Home » , » Sidang Meja Bulat Pembentukan Pakatan pembangkang.Moga Ada Sinar Di Hujung Terowong Demi Rakyat

Sidang Meja Bulat Pembentukan Pakatan pembangkang.Moga Ada Sinar Di Hujung Terowong Demi Rakyat

Written By Wadah Baru on Sabtu, 19 September 2015 | 3:00 PTG

Oleh DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR

1. Cadangan Ketua Pembangkang YB Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk mengadakan Sidang Meja Bulat pada 22 September 2015 di kalangan pimpinan parti-parti politik pembangkang dan ngo-ngo mesra pembangkang untuk perubahan bagi menubuhkan pakatan pembangkang yang baru sudah tentu disambut gembira oleh rakyat Malaysia.

2. Kegembiraan rakyat Malaysia sudah tentu didorong kepada ingin melihat kembali penyatuan pembangkang bagi membawa perubahan mengatasi krisis besar negara, kejatuhan nilai ringgit, skandal 1MDB yang membebankan rakyat berpunca daripada salahguna kuasa serta harapan untuk melihat Malaysia kembali ke landasan yang betul.

3. Harapan tidak akan bertukar menjadi kenyataan jika pimpinan parti-parti pembangkang tidak bersedia bertolak ansur. Pada saya, apa yang penting ialah jadikan pertemuan di Sidang Meja Bulat itu nanti sebagai  satu permulaan untuk mencari titik pertemuan dengan kebijaksanaan komunikasi. Hindarkan lah daripada meletakkan berbagai syarat pertemuan kerana syarat pertemuan akan hanya menggagalkan pertemuan dan perbincangan. Dahulukan lah pertemuan dan perbincangan,  pasti ada keberkatan.

4. Saya memahami betapa sukar untuk mereka yang telah terlajak kata atas nama pendirian dan dibayangi dengan kemungkinan pelbagai label politik hipokrit dan politik munafik yang akan dilontarkan oleh mereka yang ingin melihat penyatuan pembangkang gagal. Walaubagaimanapun, saya penuh yakin semua label tersebut akan ditenggelamkan oleh ombak jiwa besar dan berpemikiran jauh oleh pimpinan-pemimpin  politik berpengalaman dan berjiwa besar untuk rakyat dan Malaysia tercinta. Rakyat ingin melihat perubahan kuasa politik daripada kerakusan kepada kejujuran, daripada salahguna kuasa kepada bersama rakyat berkongsi kuasa.

5. Saya mengharap kepada pimpinan parti-parti politik pembangkang akan segera memenuhi impian rakyat yang mengharap dan menanti. Jangan lah dibiarkan penantian ini menjadi satu penyeksaan kerana tanpa perubahan politik, negara dan  rakyat akan terus terseksa dengan pemerintahan umno bn. Tamatkan penyeksaan ini dengan linangan airmata gembira. Jadikan lah Sidang Meja Bulat itu nanti untuk bersama rakyat membulatkan tekad untuk membina sebuah Malaysia Baharu dengan politik jujur mewarnai Malaysia tercinta.

SIDANG MEJA BULAT UNTUK TEKAD YANG BULAT MEMBINA MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
18 Sept 2015/4 Zulhijjah 1436H

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger