Oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
2015 sudahpun tiba ke hari terakhirnya. Sepanjang tahun ini, rakyat Malaysia telah disajikan pelbagai kejadian, insiden, malah skandal yang mungkin sukar untuk kita lupakan, termasuklah:
• Pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Ketua Pembangkang dan Ketua Umum KEADILAN - perlu kita ingat pemenjaraan beliau ini berniat politik jahat, malah hal ini telah dibangkit dan diiktiraf pelbagai pihak termasuklah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Parlimen Eropah;
• skandal "derma politik" RM2.6 bilion Dato' Sri Najib Razak - hingga ke hari ini beliau masih belum memberikan penjelasan yang memuaskan kepada seluruh rakyat Malaysia, malah mereka yang berani membangkitkan isu ini didiamkan atau dibuang dari kerajaan;
• skandal 1MDB - hutang berpuluh bilion syarikat ini yang dimiliki penuh Kementerian Kewangan ini telah menjadi antara skandal paling besar dalam sejarah negara, dan telah mengakibatkan pelbagai aset negara terpaksa dijual kepada syarikat-syarikat luar negara (malah hari ini juga kita disajikan penjualan 60% saham Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion kepada konsortium termasuk sebuah syarikat luar negara);
• Akta Majlis Keselamatan Negara - yang telah diluluskan dengan cukup pantas di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang mengundang pelbagai kritikan dari parti politik dan badan-badan bukan kerajaan; dan macam-macam lagi.
Oleh itu, untuk 2016, saya yakin dan percaya kita semua perlu banyak berdoa dan terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan keadilan dan melawan kezaliman di bumi Malaysia.
Pada masa yang sama, saya menggesa semua pihak, tidak kira parti politik mana sekalipun, yang masih sayang dan cintakan negara serta mengidamkan sebuah Malaysia yang lebih adil dan baik untuk semua, untuk bersama-sama dalam gagasan besar membawa perubahan.
InshaAllah dalam masa terdekat Pakatan Harapan akan membuat pengumuman besar tentang dokumen yang akan merapatkan saf kepimpinan dan usaha menumbangkan UMNO-Barisan Nasional melalui jalan pilihanraya. Saya percaya dokumen ini bakal menjadi asas penting yang sekali lagi membuktikan KEADILAN serta parti-parti komponen Pakatan Harapan bersedia untuk menggalas tanggungjawab menerajui kerajaan di Putrajaya.
Ayuh, bersiap kita untuk bekerja lebih kuat pada tahun baru ini!
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan