Home » , » Mungkin PAS hanya dapat bertahan 2 tahun lagi ?

Mungkin PAS hanya dapat bertahan 2 tahun lagi ?

Written By Wadah Baru on Ahad, 2 Ogos 2015 | 3:48 PTG

Oleh Hasbie Muda

1. Ramai yang berminat nak menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) mengemukakan persoalan ini. Mereka was-was apabila Presiden PAS meramalkan bahawa GHB hanya mampu bertahan 2 tahun sebelum melingkup.

2. Pertamanya, perkara yang akan berlaku pada masa depan adalah dalam ilmu Allah. Walau bagaimanapun sesiapa sahaja berhak membuat unjuran politik berasaskan sejarah serta kajian yang mungkin mereka lakukan. Ramalan atau unjuran untuk boleh jadi betul dan boleh jadi salah.
3. Izinkan saya berbeza pandangan dengan Presiden PAS dalam soal ini.

4. Survival sesebuah parti Islam di negara ini banyak bergantung (dengan izin Allah) kepada :
i) Dasar parti yang jelas dan teguh.

ii) Kepemimpinan parti yang diterima umum, cekap dan berkesan dalam mentadbir parti serta
iii) Keupayaan sesebuah parti untuk bersifat inklusif dengan tawaran yang memberikan manfaat kepada masyarakat terbanyak.

5. Memiliki semata-mata dasar parti yang jelas dan teguh belum tentu menjamin sesebuah parti itu mampu survive di arus perdana. BERJASA dan AKIM adalah contoh parti Islam yang gagal bertahan walaupun dasarnya jelas. Kelemahan parti-parti tersebut adalah mereka tidak dipimpin oleh kelompok kepemimpinan sebagaimana dalam perkara (ii) selain gagal dalam perkara (ii).

6. Ada juga yang memiliki percirian (i) dan (ii) tetapi tetap juga gagal kerana tidak berupaya menjadi sebuah parti yang inklusif. HAMIM yang ditubuhkan oleh Almarhum Dato' Asri menggariskan dasar yang jelas serta dipimpin oleh barisan kepemimpinan yang hebat tetapi ia hanya dilihat eksklusif untuk rakyat Kelantan dan sedikit di Kedah semata-mata selain kelompok yang tidak berpuas hati dengan kepemimpinan baru PAS pada ketika itu. Lebih malang, ketokohan Almarhum Dato' Asri berjaya ditenggelamkan oleh Ketua Ulama' PAS Almarhum Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga merupakan bekas panglima yang berada lama di belakang Asri.

7. PAS khususnya selepas 1982 sangat bergantung kepada kepada tokoh-tokoh utama yang memimpin PAS kerana mereka adalah idealogue atau institusi yang akan menghuraikan falsafah perjuangan PAS kepada masyarakat. Dulu,falsafah perjuangan PAS akan dihuraikan oleh 3 tokoh utama Kepemimpinan Ulama' iaitu Almarhum Ustaz Fadzil, Almarhum TGNA dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) . Apabila Almarhum Ustaz Fadzil meninggal pada tahun 2002, PAS masih ada dua institusi yang dominan iaitu Almarhum TGNA dan TGHH. Kedua-dua saling mengimbangi.

8. Apabila Almarhum TGNA meninggal beberapa bulan yang lepas, satu-satunya tokoh yang dianggap idealogue parti hanyalah TGHH. Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh beliau akan dianggap sebagai falsafah perjuangan dan dasar parti. Sebab itu apabila adalah yang berbeza pandangan dengan Presiden dianggap sebagai berbeza dengan dasar parti.

9. Persoalan yang bermain di fikiran saya adalah jika TGHH sudah tidak ada nanti, tokoh manakah yang akan diterima sebagai idealogue parti?

10. Saya tidak berniat memandang rendah tokoh-tokoh yang ada sekarang. Tetapi mereka ada kelompok ahli PAS yang tidak menerima mereka sepenuhnya. Timbalan Presiden dilihat terlalu lembut dan tidak keras dan sebab itu beliu 'dipaksa' menarik diri dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan PAS 2013. Ustaz Nik Amar pula kurang popular dalam kalangan orang muda manakala Ustaz Idris Ahmad pula pernah hampir dilabel 'jebon play safe' kerana tidak keras menentang kelompok progresif dalam parti.

11. Cabaran PAS masa ini adalah mewujudkan tokoh idealogue parti yang mempu diterima oleh semua. Jika dahulu kelompok Pemuda PAS era 1980-an menukar gelaran TGNA daripada Ustaz Nik Aziz kepada 'Tuan Guru Nik Aziz' manakala gelaran TGHH diubah daripada 'Haji Hadi' kepada 'Tuan Guru Haji Hadi, maka sesebuatu perlu dilakukan agar maqam tokoh-tokoh pelapis dalam PAS juga boleh diangkat dengan pelbagai cara. Namun persoalannya adalah apabila gelaran 'Tuan Guru' diletakkan kepada Ustaz Tuan Ibrahim, Ustaz Idris Ahmad, Ustaz Nik Amar, Dr Mahfodz, maka ahli-ahli PAS dan masyarakat boleh menerima dengan mudah? Dulu orang menerima gelaran 'Tuan Guru' kepada TGNA dan TGHH kerana mereka benar-benar dilihat layak untuk digelar sedemikian.

12. Bagi GHB, tokoh-tokoh mereka tidak perlukan gelaran Tuan Guru kerana falsafah perjuangan parti terletak pada institusi penyelidikan parti yang akan ditubuhkan selain kolektiviti keputusan jawatankuasa eksekutif..

13. Jika PAS gagal dalam menginstitusikan tokoh-tokoh baru pada masa yang akan datang, saya bimbang bahawa yang akan bertahan (relevan) selama 2 tahun bukanlah GHB sebaliknya PAS itu sendiri.

14. Moga ada usaha dilakukan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger