Oleh HAYAR HASSAN.
Ada beberapa perkara menarik yang boleh dibawa pulang seusai
menghadiri Wacana Rakyat, Halatuju Blok
Pembangkang Untuk PRU 14 yang telah
diadakan pada 29 Oktober 2016 di SP Arena Bandar Seberang Jaya, Seberang Perai
Tengah, Pulau Pinang.
Dalam Wacana Rakyat tersebut, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail (DSNI),
Setiausaha Agong PKR telah melontarkan beberapa perkara menarik yang sewajarnya
diambil perhatian oleh pimpinan Pakatan
Harapan(PH). DSNI yang cukup berpengalaman dari sudut strategi penyertaan
Pilihan Raya Umum(PRU) telah mendedahkan Empat Faktor Utama Di luar Kawalan
Pembangkang Dalam Menyertai sebarang PRU.
Saya berpendapat empat faktor-faktor tersebut adalah rahsia umum yang
telah dimaklumi oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan dan pembangkang. Cumanya ianya
agak sensitif untuk diperbincangkan secara terperinci.
Hatta orang ramai yang telah memberanikan diri untuk turut serta dalam
perhimpunan-perhimpunan BERSIH selama ini pun pastinya amat termaklum akan
rahsia umum ini dan kesannya terhadap keputusan PRU 14 nanti. Masalahnya, amat
sukar bagi parti-parti pembangkang untuk menanganinya kerana kesemua
faktor-faktor tersebut adalah di luar kawalan pembangkang. Untuk memperhalusinya, marilah kita berkongsi
dan meneliti faktor-faktor tersebut:-
Faktor 1 – Dikhabarkan
Wujud 400,000.0 Undi Awal.
Dikhabarkan terdapat sekitar 400,000.0 undi awal untuk PRU ke 14. Yang
dimaksudkan “Undi Awal “ ini adalah pengundi-pengundi yang akan
membuang undi mereka lebih awal daripada tarikh sebenar PRU. Dikhabarkan “Undi Awal” adalah daripada
pengundi-pengundi berdaftar yang berkhidmat dalam Polis DiRaja Malaysia(PDRM),
Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dan petugas-petugas PRU sendiri.
Jumlah kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan adalah 222. Kerusi
Parlimen Sabah adalah 25(11.0%). Kerusi Parlimen Sarawak adalah 31(14.0%).
Semenanjung Malaysia Barat mempunyai 166(75.0% kerusi. Untuk memenangi PRU Ke
14 akan datang dengan majoriti mudah, BN/Blok Pembangkang perlu memenangi
sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.
Secara teori, untuk kawasan-kawasan Parlimen yang 50-50, secara
mudahnya undi awal berkenaan yang dikhabarkan boleh dimanipulasikan oleh pihak
yang berkuasa, mungkin boleh disalurkan sekitar
3,500 kepada setiap kerusi Parlimen atau DUN. Hasilnya, ia mungkin
memberikan kemenangan kepada pihak yang mampu memanipulasikannya!. Kerjanya
cukup mudah kan! Tidak memerlukan dana, kempen, ceramah, sogokan dan rayuan
undi yang berlebihan.
Di atas kertas ianya dilihat sesuatu yang mudah. Namun ianya masih
menjadi teka-teki yang sukar diberikan jawapan oleh semua pihak. Persoalannya,
adakah ianya telah pernah dilaksanakan dalam PRU-PRU yang lalu dan mungkin kah
ianya juga akan dilaksanakan dalam PRU 14 nanti?
Dikhabarkan wakil-wakil calon yang bertanding tidak dilibatkan untuk
memantau undi awal ini atas alasan keselamatan. Wakil-wakil calon parti-parti
yang bertanding sesuatu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri(DUN)
dikhabarkan tidak dibenarkan memasuki kem ATM dan Ibu Pejabat Polis Daerah
dimana proses membuang undi awal dijalankan.
Alasan yang diberikan, tempat-tempat pengundian awal itu dijalankan
adalah merupakan kawasan-kawasan keselamatan. Bagaimana undi-undi awal itu
dilaksanakan penuh misteri. Hanya Allah SWT dan pengundi-pengundi berdaftar itu
yang tahu !
Cerita-cerita yang dikutip daripada anggota-anggota PDRM dan ATM
yang telah bersara dari perkhidmatan adalah pelbagai, bersimpang siur dan banyak
mengejutkan orang awam. Ada yang mendakwa , sepanjang dalam perkhidmatan, mereka tidak pernah pun melihat kertas-kertas
undi! Dalam perkhidmatan beruniform dan juga Perkhidmatan Awam, jarang sekali
orang bawah mempertikai arahan pegawai atasan. Semua akur dengan slogan “ Saya
Yang Menurut Perintah”.
Faktor 2 – Wujudnya
Penempatan FELDA Dan Kem Tentera.
Dikhabarkan, kem-kem tentera
dan Rancangan-Rancangan FELDA terletak di 69 kawasan Parlimen diseluruh
Malaysia. Ini adalah merupakan 30.0 % daripada jumlah keseluruhan kerusi-kerusi
Parlimen. Seperti yang termaklum, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak
dibolehkan memberi ceramah-ceramah dalam kem-kem tentera atas alasan
keselamatan Negara. Ceramah-ceramah di rancangan FELDA pula perlu mendapat
kebenaran daripada Pengurusan FELDA. Impaknya parti-parti pembangkang sekali
lagi disukarkan untuk berkempen kepada anggota keselamatan dan warga FELDA.
Faktor 3- Sabah Dan
Sarawak.
Seperti yang termaklum, 25% daripada jumlah keseluruhan
kerusi-kerusi Parlimen Malaysia adalah daripada Sabah dan Sarawak. Umum
mengetahui bahawa untuk bertanding dalam PRU di Sabah dan Sarawak memerlukan
dana yang banyak, petugas-petugas yang kental semangat dan tidak mudah disogok
dengan wang ringgit.
Kemudahan pengangkutan yang pantas adalah suatu faktor utama untuk
memasuki kawasan-kawasan pendalaman. Semuanya memerlukan dana. Pihak mana yang
mempunyai dana yang banyak tentulah mempunyai kelebihan. Sabah dan Sarawak
tidak mempunyai sistem jalanraya yang baik seperti Semenanjung Malaysia Barat.
Disamping itu, kelihatannya pemimpin-pemimpin parti pembangkang
Sabah dan Sarawak sukar sekali untuk membentuk kerjasama dan persefahaman yang
kental antara mereka. Masing-masing mempunyai agenda tersendiri.
Faktor 4 – Persempadanan
Semula Kawasan Pilihan Raya.
Telah banyak diperkatakan betapa proses yang sedang dilaksanakan
oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) ini adalah tidak memihak kepada pembangkang.
Ada agenda yang tersirat disamping yang tersurat. Parti-parti pembangkang
sekadar hanya boleh membuat bantahan-bantahan. SPR tidak menjanjikan semua bantahan
itu akan diterima.
Menurut DSNI, dalam sejarah PRU di Malaysia, setelah Persempadanan
Semula Kawasan Pilihan Raya dijalankan, ianya akan disusuli oleh kemenangan
besar bagi pihak UMNO-BN !
Setelah meneliti faktor-faktor di atas, adalah jelas bahawa Perhimpunan
BERSIH 5 yang telah diadakan pada 19
November 2016 lalu adalah suatu yang amat relevan dan cukup mendesak untuk
kelangsungan amalan demokrasi di Negara tercinta ini. Tidak menghairankan kalau
UMNO-BN cukup tidak senang akan sebarang program BERSIH. Kita cuma dapat
berharap agar tuntutan-tuntutan BERSIH
itu diberikan perhatian oleh pihak berwajib.
Lima Tuntutan-Tuntutan Bersih 5 tersebut adalah wajar dan amat
didambakan oleh seluruh rakyat agar rakyat dapat memilih pemimpin-pemimpin yang
punya intergriti dan berkaliber untuk terus mentadbir Negara ini.
Tuntutan-tuntutan tersebut, 1.
Pilihanraya Bersih- dituntut sejak 2007 supaya hak rakyat dalam memilih
parti yang bakal memerintah akan terpelihara. 2. Kerajaan Yang Bersih- pengasingan kuasa eksekutif,perundangan
dan kehakiman demi mengelak salahguna kuasa oleh pihak yang berkepentingan. 3. Perkukuh Demokrasi Parlimen- wakil
Kerajaan dan pembangkang perlu diberi ruang dan peluang yang sama untuk
berdebat dan memberikan cadangan. 4. Hak
Untuk Membantah dan Menyuarakan Rasa Hati – tanpa diganggu oleh Akta Polis
1967, Kanun Keseksaan,Akta Keterangan 1950, Akta Hasutan 1948, SOSMA, POCA. 5. Memperkasa Sabah dan Sarawak.
Temubual khas wartawan Akhbar Mingguan Amanah bilangan 33 dengan mantan
Pengerusi dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) Tan Sri Rashid Abdul
Rahman(TSRAR) baru-baru ini cukup menarik dan perlu diteliti oleh semua pihak.
Semoga pengalaman dan pandangan TSRAR itu dapat memperkukuhkan lagi persediaan
Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) dalam menghadapi PRU
ke 14.
Sekurang-kurangnya rakyat dan pengundi-pengundi dapat diingatkan
bahawa terlalu banyak kepincangan-kepincangan yang berlaku dalam amalan
pilihanraya Negara ini. Jika dibandingkan dengan negara jiran, Indonesia,
mereka lebih terkehadapan daripada kita. Amalan demokrasi mereka lebih subur.
Rakyat Indonesia, sepertinya benar-benar diberikan hak untuk memilih
pemimpin-pemimpin yang baik tanpa sebarang manipulasi. Dari segi ekonomi dan
pembangunan, Indonesia sudah bergerak dengan pantas daripada kita. Jangan lah
kita terkejut kalau dalam beberapa waktu lagi, Indonesia akan meninggalkan kita
dalam banyak hal.
Sekian, Terima Kasih.
HAYAR HASSAN.
0 ulasan:
Catat Ulasan