MARANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang 
mengakui kehadiran beliau pada majlis pelancaran program tukun tiruan 
oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery 
Cheek semalam adalah permulaan kepada politik matang antara parti itu 
dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Marang itu turut berterima kasih kepada Shabery atas undangan untuk menghadiri program tersebut.
“Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai 
program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat
 kembali semula kepada politik matang.
“Kerjasama hari ini (PAS dan Umno) adalah politik matang, politik 
yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza
 pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti 
bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses 
melabuhkan tukun tiruan iaitu kerangka pelantar minyak milik Petronas 
yang dileraikan di perairan Pulau Kapas, semalam.
Ditanya sama ada kerjasama Umno dan PAS itu akan menimbulkan persepsi
 negatif dan perasaan kurang senang pihak tertentu, Hadi berkata ia akan
 difahami oleh mereka terutama rakyat di peringkat akar umbi.
“Insya Allah rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan
 dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang 
di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih 
penting berbanding teori.
“Apa yang berlaku, kita kena ingat negara kita ini warisan penjajah 
yang banyak benda negatif perlu dihapuskan, perkara yang boleh 
menimbulkan ketegangan kita kena hentikan, tarik ‘hand brake’ dan 
menyelamatkan negara dan rakyat. Itu lebih penting, mengatasi 
segala-galanya,” katanya.
Sementara itu, Shabery berkata beliau memaklumkan kerjasama Hadi 
dalam program itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Perdana menteri bukan sahaja merestui, malah beliau awal-awal lagi 
mendoakan agar program ini berjalan dengan lancar dan mengirimkan salam 
kepada tuan guru (Hadi).
“Insya Allah akan ada lagi program bersama melibatkan pemimpin Umno 
dan PAS demi kepentingan rakyat pada masa akan datang… saya akan 
maklumkan,” katanya.
Shabery dalam ucapannya berkata walaupun berbeza pendapat, pemimpin 
atasan Umno dan PAS tetap akan mengutamakan kepentingan rakyat dan 
negara mengatasi segala-galanya.
“Kita boleh lihat sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
 berada di atas pentas sama bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi 
Awang atas isu Rohingya.
“Tetapi yang sukar ialah untuk merapatkan hati-hati dalam kalangan 
kita rakyat di peringkat bawah. Namun, hari ini telahpun menjadi 
kenyataan,” katanya.
Terdahulu Shabery yang tiba di Marang Waterfront untuk majlis 
perasmian program itu turut bersarapan pagi bersama-sama Hadi dan warga 
nelayan sebelum menaiki bot ke Pulau Kapas untuk menyaksikan proses 
melabuhkan tukun tiruan itu.
Insya Allah, rakyat faham kerjasama PAS-Umno, kata Hadi
Written By Wadah Baru on Jumaat, 5 Mei 2017 | 2:50 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.



0 ulasan:
Catat Ulasan