Home » , » Putus harapan, pihak bantah lebuh raya ikrar lawan Pakatan Harapan

Putus harapan, pihak bantah lebuh raya ikrar lawan Pakatan Harapan

Written By Wadah Baru on Jumaat, 5 Mei 2017 | 2:47 PTG

PETALING JAYA: Selepas gagal menghalang kerajaan Selangor meneruskan projek Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), beberapa pertubuhan yang membantah projek tersebut semalam berikrar berkempen menentang Pakatan Harapan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Jurucakap “Say No To DASH”, Mark Khuin Weng, berkata kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mempedulikan bantahan pembinaan DASH yang dihantar sejak beberapa tahun lalu.

Ia menyebabkan mereka putus harapan untuk meneruskan bantahan.

“Kami sudah penat, kalau bantah pun macam tak ada guna, sebab kerajaan tidak mahu dengar.
“Apa yang kita boleh buat ialah minta semua penduduk tidak mengundi kerajaan Pakatan atau Pakatan Harapan pada PRU akan datang,” kata Mark.

Menurutnya, belanja guaman yang besar menyebabkan hasrat mereka membawa kes itu ke mahkamah terpaksa diabaikan.

“Jadi buat apa nak bertengkar dengan kerajaan sebab yang bayar cukai kami, kalau saman kerajaan, mereka guna duit kami bayar cukai juga untuk lawan kami,” katanya
 
Projek lebuh raya DASH  oleh kerajaan persekutuan yang menelan belanja hampir RM10 bilion ini mendapat kelulusan tanah daripada kerajaan Selangor dan mula dibina Ogos tahun lepas.

Sebelum ini, beberapa pihak daripada parti politik dan badan bukan kerajaan menyuarakan bantahan terhadap kerajaan negeri berhubung rancangan pembinaan DASH dan SUKE, atas alasan menjejaskan kawasan perumahan penduduk.

Mark berkata, projek itu akan menyebabkan banjir kilat berlaku di kawasan Shah Alam dan perkara sama dijangka berlaku di sekitar Damansara Perdana, memandangkan lebih 1,000 pokok terpaksa memberi laluan.

“Di Damansara Perdana, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah memberi notis untuk menebang pokok disana sebanyak 1,100 batang, disusuli kawasan lain,” katanya.

DASH sepanjang 20km bermula dari Puncak Perdana di Shah Alam, menghubungkan Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Sungai Buloh, Kota Damansara, Damansara Perdana dan Mutiara Damansara, sebelum tamat di Lebuhraya dan menyusur ke Lebuhraya Damansara–Puchong dan Lebuhraya Sprint.

Kerajaan berkata projek itu menjadi pelengkap kepada 4 lebuh raya yang ada sekarang iaitu LDP, Penchala, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

Manakala SUKE, sepanjang 24km, bermula di Sri Petaling dan melalui Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Taman Bukit Permai, Taman Putra, Taman Permai Jaya, Taman Dagang Permai, Taman Kosas, Ampang dan Taman Hillview sebelum tamat di Ulu Kelang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger