Home » , » Mhd Nasir Yahya berhasrat sertai GHB

Mhd Nasir Yahya berhasrat sertai GHB

Written By Wadah Baru on Isnin, 3 Ogos 2015 | 4:00 PTG

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mhd Nasir Yahya yang dilantik semula ke jawatan itu berhasrat menyertai Gerakan Harapan Baharu (GHB) selepas parti baru itu didaftarkan.

Namun, buat masa ini Mhd Nasir berkata beliau masih lagi ahli PAS sehingga keanggotaannya terbatal selepas beliau menyertai GHB secara rasmi kelak.

"Secara teknikalnya, saya masih ahli PAS, nama saya masih dalam senarai pendaftaran ahli. GHB masih dalam proses pendaftaran dan kemungkinan besar saya akan menyertainya.

"Saya sudah pertimbangkan keputusan ini kerana fitrah saya selari dengan apa yang diperjuangkan GHB," katanya ketika ditemui selepas majlis pengakuan penerimaan pelantikan ahli Majlis MBPP di sini hari ini.

Selain Mhd Nasir, Dahalan Fazli daripada PAS turut dilantik semula sebagai Ahli Majlis Seberang Perai (MPSP) berkuat kuasa 1 Ogos lepas.

Mhd Nasir dan Dahalan sebelum ini meletak jawatan sebagai ahli Majlis itu berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-61 Jun lepas menerima usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Ditanya sama ada beliau ada memaklumkan hasrat itu kepada kepimpinan tertinggi PAS Pulau Pinang, Mhd Nasir berkata: "(Mereka) tidak dimaklumkan. Mereka boleh baca melalui akhbar, media dan Facebook. Boleh boleh baca mesej di situ".

Mengenai pelantikan semula sebagai ahli Majlis, beliau yang telah lapan tahun menjadi ahli PAS, berkata pihaknya menerima kritikan daripada sesetengah pihak berhubung perkara itu.

Menyifatkan ia sebagai lumrah kehidupan, Mhd Nasir yang pernah menjadi naib yang dipertua PAS kawasan Bukit Gelugor berkata dalam politik tidak ada istilah berkawan dan bermusuh selamanya.

- Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger