Home » » Jangan sempitkan istiqamah hanya untuk PAS

Jangan sempitkan istiqamah hanya untuk PAS

Written By Wadah Baru on Sabtu, 8 Ogos 2015 | 3:38 PTG

Oleh MOHD FADHLULLAH BIN ISMAIL

Sudah seminggu teman-teman saya mengumumkan perletakan jawatan sebagai kepimpinan Pemuda PAS Lembah Pantai dan seminggu jugalah saya terpaksa memikul amanah memangku jawatan tertinggi di peringkat pemuda PAS kawasan ini.

Alasan mereka: "perletakan jawatan ini dibuat setelah mengambilkira faktor perkembangan politik semasa serta kekecewaan kami atas krisis yang melanda kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat dan negeri serta konflik dalaman yang gagal ditangani sebaiknya sehingga kini". Tentunya mereka akan bersama Harapan Baru secara rasmi akhir Ogos ini.

Ramai yang ucap tahniah kerana saya 'istiqamah dengan perjuangan'. Entah dari tamrin mana pemahaman istiqamah itu disempitkan hanya bila bersama dengan PAS sahaja, saya pun tidak tahu.
Seolah-olah menukar wadah atau platform untuk memperjuangkan Islam, itu bukan istiqamah dengan perjuangan. Yang puji, terima kasih. Yang sindir pun, terima kasih. Kata mereka 'u-turn pulak..nampak macam nak kesana dah hari tu'.

Pujian tidak menghilangkan simpati saya pada teman-teman berlima ini. Sebaik tersebar foto dan pengumuman rasmi mereka, saya asyik dengan membaca komentar pelbagai pihak termasuk teman-teman terdekat yang dikenali. Luar biasa komentar mereka. 'Munafiq telah dibersihkan dari jama'ah, liberal, barua DAP, pengkhianat, jahil' dan pelbagai gelaran pada mereka membuat saya benar-benar tersentap. Ya! benar-benar luar biasa kegembiraan mereka mendengar 'golongan munafiq' ini meninggalkan 'perjuangan'.

Sehingga hari ini, yang mengakui secara terang-terangan bahawa ia terasa dengan kehilangan sahabat, ialah Al-Fadhil Ust.Rosli Jabbar (Pesuruhjaya PAS Pahang). Katanya, "bohonglah kalau saya tidak terasa dengan pemergian sahabat-sahabat saya". Beliau antara yang berpesan agar jangan menghina pimpinan yang mengambil keputusan bersama GHB. Saya doakan kebaikan buatnya.

Menilai tahap ilmu, pengalaman dan pengorbanan di kawasan ini, 5 teman ini saya cukup hormati.

Sekian banyak perkara berkaitan politik, organisasi dan sebagainya, saya belajar dan berkongsi dari mereka. Saya yakin mereka telah memikirkan semasak-masaknya pro dan kontra keputusan mereka ini dengan ilmu dan merujuk banyak pihak.

Mohd Hafiz bin Habil (Mantan Ketua Pemuda) dan Muhamad Fadzil bin Ahamad (Mantan Naib Ketua Pemuda) adalah peguam Syariah lulusan Universiti Malaya. Nik Abdul Razak bin Nik Md Ridzuan (mantan Ketua Penerangan) penuntut dari Fakulti Sains ( Jabatan Biology - Genetics & Molecular Biology). Dua beradik, Mohd Zulfadhli bin Zulkifli (mantan AJK Pemuda) lepasan Al-Azhar di bidang Syariah dan Mohd Zulnazmi bin Zulkifli (mantan AJK Pemuda) lulusan Bahasa Arab dari Jordan.

Saya tumpang berbangga dengan latar belakang pendidikan mereka dan tentunya sebarang tindakan mereka bukan ikutan dan semangat kosong semata-mata tanpa ilmu.

Seingat saya, luahan dan perbincangan mereka bersama kami bagi menyatakan hasrat untuk 'berhijrah' ini melebihi lima kali samada secara formal atau tidak, sejak sebelum Ramadhan sehinggalah mesyuarat bulanan AJK Pemuda PAS Lembah Pantai yang terakhir buat mereka Rabu minggu lalu. Pertengahan Ramadhan, kami adakan ifthor dan membuka ruang kepada semua ahli melontarkan apa sahaja mengenai perkembangan terkini PAS. Majoriti mengakui ada sesuatu yang perlu diperbaiki. Cuma, ada yang berani ingin bersama Harapan Baru sebagai alternatif, ada yang mahu tunggu dan lihat dan ada yang mahu kekal bersama PAS memperbaiki kelemahan itu. Semua komentar kami raikan.

Timb.Presiden PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man antara tokoh berwibawa yang sentiasa memujuk ahli supaya bersabar dan jangan tinggalkan PAS. Paling penting, beliau berani mengakui 'kita akan baiki kelemahan yang ada'. Bagi yang berkeras meyakini kitalah yang terbaik, paling betul, paling kuat dan segala macam ucapan penuh kesombongan itu, pengakuan tokoh di atas wajar direnungi.

Hari ini saya mesti teruskan khidmat dengan sedikit kekuatan bersama teman-teman yang ada ini walaupun secara individu memang tidak bermaya. Kesanggupan saya memangku jawatan ini bukan bermakna saya akan diam dan bisu dari menyuarakan atau mengkritik perkara yang tidak baik dalam parti saya. Terbuka atau tertutup teguran, itu hanya kaedah dan pendekatan yang boleh dibahaskan. Muktamar medan tertutup. Saya bangun mengkritik didalamnya, saya dijadikan bahan kritikan juga walaupun melalui salurannya!

Menutup mulut penegur dan pengkritik kelemahan dan kerosakan yang berlaku dengan menyalah gunakan istilah wala', ia bukan proses pentarbiahan yang benar. Tidak lurus dan jujur menjawab, bahkan tidak mampu menjawab pertanyaan dengan baik, kemudian menekan agar akur sahaja, itu pembodohan yang tidak akan membawa gerakan Islam ini maju ke depan dalam arus perdana, apatah lagi untuk menjadi 'goverment in waiting'! Penghinaan terhadap mereka yang berbeza pendapat mesti dihentikan. Program tarbiyyah bukan lagi medan menyebar kebencian dan menyubur pelbagai gelaran. Suburkan perbincangan, bukan kerahan berpanjangan dan ugutan.

Sehingga hari ini, hubungan saya dan 5 teman ini erat. Kami berjanji untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama dalam memperjuangkan isu-isu Islam, rakyat & kebajikan setempat walaupun berbeza platform kecuali keluar arahan rasmi dan muktamad dari PAS yang langsung tidak membenarkan sebarang kerjasama. Saya yakin kepimpinan PAS tidak sebodoh itu untuk memberikan halangan.

Hati kecil masih mengharapkan tautan antara GHB dan PAS kembali atau setidak-tidaknya kerjasama yang baik dalam menghadapi penjenayah besar dalam negara ini iaitu UMNO dan Barisan Nasional terlaksana. Doa saya agar PAS mampu dan bersedia perbaiki kelemahan yang ada. Ramai yang sayangkan parti ini. Jika perubahan itu tidak dilakukan atau tidak ada sebarang usaha ke arahnya, saya juga tidak akan teragak-agak lagi untuk bersama Harapan Baru dimasa akan datang walaupun tentunya saya akan tanggung kesakitan akibat keputusan itu nanti.

Saya juga manusia. Saya juga ada perasaan cintakan perubahan!

MOHD FADHLULLAH BIN ISMAIL

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger