Home » , » Dwi fungsi Amanah

Dwi fungsi Amanah

Written By Wadah Baru on Rabu, 9 Disember 2015 | 2:52 PTG

Oleh Abd Shukur Harun

Parti Amanah Negara (Amanah) kini sudah berumur 3 bulan, dengan keahlian hampir mencapai 100,000 orang – sebuah parti yang sedang berkembang dan sudah dirasakan kehadirannya di mana-mana.

Politik memang mengenai kuasa – politic is about power – dan Amanah sendiri tentunya akan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang untuk mendapatkan kuasa hingga ke Putrajaya.

Namun kehadiran Amanah – sebagai parti politik yang bernuansa Islam dan juga memiliki ciri-ciri sebuah gerakan Islam, mendukung dwi fungsi besar.

Iaitu sebagai parti politik, dalam masa yang sama sebagai gerakan Islam generasi ke-2 yang mempunyai visi untuk mengubah world-view Islam daripada pandangan yang jumud, beku, terperangkap dengan pemikiran tradisi yang hingga keadaannya menutup ruang Islam sebagai "Rahmatan Lil Alamin" – Islam sebagai rahmat seluruh alam. Ertinya di sini, Amanah mempunyai visi pencerahan Islam supaya Islam itu dilihat terbuka, ramah, peduli rakyat, tidak bersifat menghukum dan melabel. Lebih daripada segalanya, Amanah mempunyai visi menghantar Islam, dari segi pendekatannya, sebagai agama agung, wasatiyyah dan menjadi penyelesai masalah manusia. Ini diungkapkan al-Quran secara amat jelas.

Di sinilah Amanah diamanahkan supaya mengadakan pencerahan dari segi pendekatan, sedangkan dasar-dasar asas Islam kekal dipertahankan.

Dengan keupayaan para tokoh agama dan intelektual yang berfikiran dinamik di dalam Amanah, saya kira, visinya dapat direalisasikan.

Beberapa bulan lalu, para tokoh ini mengadakan Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah 2015 (Nunji’15) – wacana yang menuju kepada fikah Malayzi (fikah yang mengambil pendekatan realiti masyarakat Malaysia).

Ketika berucap di perasmian Nunji ’15 Ogos lalu itu, Pengarah Nunji ’15, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa menekankan 8 perkara yang menjadi sebahagian daripada perjuangan Harapan Baru, yang kini Amanah.
Lapan perkara itu ialah:
1. Bagi memposisikan diri sebagai sebuah parti Islam baharu dalam politik negara ini, Harapan Baru menganjurkan satu seminar yang dipanggil Nunji’15 pada Ogos lalu.

2. Ia dinamakan sebagai Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah, sebagai merujuk kepada “kebangkitan baharu” dari sudut pemikiran Islam yang inklusif.

3. Kami memilih tema “Islam dan Konsep Kenegaraan” bagi merungkaikan masalah perlaksanaan Islam dalam kerangka sebuah negara serta perundangan yang ada.

4. Ia antara lain membincangkan tajuk penetapan kaedah fikah dalam operasi setempat dan lokal. Ia juga akan melihat aspek cabaran menyediakan suasana perlaksanaan syariah serta bagaimana perpindahan konsep kewarganegaraan dari kerangka fikah klasik kepada realiti konsep warga negara dapat dilakukan.

5. Slogan untuk Nunji’15 ini ialah "Al- Islam Rahmatan Lil Alamin" (Islam Rahmat untuk Semua), berpandukan kepada surah Al Anbiya ayat 107. Seminar ini berusaha untuk membumikannya dalam bentuk dasar-dasar negara.

6. Nadwah ini diharapkan dapat membentuk pemikiran ke arah fikah Malaysia dengan mengambil kira suasana kepelbagaian agama dan budaya.

7. Bagi memenuhi maksud itu, penganjur NUNJI’15 menampilkan barisan para ilmuwan dan ulama berwibawa dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pengalaman dengan masalah yang dihadapi bersama dalam isu politik Islam dan isu kenegaraan ini.

8. Di akhir program ini, satu resolusi dihasilkan yang akan menjadi panduan lembaran baharu kepada perjalanan politik Islam dan isu yang memerlukan kepada pendirian sikap yang jelas.

Mujahid selanjutnya menekankan: "Kita akan melihat Islam dalam situasi lokal di Malaysia yang bermasyarakat majmuk untuk melahirkan 'fikah' Malaysia yang tidak lari daripada syariat dalam konteks negara seperti Malaysia."

Baginya, seminar ini membincangkan perkara yang lebih besar yang selama ini terlepas pandang iaitu Islam dalam konteks kenegaraan di negara seperti Malaysia.

Katanya, umum berpendapat, politik dan syariah Islam ini kontradik dengan Malaysia dan ia perlu diperbetulkan.

"Apa yang perlu dilihat adalah Islam adalah agama rasmi persekutuan dan agama lain bebas diamalkan. Islam pula kuasa negeri yang melahirkan konflik antara perlembagaan dan kefahaman. Ini perlu kita kaji.

"Kita hendak buktikan, dalam suasana Malaysia, syariah Islam tidak bercanggah. Kerana, hukum boleh berubah mengikut tempat dan keadaan serta kondisi sebagaimana dibahaskan panjang lebar Ibnu Qayyim," kata Mujahid.

Nunji'15 juga kata Mujahid, membincangkan pendekatan pelaksanaan syariah di Malaysia agar tidak terperangkap dengan pemikiran seolah-olah pelaksanaan hudud saja menjadi masalah utama di Malaysia.

Selain itu, seminar ini bertujuan mendapatkan pandangan agamawan dalam menetapkan agenda Islam dalam perjuangan GHB di samping menjadi asas kepada keterlibatan para ulama dan asatizah dalam menggerakkan secara bersama organisasi GHB sebagai pimpinan dan aktivis.

Empat bulan berlalu sejak Nunji ’15 diadakan, maka harapan kepada parti baharu ini, yang mempunyai potensi besar, dapat meneruskan gagasan fikah Malyazi, fikah yang mengambil kira suasana realiti negara Malaysia yang sangat unik.

Dasar asas Islam tidak dikompromikan, ia kekal utuh. Yang hendak dilaksanakan ilmuwan progresif ini ialah pendekatan mengenai fikah yang memenuhi tuntutan realiti suasana Malaysia.

Dengan itu, saya kira, Amanah memiliki dwi fungsi utama. Pertama, sebagai parti politik yang sudah tentu hendak memenangi pilihan raya dan dalam masa yang sama ia berfungsi untuk mengadakan pencerahan kepada tasawuur Islam, terutamanya daripada segi fikah.

Ini saya kira tujuan pimpinan Amanah. Jika dwi fungsi ini berjaya, dengan izin Allah, maka terserlah keunggulannya bukan saja sebagai parti politik Islam, tetapi juga sebagai gerakan Islam generasi ke-2.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger