Home » » Pemimpin akar umbi PAS tunggu dan lihat sebelum sertai GHB

Pemimpin akar umbi PAS tunggu dan lihat sebelum sertai GHB

Written By Wadah Baru on Sabtu, 8 Ogos 2015 | 9:35 PTG

OLEH ZULKIFLI SULONG

Ketika PAS berpecah 2 dengan terbentuknya Gerakan Harapan Baru (GHB) yang bakal menjadi sebuah parti politik Islam baharu, lebih 50% para pemimpin akar umbi khasnya di peringkat cawangan mengambil sikap tunggu dan lihat.

Mereka masih menunggu parti baharu dibentuk, apa perlembagaannya dan siapakah bakal pemimpin sebelum membuat apa-apa keputusan sama ada kekal dalam PAS atau menyertainya.
Bagaimanapun, kebanyakan penggerak akar umbi PAS di peringkat pusat iaitu Unit Amal dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sudah menyatakan sikap masing-masing.

Bekas Ketua Pengarah Unit Amal, Juhari Osman serta ramai ahli jawatankuasanya mengambil sikap meninggalkan PAS dan aktif dalam GHB. Beliau sedang menubuhkan Unit Amal versi GHB  yang dinamakan Amal Relief atau nama ringkasnya Arif. Selain Juhari, turut bersama beliau ke dalam GHB adalah Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Amal, Jahid Zaini (Johor) dan Timbalan Ketua Pengarah 4 Azwan Ismail (Perak) dan Bendahari Mohamad Supian Ibrahim (Negeri Sembilan).

Sebagaimana PAS di peringkat cawangan, kata Johari kebanyakan anggota badan penggerak unit kebajikan dalam PAS ini mengambil sikap tunggu dan lihat.

Bekas ketua pengarah Pasti paling lama (1999 -2011) Azrin Majid juga mengambil sikap meninggalkan PAS dan menyertai GHB. Azrin kini adalah penyelaras GHB Jasin di Melaka dan sedang menyusun aktiviti pendidikan untuk GHB pusat.

PAS mengendalikan lebih 1,400 Pasti di seluruh negara dengan lebih 10,000 pelajar berumur 5-6 tahun menyertainya di samping lebih 3,000 guru terlibat dengannya.

Tunggu dan lihat

Di Selayang, Selangor, bekas yang dipertua PAS kawasan yang kini menyertai GHB Mohamad Abdul Rahman berkata, kebanyakan ahli di peringkat akar umbi takut untuk ke depan dan mengambil sikap tunggu dan lihat.

Beliau yang dilantik sebagai bendahari GHB Selangor berkata, pihaknya sedang menyenaraikan penyokong-penyokong di Selayang sendiri kerana kebanyakan mereka belum berani didedahkan lagi.

"Ramai antara mereka macam kepala kura-kura, sekejap keluar sekejap masuk balik. Jadi kita belum boleh dedahkan mereka lagi," katanya


Beliau menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 ketua cawangan di Selayang akan menyertai GHB termasuk ahli jawatankuasanya.

Kenyataan ini dibuat ketika Yang Dipertua PAS Selayang Zaidy Talib berkata, belum nampak sebarang gerakan GHB di Selayang.

Di sebuah cawangan di Selayang misalnya, 5 Ahli Jawatankuasa (AJK) sudah cenderung kepada GHB, 5 lagi akan kekal bersama PAS manakala 10 lagi AJK mengambil sikap tunggu dan lihat, kata Mohamad.
Di Kelantan, sokongan kepada GHB juga kuat namun mereka perlu berhati-hati kerana PAS menguasai kerajaan negeri dan akan mengawal pergerakan khasnya yang mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri.

"Di cawangan Kepala Jambatan yang saya ketuai, 7 daripada 14 AJK yang ada bersama saya, 6 ambil sikap tunggu dan lihat manakala hanya satu sahaja yang akan kekal bersama PAS kerana dia mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri," kata Che Ibrahim Mohamad, timbalan penyelaras GHB Kelantan.

Sokongan kepada GHB di kalangan pemimpin PAS sangat ketara di negeri-negeri selatan tanah air iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dengan kesemua pimpinan utama PAS negeri itu sebelum ini menyertai GHB.

Yang memeranjatkan adalah kesemua tiga bekas pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang sebelum ini sukar untuk bekerjasama dengan kumpulan profesional kini memimpin GHB negeri itu.

Bekas pesuruhjaya PAS sesi lalu yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Taufek Abdul Ghani dan MK Ibrahim menyertai GHB dan menjadi timbalan penyelaras Negeri Sembilan di bawah penyelarasnya Zulkifli Mohd Omar.

Di Johor, bekas pesuruhjayanya sesi lalu Aminul Huda Hassan bersama barisan Kabinetnya kini menyertai GHB Johor.

Begitu juga di Melaka, bekas pesuruhjayanya sesi lalu Adly Zahari menyertai GHB.

Di Jasin, Melaka, hampir kesemua pemimpin dan AJK PAS di 6 cawangan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menyertai GHB Jasin yang dipimpin Yuhaizad Abdullah.

Namun di cawangan Kampung Kelubi yang terletak di bawah DUN Rim, pemimpin akar umbi PAS berpecah kepada 2, separuh pergi ke GHB manakala separuh lagi kekal dalam parti, kata bekas naib ketua cawangannya, Azrin.

- themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger