Home » , » Bai'ah Ta'liq Thalaq Tiga (BTT3) Satu Amalan Yang Sudahpun Ditolak

Bai'ah Ta'liq Thalaq Tiga (BTT3) Satu Amalan Yang Sudahpun Ditolak

Written By Wadah Baru on Ahad, 6 September 2015 | 2:27 PTG

OLEH DR SITI MARIAH MAHMUD

1. Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) sangat memandang serius terhadap isu dan amalan Bai'ah Ta'liq Thalaq Tiga (BTT3) yang kini semakin menjadi polemik serta bualan di kalangan rakyat tanpa mengira batasan umur, kaum, agama, latar belakang pendidikan dan sosial. Ia sama seperti polemik sodomi suatu ketika dahulu, yang akhirnya membawa kesan yang tidak manis kepada sosial rakyat apatah lagi cakap-cakap berkaitan liwat telah menjadi mainan malahan senda gurauan termasuklah di kalangan anak-anak muda di peringkat sekolah rendah dan juga menengah.

2. AWAN mengingatkan kepada semua pihak khususnya pemimpin-pemimpin politik agar melihat impak berlapis dan impak berganda yang akan berlaku akibat daripada tindak tanduk masing-masing. Sangat mudah isu yang berligar di kalangan partisan politik untuk lekat menguasai bi'ah (persekitaran) kehidupan rakyat apatah lagi bila pihak media turut memainkan peranan aktif dalam merancakkan perbualan mengenainya tanpa had, penuh prejudis dan lebih malang tanpa disiplin ilmu yang benar. Ta'liq thalaq bukanlah satu tajuk daripada premis ilmu yang santai, tetapi penuh disiplin yang perlu digunapakai.

3. Ia bukan satu kebanggaan sama ada oleh pihak yang mengadakannya ataupun oleh pihak yang dikenakan. Apatah lagi jika isu ini mengheret umum kepada perdebatan tanpa adab, penuh dendam dan bermudah-mudah. Ia sangat mengecewakan. Bahkan langsung tidak bantu menzahirkan keindahan serta kehebatan ilmu-ilmu dan praktis Islam.

4. AWAN menegaskan bahawa isu BTT3 ini yang sebenarnya telah meletus pada tahun 2009 telah pun ditolak amalannya oleh ramai pihak termasuklah oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNAA) sendiri. Malahan dinafikan oleh Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS dan dibincangkan secara serius di dalam Jawatankuasa PAS Pusat yang turut mendengar pandangan dan sikap daripada wakil sayap Muslimatnya pada waktu itu. Jelas amalan ini ditolak dan diminta untuk dihentikan atas hujjah ketidakwajaran mengheret institusi perkahwinan ke dalam percaturan politik parti dan kesetiaan seorang suami kepada perjuangannya. Jelas juga akan pendirian bahawa Wanita yakni seorang Isteri tidak sewajarnya menjadi mangsa taruhan dan terdedah kepada apa jua bentuk penganiayaan atas apa jua alasan serta perhitungan politik mana-mana pihak. Kesannya jelas, semua negeri tidak lagi meneruskan amalan BTT3 kecuali Kelantan. Lantas persoalannya, adakah Kelantan tidak prihatin akan hal ini dan kepimpinannya mengambil mudah akan sikap dan pendirian yang telah dizahirkan oleh MSU PAS, PAS Pusat bahkan almarhum TGNAA sendiri? Sewajarnya itu disiasat. Bahkan banyak lagi persoalan daripada situ yang boleh kita majukan, tetapi cukuplah sekadar itu buat masa ini.

5. AWAN juga ingin menasihati pihak-pihak yang kelihatannya sangat ghairah dalam mengesahkan runtuhnya sebuah baitul muslim dengan jatuhnya thalaq melalui BTT3 tersebut dengan mengingatkan semua bahawa berdasarkan Enakmen Keluarga Islam yang terpakai oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara, termasuk darihal mentalakkan isteri dengan 3 talak sekaligus, hukumnya hanya jatuh 1 talak sahaja. Ia juga adalah selari dengan satu hadith Nabi saw yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, mafhumnya : "thalaq tiga sekaligus adalah berlaku satu thalaq".

6. Justeru, nasihat kami tanganilah isu ini dengan hikmah dan fathonah sesuai dengan fitrah agama ini yang senantiasa menunjukkan jalan keluar kepada setiap masalah rumit yang ada. Sekaligus untuk ini, AWAN ingin menegur Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan yang telah membuat "pre judgement" terhadap isu ini sebelum kes terbabit dirujuk ke hadapannya. Ia adalah suatu yang amat malang, apatah lagi pada ketika Kerajaan Kelantan sendiri sedang usaha mempromosikan pelaksanaan Hudud dan seterusnya keadilan undang-undang Islam.

7. Di satu sudut, AWAN turut memandang isu BTT3 ini juga sebagai rahmat daripada Allah buat ummat dan khususnya kepada para penggerak AMANAH NEGARA. Ini justeru kerana ia secara tidak langsung membantu kami menjelaskan akan kewajaran mewujudkan wadah baru politik Islam yang lebih telus, komited dan konsistan untuk menzahirkan Islam itu agama yang membawa rahmat dan sebaliknya bukannya agama yang memberi mudharat kepada setiap entiti yang membentuk kekuatannya.

8. AWAN mendesak agar Majlis Fatwa negara ini segera bersidang dan memberikan penegasan terhadap hal-hal yang berkaitan hukum hakam Islam agar henti dipolemikkan. Islam sewajarnya dilihat upaya menyelesaikan masalah ummah bukannya menjadi pencetus masalah di kalangan ummat.

Amanah. Progresif. Peduli.
DR SITI MARIAH MAHMUD
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN)
6 September 2015

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger