Pas harus memeterai perjanjian baharu dengan PKR dan DAP jika mahu
dilihat bermaruah untuk terus berada dalam kerajaan Selangor, kata ahli
Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata, jika Pas tidak berbuat demikian parti itu akan terus
dilihat mahu mengambil kesempatan dan peluang berada dalam kerajaan
Selangor.
"Rakyat
memahami bahawa yang 'menceraikankan' hubungan kerjasama politik dengan
PKR dan DAP ialah Pas oleh itu saya tidak mahu lihat 'parti saya' dan
sahabat-sahabat saya dari 'parti saya' akan terus ditertawakan rakyat
dan dilihat mahu ambil kesempatan dan peluang berada dalam kerajaan
Selangor.
"Sedangkan Pas telah isytihar akan menentang PKR dan DAP pada PRU14 nanti," kata Mahfuz dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pas Selangor bahawa rakyat
memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai Pas dalam
PRU13 di negeri itu.
Menurut Mahfuz, PR adalah tahaluf siyasi tiga parti iaitu Pas, PKR
dan DAP selepas PRU12 yang mengangkat kemenangan parti pembangkang
sehingga dapat menguasai beberapa negeri.
Kesinambungan kerjasama antara tiga parti atas suara PR terus terjalin hingga kepada penyertaan dalam PRU13 yang lalu.
Namun jelasnya, tahaluf siyasi ini terungkai satu demi satu apabila
Pas mengambil keputusan rasmi memutuskan hubungan dengan DAP melalui
muktamarnya di Kuala Selangor dan disahkan pula oleh Majlis Syura Ulamak
Pas.
Ini katanya berlaku walaupun dalam masa yang sama pimpinan Pas masih
mempertahankan kedudukan dalam kerajaan PR Selangor atas alasan PR masih
wujud kerana Pas bekerjasama dengan PKR.
"Akan tetapi dalam keadaan ikatan hubungan masih terjalin di
Selangor, terkini 'parti saya' juga telah memutuskan hubungan dengan PKR
melalui keputusan muktamar di Kedah dan disahkan pula oleh Majlis Syura
Ulamak.
"Ya, betul mandat rakyat pada PRU13 untuk PR tetapi persoalannya
bagaimana pula pimpinan Pas mahu menghalalkan kehadiran keberadaan PAS
dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sedangkan kerjasama politik
dengan gabungan suara parti-parti pembangkang yang bersama sertai PRU13
atas sudah terlerai dan ditamatkan oleh Pas?" soalnya.
Beliau juga berkata, jika dahulunya Pas berhujah bahawa mereka boleh
terus berada dalam kerajaan negeri kerana masih mempunyai hubungan
dengan PKR, kini parti itu juga memutuskan hubungan PKR.
"Senario kini hanya yang masih ada kerjasama dari PR terdahulu ialah PKR dan DAP sahaja.
"Hujah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang juga MB
Selangor ada kebenarannya juga kerana masih lagi mengharapkan kerjasama
dengan 'parti saya' iaitu Pas untuk dapat berjalan terus dan terjalin
semula," katanya.
"Jika pembangkang kususnya Pas mahu dihormati rakyat dan parti lawan
mestilah sentiasa 'subur mekar' dengan amalkan sikap 'serumpun bak
serai, sesusun bak sirih'," katanya.
Meterai perjanjian baru jika Pas mahu dilihat bermaruah
Written By Wadah Baru on Rabu, 12 Julai 2017 | 9:45 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan