Home » , » Surat Husam Untuk Kerajaan Kelantan

Surat Husam Untuk Kerajaan Kelantan

Written By Wadah Baru on Ahad, 4 Oktober 2015 | 2:26 PTG


اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

YB Dato' Mohd Amar bin Abdullah,
Pemangku Menteri Besar Kelantan,
KOTA DARULNAIM
15503 KOTA BHARU, KELANTAN,

HUTAN SIMPAN BERANGKAT - SEKALI LAGI DI BAWAH HARGA PASARAN

Saya pernah menulis surat rasmi (tertutup dan tidak disiarkan di mana-mana) kepada YAB Menteri Besar setahun lebih yang lalu membantah tindakan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) meluluskan kawasan Hutan Simpan Kekal ( HSK ) Berangkat untuk perladangan seluas 5 ribu ekar tanpa tender dan di bawah harga pasaran kepada LPSB.

Alhamdulillah YAB MB segera bertindak membatalkan kelulusan itu.

Saya ingat ia berakhir di situ.

Maklumat terkini yang saya ada menunjukkan PMBK meluluskan semula kawasan itu kepada syarikat berkenaan sekali lagi, April lalu.

Harga yang ditawarkan adalah RM 3 ribu se ekar termasuk semua perbelanjaan seperti kos ukur sempadan, cukai tanah dan lain-lain.

Saya difahamkan, setelah ditolak kos cukai tanah dll, pendapatan bersih untuk PMBK hanya sebanyak RM 7 atau RM 8 juta sahaja.

Dengan ini, pendapatan bersih se ekar hanya sebanyak antara RM 1,400 hingga RM 1,600 se ekar.

Sedangkan nilai pasaran adalah tidak kurang dari RM 5,000 se ekar bersih.

Ini akan menjanakan pendapatan kepada PMBK sebanyak RM 25 juta bersih berbanding RM 8 juta!

Perbezaan antara RM 16 juta hingga RM 17 Juta !!!

Bahkan jika dilakukan tender terbuka, saya yakin dengan kedudukan tanah Berangkat yang amat baik, PMBK akan mendapat tawaran yang lebih tinggi.

Saya hairan mengapa Jawatankuasa Penasihat PMBK di mana YB adalah salah seorang anggotanya, nampak begitu terikat dengan syarikat berkenaan.

Saya difahamkan oleh syarikat-syarikat lain yang turut membuat tawaran bahawa tawaran mereka adalah lebih baik tetapi ditolak.

Suka juga saya mengingatkan tujuan asal kawasan Berangkat diluluskan kepada PMBK oleh YAB Tok Guru di masa itu adalah untuk dimajukan sendiri khususnya melalui PMBK Sawit.

Saya berharap tujuan asal ini tidak dikorbankan dan pihak lain pula mengaut keuntungan darinya.

LPSB nampaknya terus menjadi pilihan sungguh pun tujuan asalnya adalah lain dan terdapat tawaran lebih baik oleh syarikat-syarikat lain.

Mengapa?

Saya pohon kelulusan berkenaan dibatalkan. Apa lagi surat pembebasan hutan difahamkan belum dikeluarkan oleh Jabatan Hutan.

Jika kelulusan ini diteruskan, mungkin saya akan memfailkan perintah injunksi di mahkamah ke atas PMBK dengan tujuan menjaga khazanah rakyat negeri Kelantan.

Tujuan saya juga adalah untuk menghentikan amalan meluluskan khazanah rakyat Negeri Kelantan di bawah nilai pasaran yang menyebabkan kerugian pendapatan kepada negeri Kelantan.

Saya suka mengingatkan YB Dato bahawa antara fungsi utama PMBK pada masa lalu ialah menyelamatkan hartanah prima. Ia bukan pintu belakang untuk mana-mana pihak melepaskan harta dan khazanah negeri ini sesuka hati.

Saya mohon respon segera YB.

Sekian terima kasih.

Husam Musa
Adun Salor

7 Zulhijjah 1436/21 September 2015

Nota:
Surat rasmi pertama saya mengenai isu ini telah saya sampaikan kepada YAB MB Kelantan kurang lebih dua tahun yang lalu.

Saya tidak menyiarkannya di mana-mana kerana YAB MB telah memberikan respon tiga hari selepas surat saya.

Surat rasmi kedua ini saya sampaikan kepada YB Dato TMB pada 21hb September kerana kelulusan yang dibatalkan dahulu diperbaharui.

Saya tidak menerima sebarang maklum balas sehingga ini.

Saya memutuskan untuk dikongsi dengan rakyat Kelantan yang prihatin dan sensitif terhadap kepentingan negeri Kelantan, moga ada kesannya.

Yb. Husam Musa
ADUN Salor,
Petang 3 Oktober 2015

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger