Home » , » Hisham kini kedua paling berkuasa dalam Umno, BN

Hisham kini kedua paling berkuasa dalam Umno, BN

Written By Wadah Baru on Khamis, 13 April 2017 | 8:40 PG

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Hussein kini adalah orang kedua paling berkuasa dalam parti dan BN, selepas dilantik sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

"Hishammuddin mungkin bukan timbalan perdana menteri tetapi beliau jelas menjadi orang kedua paling berkuasa dalam kerajaan Umno/BN," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin - yang juga Menteri Pertahanan - telah diberi peranan tambahan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak awal hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pelantikan Hishammuddin bukan perkembangan baik untuk cita-cita politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, tindakan itu sebagai restu langsung daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga sepupu Hishammuddin.

“Ini sama ada Hishammuddin mahu cabar Zahid untuk kerusi timbalan presiden Umno atau Hishammuddin sendiri bermasalah mempertahankan kerusi naib presiden yang disandangnya,” kata Rafizi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pelantikan yang berkuat kuasa serta-merta dan mengekalkan Hishammuddin sebagai menteri pertahanan.

Dalam kenyataan itu, Najib berkata pelantikan itu akan membolehkan Hishammuddin menjalankan tugas selain daripada tanggungjawab sedia ada.

Laporan agensi berita nasional Bernama tidak menyebut tugas khusus Hishammuddin.

Pelantikan itu bagaimanapun menjadi beliau sebagai menteri kesepuluh di Jabatan Perdana Menteri.

Rafizi mendakwa, berdasarkan maklumat daripada sumber-sumber Umno, Hishammuddin kini tertinggal di belakang Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk merebut kerusi naib presiden.

Berkaitan kedudukan Zahid pula, Rafizi berkata ia bukan petanda yang baik kerana seorang menteri yang mempunyai dua portfolio sering dilihat mendapat restu langsung daripada atas.

Rafizi juga membuat spekulasi bahawa keretakan dan sabotaj dalam Umno boleh berlaku susulan perkembangan terbaru itu.

Portfolio menteri dengan tugas-tugas khas itu pertama kali diketahui selepas pelantikan Tan Sri Tun Ghazali Shafie pada 1970 dalam kabinet Tun Razak Hussein.

Dua tahun kemudian, Ghazali kembali dilantik ke jawatan itu dan sebagai menteri penerangan.
Beliau diberi kepercayaan untuk merangka, merancang dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Rancangan Malaysia Kedua.

Bekas bendahari Umno Daim Zainuddin pula dilantik sebagai menteri tugas-tugas khas pada Jun 1998 ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kemudian membawa kepada pelantikan semula sebagai menteri kewangan.

Mohammad Effendi Norwawi dilantik sebagai menteri tugas-tugas khas pada 2004 bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada tahun sama Effendi juga dilantik sebagai pegawai khas di Kementerian Pengajian Tinggi.

Effendi kembali ke kabinet sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2006 dan dipertanggungjawabkan menyelaras Rancangan Malaysia ke-9.

Beliau sebelum ini menjadi menteri pertanian dan dengan jawatan baru itu beliau bertugas di Jabatan Perdana Menteri.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger