Home » , » Rafizi: Krisis 1MDB akan berulang

Rafizi: Krisis 1MDB akan berulang

Written By Wadah Baru on Khamis, 4 Mei 2017 | 2:43 PTG

KUALA LUMPUR: Pertikaian dalam IWH-CREC Sdn Bhd, sebuah usaha sama antara Iskandar
Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC), serta syarikat milik kementerian kewangan TRX City Sdn Bhd, menimbulkan keraguan ke atas penstrukturan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli percaya pembatalan perjanjian penjualan saham (SSA) Bandar Malaysia, yang didakwa diperlukan untuk menstrukturkan hutang 1MDB nampak seperti akan menghantui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya percaya pentadbiran Najib akan terus menemui jalan buntu untuk menyelesaikan masalah hutang 1MDB terutamanya bila mana projek-projek yang disusun dengan pembiayaan dana kerajaan China mula bermasalah,” kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pada sidang media di pejabat Invoke hari ini.
Semalam, TRX City mengumumkan penjualan 60% modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia, sebuah projek mega di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur, terbatal berikutan “kegagalan pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran”.
Oleh itu, TRX City akan segera menjemput pihak berminat untuk menjadi pemaju utama projek itu, sementara mengekalkan pegangan 100% kementerian kewangan dalam Bandar Malaysia.

Rafizi berkata kerajaan sebelum ini mempertahankan penjualan 60% pegangan dalam Bandar Malaysia kepada konsortium IWH-CREC sebahagian daripada pelan penstrukturan hutang 1MDB.

“Terbatalnya penjualan tersebut bermakna hutang yang ditanggung oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (anak syarikat 1MDB) dan 1MDB keseluruhannya masih kekal tidak diselesaikan.”

Beliau juga mendakwa ia mungkin memberi kesan kepada RM1.55 bilion yang perlu dibayar kepada Lembaga Tabung Haji (TH), yang melabur dalam terbitan sukuk Bandar Malaysia pada Februari 2014.

“Bayaran pokok pertama yang perlu dibuat kepada Tabung Haji ialah 2021 (4 tahun dari sekarang) dan bakinya dalam 2024,” katanya.

Jumlah pelaburan dalam 2 bahagian sukuk tersebut ialah RM920.8 juta, dan diterbitkan untuk membiayai pembinaan kemudahan penggantian berhubung penempatan semula pangkalan tentera udara Sungai Besi.

Rafizi berkata perkembangan terbaharu itu juga menimbulkan persoalan mengenai hubungan antara Najib dan Beijing.

“Jika ada perbezaan besar mengenai jual beli Bandar Malaysia hingga menyebabkan pertikaian terbuka antara anak syarikat kerajaan China dengan kerajaan Malaysia, itu bermakna hubungan yang mendingin itu akan turut terpalit kepada projek-projek besar yang lain seperti pembinaan Projek Keretapi Pantai Timur (ECRL).”

Bandar Malaysia merupakan projek terbesar pentadbiran Najib, yang antara lain akan memuatkan stesen utama sistem kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger