Home » , » PRK: Ujian kedua PH selepas gagal di Sarawak

PRK: Ujian kedua PH selepas gagal di Sarawak

Written By Wadah Baru on Selasa, 17 Mei 2016 | 4:30 PTG

PETALING JAYA: Isu pembahagian kerusi sesama parti pembangkang merupakan ujian kedua buat Pakatan Harapan selepas gagal mencapai kata sepakat pada PRN Sarawak lalu hingga menyebabkan pembangkang kalah teruk.
Ahli Jawatankuasa Kerja AMANAH Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata PKR juga perlu menyerahkan kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan untuk berunding dengan PAS bagi memastikan tidak berlaku pertembungan, bukannya berbincang secara bersendiri dengan parti Islam itu.
“Ini ujian kedua, sebab Pakatan Harapan gagal menguruskan masalah di Sarawak. PRK kali ini merupakan sekali lagi ujian.
“Kalau Pakatan Harapan bersetuju contohnya AMANAH bertanding, maka semua parti dalam Pakatan Harapan hendaklah berperanan menyokong. Jika PKR tidak menyokong, kegagalan sekali lagi bakal berlaku,” katanya.
Phahrolrazi berkata PKR juga sebagai mewakili satu parti tidak boleh pergi berunding dengan PAS kerana ia bertentangan dengan entiti gabungan.
“Atas pendirian siapa PKR pergi berunding dan mereka pergi berunding bagi pihak siapa sebenarnya.
“Pakatan Harapan ada kaedah dan mekanisme yang jelas bagaimana menguruskan persefahaman sesama parti dalam gabungan ini selain bagaimana mereka berhubung dengan parti pembangkang lain (PAS),” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata parti itu akan berunding dengan PAS berhubung pembahagian kerusi untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Sementara itu, PAS berkata mereka akan hanya berunding dengan PKR berhubung pembahagian kerusi dan tidak sesekali akan berbincang dengan AMANAH dan DAP.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger