Home » , » Kementerian: SRC akan jual aset untuk langsai hutang

Kementerian: SRC akan jual aset untuk langsai hutang

Written By Wadah Baru on Khamis, 4 Mei 2017 | 2:45 PTG

PETALING JAYA: Kementerian kewangan berkata bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd (SRC), akan menjual asetnya untuk membayar semula pinjaman daripada kerajaan.

Kementerian berkata SRC masih berusaha melangsaikan hutangnya walaupun 2015 dan 2016 merupakan tahun yang mencabar untuk syarikat itu.

“Antara langkah yang akan diambil adalah untuk menjual aset-aset syarikat untuk menyelesaikan hutang kepada kementerian kewangan,” lapor portal Malaysiakini hari ini.

Perkara ini dinyatakan dalam jawapan bertulis Parlimen kepada soalan Ahli Parlimen Selayang William Leong mengenai hutang tertunggak SRC.

SRC masih berhutang RM310 juta kepada kerajaan pada kadar faedah 4% setahun, kata kementerian dalam jawapan mereka.

SRC juga berhutang RM4.385 bilion kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada kadar faedah antara 4.3% dan 5.1% setahun.

Jawapan itu, bagaimanapun, tidak menyebut mengenai aset yang dirancang SRC untuk dijual, kata portal itu.

SRC ditubuhkan pada 2011 untuk meneroka pelaburan strategik antarabangsa dalam sektor tenaga.
Ia adalah anak syarikat 1MDB dan kemudian diletakkan di bawah kementerian kewangan, diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada November, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengakui SRC mengalami kesulitan kewangan kerana berdepan masalah mendapatkan semula wang yang disimpan di Bank BSI.

Masalah timbul selepas cawangan bank Switzerland di Singapura itu ditutup kerana memungkiri peraturan pengubahan wang haram dalam perkembangan yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

SRC kini menjadi subjek siasatan Switzerland yang percaya sekurang-kurangnya RM800 juta dari SRC digelapkan, kata portal itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger