Home » » Platform kukuh himpun kumpulan Islam rentas jemaah

Platform kukuh himpun kumpulan Islam rentas jemaah

Written By Wadah Baru on Rabu, 15 Julai 2015 | 11:08 PTG

Oleh : Ustaz Hasrizal Abd Jamil

Harapan peribadi saya dengan kemunculan Gerakan Harapan Baru ini, lebih daripada sekadar mengisi kelompongan idea progresif Islam dalam politik. Sebaliknya saya harap ia menjadi platform yang kukuh untuk menghimpun kumpulan-kumpulan Islam dalam semangat ukhuwwah Islamiyyah merentas 'jemaah' dan melangkaui beban sejarah.

Apabila anggota JIM / IKRAM menyertai PAS, mereka tiada lagi di dalam chain of command eksekutif JIM / IKRAM. Mereka dilepaskan untuk bergerak dengan penuh integriti di dalam parti yang mereka pilih. Tetapi selepas lebih 10 tahun berjuang bersama, susah senang bersama, termasuk ditahan dan dikenakan pelbagai tindakan undang-undang, perbezaan pendapat akhirnya disandarkan kembali kepada label-label silam yang mendalamkan permusuhan.

Penatnya hidup bermusuhan, curiga mencurigai, dan hodoh benar pada tahun 2015 masih mahu tarik menarik berebut-rebut pengikut.

Alhamdulillah Gerakan Harapan Baru, biar pun katalisnya adalah G18, ia beransur pergi ke dimensi yang lebih besar. IKRAM, Haluan, ABIM, dan pelbagai pertubuhan lain moga semakin dekat, menguzurkan perbezaan dan meningkatkan persefahaman. Gerakan Harapan Baru kena kuat mendengar, andai ada kebiasaan semasa di dalam PAS yang tidak sihat untuk semangat harapan baru, bermujahadahlah meninggalkannya.

Jika selama ini kita mungkin terlalu fokus kepada satu musuh iaitu saingan politik kita, tingkatkanlah rasa sedar yang tinggi bahawa beyond UMNO, BN atau mana-mana entiti politik, musuh kita yang hakiki adalah SYAITAN, dan HAWA NAFSU.

Siapalah saya untuk memberi nasihat kepada pejuang-pejuang. Ia hanya harapan saya, seorang rakyat.

Menubuhkan parti baru ini memang bukan pilihan terbaik. Tetapi krisis PAS tidak meninggalkan banyak pilihan. Justeru, kuatkan azam, bangkitkah dalam seribu kepayahan, dengan semangat inklusif itu, ramai saudara Islam dalam pelbagai NGO in sha Allah akan bersama. Non Muslim juga disantuni dengan akhlaq dan perkongsian pendidikan.

Mencela 'kuffar' itu sikapnya seolah-olah kita tiada tanggungjawab dakwah ke atas mereka.

Hulurkan salam persaudaraan dan persahabatan.

Sesungguhnya itulah munajatku di penghujung Ramadan ini. #gerakanharapanbaru

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger