Sejak zaman para anbiya dalam sejarah manusia, manusia akan memusuhi apa yang belum difahaminya.
Zaman al-Quran diturunkan pun Allah swt menjelaskan hal ini dalam beberapa ayat.
بَلْ كَذَّبُوا بِمَا لَمْ يُحِيطُوا بِعِلْمِهِ وَلَمَّا يَأْتِهِمْ تَأْوِيلُهُ ۚ
"Bahkan, mereka pula terburu-buru mendustakan Al-Quran yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya, dan belum sampai kepada mereka (erti) sesuatu tafsiran". (Yunus: 39)
وَإِذْ لَمْ يَهْتَدُوا بِهِ فَسَيَقُولُونَ هَٰذَا إِفْكٌ قَدِيمٌ
"Dan setelah mereka tidak dapat menerima petunjuk Al-Quran itu, (mereka memusuhinya) lalu mereka mencacinya dengan berkata: "Al-Quran ini ialah rekaan dusta yang sudah lama" (Al-Ahkaf: 11)
Banyak pepatah Arab pula cuba menghuraikan lagi makna yang dipetik dari keindahan mesej ayat-ayat Allah swt ini.
" مَنْ جَهِلَ شَيْئًا عَادَاهُ "
"Sesiapa yang tidak mengetahui (jahil) pada sesuatu perkara, akan memusuhinya".
Malah daripada kaedah ini, ia berkembang kepada kaedah-kaedah lanjutan yang lain seperti:
"جهلك هو أسوأ عدو بك"
"Kejahilan anda adalah musuh terbesar anda".
Berasaskan misi penubuhannya untuk membawa Islam sebagai rahmah untuk semua, Parti AMANAH Negara akan terus memperkenalkan susuk dan misi perjuangannya dan tidak jemu-jemu untuk menjelaskan kepada ummah akan ancaman-ancaman yang didepaninya.
Kami dapati ada empat ancaman utama yang sedang melanda negara yang ummah perlu difahamkan:
1. Kerakusan pemimpin kepada harta adalah punca yang menghancurkan negara. Kepimpinan adalah amanah. Namun, kelihatan semakin jelas pemimpin negara yang rakus kepada harta, kuasa dan pangkat, sehingga mula membuang rakan mereka sendiri tatkala ada yang cuba memperingatkan mereka.
Juga, pemimpin rakus ini menutup kesalahan mereka dengan menyalahkan pemimpin silam mereka pula.
2. Mendekati agamawan sebagai strategi halus. Bagi membaiki imej tercalar, pemimpin rakus kini mula mencari teman-teman baru dari kalangan agamawan dan para lebai yang dilihat masyarakat sebagai orang agama.
Maka akan ada yang hanyut daripada perjuangan asal mereka dan akan ada yang tertipu. Itu sebenarnya adalah satu helah dan bukan bertujuan meminta agamawan menyemak imbang kesilapan pemerintah, supaya tidak menyalahgunakan khazanah negara dan seterusnya mendapat keampunan Allah swt.
3. Membangkit isu perkauman tatkala tersepit kerana strategi ini segera menarik simpati dan sokongan emosi bangsa. Pada sebahagian orang Melayu yang ada bibit-bibit kecil cemburu kepada kejayaan bangsa lain, akan mudah terkena api atau termakan jarum daripada pemimpin rakus yang amat halus ini.
Sesungguhnya, api ini amat bahaya dan mudah menyala. Marak bahaya bukan hanya kepada kaum tetapi keselamantan sebuah negara.
4. Mencorak imej baru inginkan hudud. Ini adalah strategi halus untuk mengabur mata ummah, dan terbukti jerat telah terkena mangsa.
Ada pula percubaan untuk paparkan yang Parti AMANAH Negara sebagai penolak hudud, sedangkan parti ini terus berusaha gigih berjuang untuk meletakkan Islam yang sarat dengan keadilan, rahmah, kesatuan, kebebasan, keindahan, ketenangan kebahgiaan dan kebajikan, di puncak paling tinggi sebagai "ustaziatul alam".
Sebaliknya, pemimpin rakus ini, secara halus, menggunakan pula urusan teknikal seperti pertembungan enakmen negeri dan akta di Parlimen sebagai alasan dan permainan mereka untuk tidak pula melaksana hudud, yang dijanjikan, setelah umpan mengena mangsa.
Orang awam kini makin keliru dalam isu ini. Akhirnya, isu hudud hilang senyap begitu sahaja dan akan muncul lagi tatkala ia diperlukan untuk menarik emosi dan perhatian orang-orang Islam.
Parti AMANAH Negara komited untuk mempersembahkan erti sebenar penyatuan Melayu dan Islam tanpa menimbulkan ketakutan dan mengugut kaum dan agama lain. Terbukti, wawasan parti yang berasaskan prinsip ini mula mendapat sokongan berbagai kaum merentasi negara.
Momokan bahawa Parti AMANAH adalah tunggangan parti DAP telah ditolak oleh orang ramai yang mengetahui strategi-strategi halus mereka yang dipelajari daripada dasar pecah dan perintah tinggalan penjajah.
Teguran daripada parti-parti dalam PAKATAN HARAPAN akan tabiat pemimpin rakus harta dan kuasa ini, rupanya memberi kesan dan menakutkan mereka sehingga strategi halus di atas mereka mainkan.
Mari semua rakyat Malaysia kita tegur dan benteras kerakusan pemimpin yang bertopengkan pejuangan negara dan agama.
Mari mengenali Parti AMANAH Negara dengan lebih dekat agar mahabbah dan silaturahim antara rakyat terus bersemi kukuh.
Berilah peluang parti AMANAH dan PAKATAN HARAPAN untuk membina kehidupan baru selepas kita semua dikelirukan oleh rompakan harta negara sejak dulu seperti dalam kes BMF, Tabung Haji, Lembu, PERWAJA, 1MDB, RM2.6B, joli YAPEIM dan berbagai lagi.
Misteri pembunuhan Altantuya, Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Pendakwaraya Jabatan Peguam, mantan ADUN Terengganu akan terus menjadi tanda tanya. Ataukah ini amaran ancaman untuk menakutkan sesiapa yang ingin berkata benar?
Membiarkan rakyat mengharungi keperitan hidup dengan beban GST, kenaikan harga tol, tambang kos kenderaan awam, harga minyak, sewa dan nilai rumah kediaman, kenaikan harga barang keperluan dan kos pendidikan adalah tahap ketidakpedulian pemerintah yang amat memalukan.
Apatah lagi hanya untuk disambut dengan lawak jenaka badut-badut dari kabinet Perdana Menteri Malaysia.
Kalangan rakyat yang tidak memahami akan terus berada dalam kekeliruan dan kegelapan. Parti AMANAH akan bangkit membimbing dan mengenengahkan sesuatu yang sangat bererti buat negara.
Kami yakin setelah mengenali Parti AMANAH Negara, rakyat tidak akan memusuhi malahan akan terus mengenali dan berdiri padu bersama kami, demi membantu rakyat.
USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS
Naib Presiden
Parti AMANAH Negara
Biasanya Kita Akan Memusuhi Apa Yang Kita Tidak Ketahui
Written By Wadah Baru on Khamis, 31 Disember 2015 | 12:18 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan