Jarang ahli politik menulis surat panjang lebar dengan penggunaan
bahasa indah berhias puisi-puisi penyair terkenal seluruh dunia.
Tetapi di sebalik pemilihan kata-kata, Datuk Seri Anwar Ibrahim
mengejutkan banyak pihak dengan surat lapan halaman daripada penjara
yang lantang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad dan Deklarasi Rakyat.
Anwar menyentuh pelbagai isu, daripada masalah keteguhan perjuangan dalam PKR kepada kelicikan dalam politik Malaysia.
Selain Mahathir, Tun Daim Zainuddin yang dilihat 'orang kanan'
perdana menteri keempat itu serta Tengku Razaleigh Hamzah tidak terlepas
daripada kritikan Anwar.
Bagaimanapun, surat panjang itu mungkin sedikit sukar difahami gaya
penulisan itu. Berikut inti pati amanat Anwar itu yang disusun semula
oleh Malaysiakini:
(1)
Terdapat pemimpin PKR bersekongkol dengan Mahathir dan Tun Daim melalui
Deklarasi Rakyat. Strategi itu menggugat perjuangan PKR dan pemimpinnya
harus menghindari permainan elit penguasa untuk mengekalkan sistem
usang. Mahathir dan Daim agresif mempertahankan sistem kroni
kapitalisme.
(2) Tengku Razaleigh Hamzah licik mempergunakan
akuan bersumpah (SD) anggota parlimen yang tidak menyokong kepimpinan
Najib, walaupun menafikannya. Tengku Razaleigh atau Ku Li meletakkan
diri sebagai calon kompromi di tengah-tengah pertembungan Datuk Seri
Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
(3) Anwar menetapkan jarak daripada awal dengan
“kelompok Deklarasi Rakyat”. Agenda perubahan harus selaras dengan
gagasan reformasi.
(4) Deklarasi Rakyat menafikan kepentingan moral
untuk “reformasi terhadap demokrasi yang beramanah”. Pelancarannya
seolah-olah ditetapkan tanpa boleh dirunding. Malah, pandangan PKR
dimasukkan di saat-saat akhir dan sekadar mencantikkan deklarasi.
“Dokumen Tun M” itu cacat dan tidak selari dengan pandangan reformasi.
(5) Deklarasi Rakyat hanya menumpukan kepada
pengunduran Najib dan jauh terpesong daripada asas perjuangan PKR untuk
kebebasan dan keadilan, kedaulatan undang-undang dan melawan salah guna
kuasa serta rasuah.
(6) Mahathir pemimpin zalim dan paling korup sebagai
mantan menteri kewangan. Bagaimanapun terdapat pemimpin PKR terpegun
dan merendah diri dengannya seolah-olah masih tersekat dengan budaya
feudal.
(7) Mahathir tidak pernah menghargai sifat berlapang
dada padanya, bahkan menunjukkan sifat terkutuk meneruskan serangan
peribadi. Lebih sedih lagi, penghinaan itu tidak dibela oleh
rakan-rakannya yang lebih mementingkan usaha sama dengan Mahathir. Anwar
dan Azizah merasakan keperluan membantah sebagai prinsip mempertahankan
maruah.
(8) Kumpulan elit penguasa hanya berusaha
menyelamatkan Umno. Memetik penyair Inggeris William Shakespeare, Anwar
berkata “ular yang dulu mematuk kini memakai mahkota”.
(9) Anwar mengutuk sikap tidak peka yang mendesak
presiden, dan khususnya Nurul Izzah (anaknya) membuat kunjungan hormat
terhadap Mahathir. Hasrat mengambil hati Mahathir dengan menuntut
pengorbanan keluarganya, terutamanya selepas cemuhan bekas perdana
menteri itu, sangat tidak berhati perut.
(10) Dakwaan Najib menghantar Zahid bertemunya di
Hospital Kuala Lumpur ketika beliau dimasukkan ke wad baru-baru ini
adalah fitnah untuk melahirkan kesangsian dan perbalahan.
(11) Anwar berasa sugul. Derita di penjara tidak
sekusut perkembangan terkini PKR apabila idealisme perjuangan mula
terhakis, teruji dengan kilauan kuasa dan dana. Memetik penyair terkenal
Indonesia Tawfiq Ismail, Anwar mengetengahkan sajak yang mengingatkan
wujudnya golongan pengkhianat, penjilat dan pahlawan jadi-jadian dalam
perjuangan.
11 inti pati amanat 'puitis tapi pedas' Anwar
Written By Wadah Baru on Selasa, 17 Mei 2016 | 4:16 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan