Home » , » PAS tak sokong program ‘pihak lain’ yang tolak perjuangan Islam

PAS tak sokong program ‘pihak lain’ yang tolak perjuangan Islam

Written By Wadah Baru on Selasa, 4 Oktober 2016 | 2:03 PTG

KUALA LUMPUR: Beberapa hari selepas memutuskan tidak mahu menyertai perhimpunan Bersih 5 pada 19 November ini, PAS berkata ia tidak mahu diambil kesempatan oleh golongan “sekular” yang menentang perjuangannya.

“Ada masanya, PAS hanya memberikan sokongan moral kepada agenda bersama yang dipersetujui PAS, akan tetapi tidak menyertai program untuk mengelak pihak lain mengambil kesempatan terhadap apa yang ada pada parti demi matlamat lain yang tidak selaras dengan matlamat PAS,” kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam kenyataan yang dipercayai penjelasan terhadap keputusannya tidak menyertai Bersih 5.

Tuan Ibrahim berkata sejarah menunjukkan gerakan Islam selalunya membantu tuntutan kemerdekaan dan keadilan tetapi akhirnya “hasilnya dinikmati oleh pihak lain”.

“Cukuplah gerakan Islam menjadi alat bagi mencapai hasrat golongan sekular untuk mencapai hasrat mereka dan bilamana mereka berjaya Islam akan terus ditekan dan terus menjadi mangsa,” katanya tanpa secara spesifik menyatakan siapa yang dimaksudkan olehnya.

Keputusan PAS tidak menyertain perhimpunan Bersih kali ini merupakan kali kedua parti Islam itu menjauhkan diri daripada perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) itu.

Pada Ogos tahun lalu, ia enggan mengerah ahlinya untuk turut serta dalam perhimpunan Bersih 4 yang berjalan 2 hari di Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata walaupun parti itu menyokong matlamat asal tuntutan Bersih, perhimpunan November 19 itu ada matlamat lain yang menurutnya tidak selari dengan pendekatan PAS.

“Kita ada kaedah sendiri untuk menjadi pembangkang yang efektif di negara ini selaras dengan budaya politik matang dan sejahtera yang dibawa PAS,” katanya.

Bersih 2.0 kini sedang giat menjalankan kempen menjelang perhimpunan di Kuala Lumpur bulan depan.

Perhimpunan itu antara lain mendesak reformasi institusi, peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak susulan kontroversi 1MDB, dan membantah pemetaan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Tuan Ibrahim dalam kenyataannya turut membayangkan keputusan PAS tidak menyertai Bersih 5 ada kaitan dengan pendirian beberapa parti menyokong perhimpunan itu yang tidak setuju dengan teras perjuangannya seperti melaksanakan hukum hudud.

“PAS diminta menyokong pelbagai gerakan dan program pihak lain, namun apabila tiba soal perjuangan Islam yang dipelopori PAS, ada di kalangan mereka bukan sekadar bersetuju untuk tidak setuju, malah menjadi penentang dan menggerakkan penentangan kepada apa yang PAS perjuangkan,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger