Oleh A Shukur Harun
Dengan  memuncaknya pelbagai krisis di dalam  negara, terutamanya skandal  kewangan 1Malaysia
 Development Berhad  (1MDB) dan serpihannya yang juga  panas membara 
serta krisis lain maka  rakyat semakin runsing, kecewa,  malah lemas.
 
  Bilakah krisis  ini akan berakhir tidak ada siapa yang tahu, tetapi 
yang  pasti nilai  wang Malaysia semakin menurun, harga barangan terus 
naik  dengan cukai  barangan dan perkhidmatan (GST) yang sangat 
membebankan di  samping  pengangguran yang tentu meningkat dengan harga 
getah dan kelapa  sawit  terus juga menurun.
Lebih parah lagi
 apabila semakin ramai yang dibuang kerja akibat banyak  syarikat 
ditutup di mana dunia perniagaan semakin muram. Ini  menyebabkan rakyat 
merasakan kebimbangan yang amat sangat terhadap nasib  anak cucu mereka 
disebabkan krisis ekonomi dan hutang negara terus  meningkat.
                  
       Pemimpin politik bercakaran sesama sendiri. Saling mengampu dan menjatuhkan. Kegiatan ini sangat luar biasa.
  Ada pula tokoh politik yang membisu kerana “kekenyangan”, tidak lagi pedulikan nasib rakyat yang terus tertekan.
 
  Dalam masa yang sama kegiatan rasuah, penyelewengan semakin meluas 
yang  melibatkan bukan saja golongan atasan, pertengahan bahkan sampai 
kepada  golongan bawahan dan menjadi cara hidup yang sangat menakutkan.
 
  Di sinilah dengan tiba-tiba rasuah menjadi “derma” dan pelbagai  
keanehan lagi berlaku, di mana krisis seberat ini tidak pernah berlaku  
selama ini.
   Pengamal rasuah dan penyelewengan seperti serigala 
buas di hutan salji  Siberia, membaham segala yang ada. Penguat kuasa 
terumbang ambing penuh  dilema dan terdedah kepada pelbagai kemungkinan.
 
  Dalam masa yang sama orang-orang besar yang berkuasa kelihatan kaku 
dan  membiarkan krisis ini tanpa berusaha untuk menyelesaikannya ataupun
  memang krisis ini sudah tidak boleh diselesaikan.
   Demikianlah
 keadaan begitu serius sekali. Dalam masa yang sama, jarang  terdengar 
suara para agamawan memberikan pandangan. Mereka “membisu”  atau 
terlepas pandang masalah ini hingga tidak terdengar pandangan  mereka 
baik melalui pelbagai kuliah yang mereka berikan, atau kenyataan  
terbuka. Kecuali beberapa orang, antaranya Datuk Dr Asri Zainal Abidin  
dan beberapa orang lagi.
   Di tengah suasana gawat inilah, bakal 
lahir parti politik baharu –  Gerakan Harapan Baru (GHB) – di mana nama 
rasminya akan diketahui bulan  depan. Ia hendaknya benar-benar menjadi 
harapan rakyat dan sangat  dinantikan kehadirannya.
   Parti 
baharu ini akan mewakili golongan Islam sederhana, progresif  dan  
terbuka. Namun pendekatan sederhana dan progresifnya tidak bermakna  
mengkompromikan dasar Islamnya.
   Ia melindungi dan berlaku adil 
kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa  dan agama. Ia amat peduli 
rakyat dam ramah, berakar tunjang Islam  sebagai Rahmatan Lil-Alamin, 
yang akan menaungi bukan saja umat Islam,  tetapi juga bukan Muslim dan 
berusaha memperlihatkan keadilan Islam  dalam bidang yang lebih luas.
 
  Parti politik baharu ini dijangka akan mengambil peranan pentingnya  
bersama PKR dan DAP dalam gabungan baharu parti pembangkang di Malaysia.
 
  Berdasarkan tinjauan dan laporan yang diterima oleh parti baharu ini  
ternyata ia mendapat sambutan hangat rakyat pelbagai golongan. Road-show
  di seluruh negara sejak lebih sebulan lalu menunjukkan parti baharu 
ini  mendapat sokongan luar biasa dari pelbagai pihak, khususnya 
golongan  muda.
   Tanda jelas ia bukan saja dialu-alukan oleh masyarakat bandar tetapi juga masyarakat luar bandar.
 
  Sementara itu, pelbagai NGO seperti Ikram, Pasma, Abim, pelbagai badan
  pelajar dan bekas pelajar, NGO profesional dan lain-lain memberikan  
sokongan kepada GHB ini.
   Dalam masa yang sama semakin ramai 
golongan agamawan muda yang  berfikiran terbuka dan tidak jumud, tampil 
memberikan pencerahan,  terutama mengenai kedudukan politik Islam dalam 
sebuah masyarakat majmuk  seperti di Malaysia ini.
   Mereka 
berusaha menjelaskan tasauwur Islam dengan lebih luas,  berdasarkan 
pelbagai hujah al-Quran dan sunnah serta pandangan ulama  muktabar. 
Agamawan muda ini semakin ramai yang memberikan sokongan dalam  bentuk 
kenyataan terbuka, tulisan dan pelbagai wacana.
   Semua usaha 
agamawan muda yang progresif ini sangat menolong usaha  Gerakan Harapan 
Rakyat untuk mengetengahkan Islam yang syumul kepada  rakyat pelbagai 
kaum.
   Sementara itu, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),
 GHB  meneruskan momentum perubahan politik atas dasar tahaluf yang 
jujur dan  komited dalam perkara yang disepakati bersama rakan-rakan 
parti politik –  PKR dan DAP, serta sinergi dengan mana-mana NGO dan 
segmen masyarakat  merentasi garis ideologi.
   Ia komited dengan 
politik baharu yang berpaksi kepada politik  berasaskan ilmu dan akhlak,
 serta bersedia mewujudkan budaya mampu  mengurus perbezaan dalam 
perlaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan  kesaksamaan.
   
Kini, pendukung GHB daripada pemimpin hingga aktivisnya bekerja keras  
untuk mempersiapkan GHB sebagai parti politik yang akan mengambil  
peranan penting dalam politik tanah air.
   Jika segala-galanya 
berjalan lancar tanpa sebarang halangan, maka ia  akan menjadi rakan 
penting kepada PKR dan DAP dalam gabungan  baharu  parti politik 
pembangkang di negara ini.
   Ramai berharap gabungan baharu parti
 pembangkang ini akan mengulangi  kejayaan Pakatan Rakyat seperti dalam 
PRU2008 dan 2013 dulu. Bahkan  ramai yakin GHB ini akan berjaya dengan 
sokongan 4.1 juta pengundi  golongan muda seperti statistik PRU 2013 
itu  serta juga sokongan  masyarakat sivil di negara ini
   
Suasana masa kini sangat berbeza dari masa lalu, maka dengan sokongan  
media baharu serta pemikiran baharu rakyat ia memberikan peluang cerah  
kepada gabungan baharu parti pembangkang ini untuk menjadi saingan utama
  Umno/BN.
   Lebih-lebih lagi dengan suasana negara yang gawat 
sekarang, tenggelam  dalam pelbagai krisis, maka ini memungkinkan 
gabungan baharu pembangkang  menjadi pilihan utama rakyat dalam PRU akan
 datang.
   Inilah masanya rakyat perlu melakukan perubahan menerusi demokrasi.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.



0 ulasan:
Catat Ulasan