Home » » Kisah tin & ‘uncle’ Lim

Kisah tin & ‘uncle’ Lim

Written By Wadah Baru on Isnin, 1 Februari 2016 | 3:34 PTG

Oleh Emmiza Hasmi

Anda pasti pernah melakukan perbuatan menbuang tin atau botol minuman daripada kenderaan anda
bukan?

Itu mungkin perbuatan yang salah tapi ia juga memberi rezeki pada setengah orang .

Setiap hari dalam perjalanan saya ke tempat kerja , saya pasti nampak seorang "uncle" sekitar dalam usia 70 tahun mengayuh basikal sambil matanya liar memandang ke sisi jalan raya .

Pada mulanya saya beranggapan beliau sekadar mencari barang tercicir tapi lama -kelamaan baru saya perasaan rupanya beliau mencari dan mengutip tin atau bekas minum plastik yang dibuang pemandu kenderaan di sepanjang jalan antara Kuala Dipang ke Gopeng yang berkadar jarak 12 kilometer . "Lim" itu nama yang diberitahu kepada saya apabila ditanya kepada beliau ketika saya berhenti menyapa beliau pada satu hari ketika beliau mencari tong & plastik kosong bekas minuman di sebuah petrol stesen .

Pagi ini, dalam perjalanan ke tempat kerja, saya terjumpa lagi dengan uncle Lim sedang berhenti di pinggiran jalan bila ternampak sebiji tin kosong.

Lantas ada ruang waktu saya mempelawa beliau untuk minum.

Pada mulanya pelawaan itu ditolak seperti mana beliau pernah menolak sebotol air mineral pemberian saya tidak lama dulu .

Setelah didesak saya, akhirnya beliau bersetuju, kami memilih sebuah gerai di tepi jalan tidak jauh daripada lokasi saya ternampak beliau sedang mengutip tin tadi .

Saya cuba berbual bertanyakan serba sedikit latar belakangnya tapi daripada reaksi anak mata dan wajah tuanya beliau seakan- akan tidak mahu untuk berbual perkara tersebut.

Beliau lebih banyak diam sambil menghirup air untuk dihabiskan secepat yang mungkin, cuma beliau ada menyatakan harga tin & botol plastik sedang jatuh, ini bermaksud pendapatan harian beliau juga turut terjejas.

Saya bertanya lagi, macam mana dengan persiapan untuk kedatangan Tahun baru Cina minggu depan?.

Beliau sekadar berkata, "itu hari gomen ada kasi sikit wang, itu wang lah kasi pakai, tahun baru punya jam."

Uncle Lim tidak mahu duduk lama , katanya masih jauh lagi untuk beliau kayuh dan mencari tin atau botol dan berpatah balik ke Kuala Dipang , cuma sebelum beliau pulang, saya sempat memberikannya sedikit wang kecil dan  beliau menolak, cuma saya katakan anggaplah ini sebagai "angpau" sempena Tahun Baru Cina, baru lah beliau menerima, "Gong xi fa cai , uncle Lim."

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger