Pakatan Harapan (Harapan) akan memuktamadkan manifesto Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU-14) Selasa ini termasuk menambah baik dasar yang
terkandung dalam dokumen Buku Jingga.
Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata, pengisian manifesto
kali ini lebih komprehensif dengan membawa suara segenap lapisan rakyat
hasil kekuatan komponen kesemua parti di bawah Pakatan Harapan.
"Hari Selasa ini (25 Julai), kita akan muktamadkan manifesto yang
disepakati oleh keempat-empat parti. Kita akan perbaiki lagi (tawaran
Buku Jingga).
"Kalau dulu pada 2013 (PRU-13), ada tiga parti tetapi sekarang rakyat
Malaysia mempunyai empat parti yang bagi membawa hasrat rakyat kepada
perubahan yang lebih baik," ujarnya kepada Malaysia Dateline semalam.
Beliau ditemui selepas perasmian Konvensyen Pemuda Amanah Selangor kali pertama di Bangi Golf Resort.
Buku Jingga merupakan tawaran dan penyelesaian isu rakyat jika diberi
mandat di Putrajaya yang disepakati Pakatan Rakyat terdiri daripada
PKR, Pas dan DAP.
Dokumen tersebut merupakan alternatif kepada dasar Umno-BN yang
antaranya menggariskan agihan pendapatan lebih adil, peningkatan
insentif guru, pemansuhan sistem tol lebuh raya dan memerangi rasuah.
Mengulas lanjut tentang perkembangan Pakatan Harapan, Anuar berkata,
Umno-BN pastinya gusar dengan pengukuhan blok pembangkang itu terutama
selepas pengumuman struktur baharu dan logo rasmi Pakatan Harapan pada
13 Julai lalu.
"Ketika Umno-BN cemas sekarang, bukan sahaja semangat keempat-empat
parti melonjak ini tetapi reaksi sebahagian besar rakyat yang sudah
jelek dengan bahana korupsi dan pelbagai kepincangan dilakukan rejim
pemerintah juga cukup positif.
"Saya percaya gelombang rakyat yang mahukan perubahan lebih besar
berlaku selepas ini susulan mesyuarat Majlis Presiden pada Isnin nanti
(24 Julai) bersiap untuk menyerahkan pendaftaran Pakatan Harapan,"
beritahunya.
Beliau menambah, kepimpinan Amanah, Bersatu, PKR dan DAP pada masa
ini saling melengkapi dalam menawarkan pilihan terbaik kepada rakyat
untuk membebaskan negara daripada rejim kleptokrasi Umno-BN.
"Pakatan Harapan punya ahli politik yang mempunyai pengalaman dalam
kerajaan, pakar ekonomi dan undang-undang yang berintegriti. Kita juga
cukup pengalaman sebagai pembangkang membawa suara akar umbi rakyat.
"Gabungan kesemua tenaga ini, InsyaAllah menghasilkan perubahan yang
membolehkan semua lapisan rakyat hidup lebih adil, makmur dan
sejahtera," jelasnya lagi.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan