Home » , » Parti pembangkang lain digesa tidak letak calon

Parti pembangkang lain digesa tidak letak calon

Written By Wadah Baru on Khamis, 12 Mei 2016 | 11:10 PG

PETALING JAYA: PAS menggesa parti pembangkang lain tidak menurunkan calon mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan meletakkan calon semata-mata untuk menguji sokongan tidak akan memberikankelebihan, sebaliknya hanya akan menguntungkan BN.

“Sehubungan dengan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan diadakan dalam waktu terdekat, diharapkan tiada parti pembangkang lain yang meletakkan calon sekadar untuk menguji sokongan.

“Hal ini kerana, tindakan sedemikian tidak lebih hanya memberi peluang besar bagi BN memenangi PRK ini,” katanya dalam satu kenyataaan hari ini.

Ujar beliau lagi, pemimpin di blok pembangkang perlu sedar pertembungan sesama blok pembangkang hanya akan merealisasikan bidalan “yang kalah jadi abu, menang jadi arang”.

“PAS akan bertempur habis-habisan terhadap UMNO/BN di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Kedua-dua kerusi ini ialah kerusi tradisi PAS, oleh itu PAS telah tegaskan akan meneruskan tradisi dengan meletakkan calon di kedua-dua Parlimen ini.

“Fokus blok pembangkang ialah menumbangkan BN. Kalau ini terus menjadi matlamat penyertaan dalam PRK ini, maka sewajarnya semua pihak berusaha agar BN dapat dikalahkan.

“Sebarang tindakan mana-mana parti pembangkang yang meletakkan calon bermakna mereka memberi tongkat kepada BN,” tegas beliau lagi.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim turut menegaskan komitmen PAS untuk terus menentang BN di Sarawak dan dua PRK akan datang adalah bukti paling kukuh tuduhan PAS hendak bergabung dengan UMNO-BN adalah fitnah semata-mata.

“Fitnah itu berlegaran sehingga hari ini dan dipercayai sengaja disebarkan bagi memecahkan PAS dan membenarkan tindakan menubuhkan parti baru,” jelasnya lagi.

Tarikh bagi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bakal diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya esok, susulan kematian dua penyandang di Parlimen itu dalam tragedi helikopter terhempas di Sungai Batang Lupar, Sarawak minggu lalu.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon bersama Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia antara dua daripada enam mangsa yang terkorban dalam nahas udara itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger