah kenalannya.

Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan yang dibuat oleh Sarawak Report bahawa suspek berkenaan, Gopinathan Krishnan, 50 berhubungan terus dengannya menerusi telefon dan Gopinathan juga adalah kawan keluarganya.

1. Berdasarkan pendedahan Sarawak Report dan pengakuan KPN mengenai isu berkenaan, wujud pelbagai persepsi, di mana bagaimana seorang Ketua dalam pasukan polis negara boleh berkawan baik dengan tauke judi yang dikatakan dalang kepada sindiket judi haram dan rasuah judi di Melaka?

Dalam pendedahan tersebut, Khalid dikatakan berhubung terus melalui telefon dengan Gopinathan, sedangkan mana-mana pegawai polis mereka terikat dengan peraturan khusus yang tidak membenarkan mereka menjalin sebarang hubungan dengan penjenayah.

Sangat pelik, Khalid tidak mengetahui kegiatan kenalannya itu. Adakah Khalid cuba melindungi seorang penjenayah yang dikehendaki?

2. Bagi saya, perhubungan antara pegawai polis dan penjenayah merupakan kesalahan yang serius dan mencemarkan kredibiliti polis. Khalid tidak seharusnya berpura-pura dalam hal ini, beliau sewajarnya menangkap segera kenalannya itu kerana terlibat dengan kegiatan jenayah yang cukup besar di negara ini.

Sampai bila Khalid mahu menyembunyikan perkara ini? Kalau tidak didedahkan oleh Sarawak Report, mungkin sebarang kenyataan tidak akan dikeluarkan dan disahkan oleh Khalid sendiri. Ini sebenarnya amat memalukan.

3. Masyarakat Malaysia bahkan mungkin masyarakat antarabangsa tidak akan lagi percaya kepada pasukan polis negara kita yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat dan negara, bukan menjaga keselamatan penjenayah.

4. Dalam isu ini, saya gesa pihak berkuasa lakukan siasatan yang telus tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap semua penjenayah, tanpa mengira status dan kedudukan mereka.

Pastikan mereka yang melakukan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang tidak akan terlepas daripada hukuman.

Pengakuan Khalid yang menegaskan bahawa mereka yang mengenali dirinya dan juga ahli keluarganya yang melakukan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang tidak akan terlepas daripada hukuman itu wajar dinyatakan juga melalui tindakan.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakya

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger