Home » , » DAP terus bersama Dr M, walaupun tanpa 'restu' Anwar

DAP terus bersama Dr M, walaupun tanpa 'restu' Anwar

Written By Wadah Baru on Selasa, 17 Mei 2016 | 4:20 PTG

DAP hari ini menegaskan untuk terus bekerjasama dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun selepas terdedahnya 'warkah dari penjara' hasil nukilan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam respons pertama dari DAP sejurus tersebarnya surat tersebut semalam, Tony Pua berkata, keprihatinan yang ditunjukkan Anwar itu adalah perkara biasa.
"Ia adalah reaksi yang biasa. Selain Anwar, masih ramai di luar sana yang sangsi dengan Mahathir. Sama seperti mereka meragui ketika Anwar menyertai pembangkang banyak tahun yang lalu.
"Kebimbangan beliau itu ada rasionalnya seperti kami jua. Kami juga takut dipergunakan (oleh Mahathir demi agenda peribadi)," kata Pua  yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu.
Dalam surat dengan lapan halaman itu, Anwar mengejutkan banyak pihak dengan kritikan terbuka terhadap Mahathir dan Deklarasi Rakyat selain menyentuh pelbagai isu, daripada masalah keteguhan perjuangan dalam PKR kepada kelicikan dalam politik Malaysia.
Selain Mahathir, Tun Daim Zainuddin yang dilihat 'orang kanan' perdana menteri keempat itu serta Tengku Razaleigh Hamzah tidak terlepas daripada kritikan Anwar.
Antara inti pati amanat Anwar itu ialah terdapat pemimpin PKR bersekongkol dengan Mahathir dan Tun Daim melalui Deklarasi Rakyat sehingga menggugat perjuangan parti itu.
Deklarasi Rakyat turut menafikan kepentingan moral untuk “reformasi terhadap demokrasi yang beramanah” dengan hanya menumpukan kepada pengunduran Najib dan jauh terpesong daripada asas perjuangan PKR untuk kebebasan dan keadilan, kedaulatan undang-undang dan melawan salah guna kuasa serta rasuah, kata Anwar lagi.
Mahathir juga disifatkan sebagai pemimpin zalim dan paling korup sebagai mantan menteri kewangan sambil memetik memetik ungkapan oleh penyair Inggeris terkenal, William Shakespeare : “ular yang dulu mematuk kini memakai mahkota”.
Mengulas lanjut, Pua menambah, selepas menimbang buruk baiknya dalam kerjasama dengan Mahathir, DAP merasakan boleh meraih manfaat dalam kerjasama itu, terutama penyokong BN yang dibawa olehnya.
"Titik utama ialah kita mampu mendekati penyokong BN menerusi Mahathir. Kami boleh menggunakan pengaruh beliau untuk mendekati lebih ramai penyokong," ujarnya.
"Peluang ini akan digunakan untuk menerangkan kepada penyokong BN tentang pendirian kami supaya mereka lebih mengenali Pakatan Harapan dengan lebih baik. Dan, kita mendapat lebih banyak sokongan," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger