Home » , » AMANAH Kelantan sifatkan PAS pengacau dalam dua PRK

AMANAH Kelantan sifatkan PAS pengacau dalam dua PRK

Written By Wadah Baru on Selasa, 17 Mei 2016 | 4:14 PTG

Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan menyifatkan PAS hanya 'pengacau' jika masih berdegil untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.
Naib Pengerusinya Che Ibrahim Mohamed berkata PAS tidak boleh mendakwa kedua-dua kawasan itu adalah 'tempat' mereka kerana sudah tiga kali kalah walaupun mendapat sokongon DAP dan PKR pada pilihan raya umum lalu.

"(Walaupun bertanding) atas nama Pakatan Rakyat pun (PAS) masih belum menang, bagaimana (bila) PAS bertanding bersendirian dia kata dia ada (sokongan) akar umbi.

"Pihak ketiga hanyalah pengacau. Kita (Amanah) rasa peluang kita menentang Barisan Nasional berbanding PAS itu adalah lebih baik sebab kita bertanding atas nama Pakatan Harapan yang mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong parti pembangkang," katanya pada sidang akhbar di pejabat parti itu di Kota Bharu, hari ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata PAS bersikap terbuka terhadap cabaran daripada parti pembangkang lain yang mahu meletakkan calon pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor pada 18 Jun depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak pada 18 Jun. Hari penamaan calon ialah pada 5 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar masing-masing berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Dalam pada itu, Che Ibrahim turut menyelar kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menolak tawaran Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar parti itu kembali bersatu di bawah Pakatan Harapan yang kini dianggotai DAP, PKR dan Amanah.
-Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger