Oleh Lim Kit Siang
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada
Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said atas penganugerahan Darjah
Gemilang Pangkuan Negeri oleh TYT Tun Datuk Seri Utama Dr Haji Abdul
Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Penganugerahan ini adalah satu simbol pengiktirafan kepada beliau,
atas khidmat bakti yang telah dicurahkan dalam dunia kesusasteraan dan
budaya di tanah air, selain untuk sumbangan yang tidak ternilai harganya
kepada lapangan aktivisme dan politik negara.
Pak Samad, seperti panggilannya di kalangan kita semua, adalah
manifestasi ‘puisi jadi senjata’ di tengah-tengah medan politik Malaysia
yang kini sedang berada di perbatasan pilihan raya paling penting dalam
sejarah negara. Pak Samad adalah panglima rakyat, dengan bersenjatakan
pena dan kata-kata, memujuk hati nurani kita semua agar mengusung
perubahan dan mencapai impian kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan
negara.
Hasil-hasil karya Pak Samad tidak pernah gagal membawa tema dan suara
rakyat marhaen ke khalayak umum. Novel ‘Salina’ contohnya menjadi
cerminan kesempitan hidup rakyat pasca perang dunia kedua, dan bagaimana
rakyat marhaen ditindas.
Sajak-sajak Pak Samad setelah terjun ke lapangan aktivisme
lebih-lebih lagi menggambarkan perasaannya yang menyala-nyala. Sajaknya
yang dibaca bersempena Himpunan Kebangkitan Rakyat, beberapa bulan
sebelum pilihan raya umum ke-13 sangat mengesankan. Dan sehingga kini
pun masih terus meniup bara semangat kita semua.
“Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba,
seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama
menjulang panji negara, bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.
Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi.”
- Di Atas Padang Sejarah, Januari 2013
Kerinduan Pak Samad terhadap demokrasi
Menuju bulan Ogos, saya kira bait-bait puisi Pak Samad ini perlu kita
tekuni kembali. Bagaimana Pak Samad meluahkan cita-citanya untuk negara
dengan apa yang disebutnya sebagai rindu kepada demokrasi.
Kerinduan beliau kepada demokrasi itu mungkin antara faktor kenapa
beliau akhirnya memilih untuk menyertai DAP. Setelah puluhan tahun buah
fikirnya hanya terhad di helaian kertas dan buku, Pak Samad memilih DAP
sebagai wadah untuk menzahirkan erti dan makna setiap huruf dan kata
yang pernah ditulisnya, sebagai satu pelaksanaan dan bukan sekadar
kata-kata.
“Saya mengikuti perkembangan politik dalam tanah air. Saya putuskan
menyertai DAP kerana parti ini ialah parti siasah yang ada landasan yang
jelas dan anggota parti yang bersungguh-sungguh.
“Apa guna tulisan sahaja, lebih baik sertai parti politik." Itu kata
Pak Samad ketika ditemubual media selepas mengisytiharkan diri masuk
DAP. Ketika itu kami di Gua Musang, Kelantan, melihat kerja-kerja
membangunkan kembali kawasan-kawasan yang teruk dilanda banjir.
Pak Samad masuk DAP dengan tujuan jelas untuk menyebarkan mesej
impian Malaysia, di mana rakyat seluruh negara boleh hidup saling
bertoleransi, aman makmur dan harmoni, tanpa penindasan kuasawan dan
pemodal yang merompak kekayaan negara demi memenuhi hajat dan kemahuan
diri sendiri.
Dalam keadaan itu pun masih ramai yang bimbang untuk menukar kerajaan
dalam pilihan raya akan datang kerana katanya takut Melayu hilang
kuasa. Ketika kekayaan negara dirompak dan perompaknya bebas merdeka
tidak runsing diambil tindakan, ramai lagi yang memberi tumpuan kepada
politik perkauman.
Apa kata Pak Samad terhadap ketakutan ini?
“Kata-kata bahawa orang Melayu dan Islam kini sedang terancam sukar
masuk otak saya. Sejak merdeka, Perdana Menteri semuanya Melayu,
Timbalan Perdana Menteri semuanya Melayu, Menteri Dalam Negeri semuanya
Melayu, malah Menteri Besar kebanyakannya Melayu.”
Senjata pena
Pada pilihan raya umum yang akan datang, kita menjangkakan sebuah
gelombang tsunami di kalangan pengundi Melayu akan memecahkan kubu-kubu
Umno, terutamanya setelah Pakatan HARAPAN berjaya mengemukakan struktur
organisasi dan lambang yang disepakati. Kita sudah boleh melihat
bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini berada dalam
keadaan panik dan tidak mampu menjamin sokongan penjawat awam dan
demikian ramai orang Melayu yang sudah celik, mungkin kerana membaca dan
bersetuju dengan pemikiran Pak Samad.
Keadaan panik Najib Razak ini menyebabkan beliau mengerah bala
tentera sibernya untuk terus menghasilkan kisah-kisah fitnah, fiksyen
dan pembohongan bertalu-talu terhadap pimpinan HARAPAN.
Tetapi kami ada Pak Samad, yang akan terus setia mengungkapkan
kebenaran dengan senjata pena dan katanya. Mana mungkin pembohongan dan
fitnah akan dapat menewaskan kebenaran. Tahniah sekali lagi buat Pak
Samad, sasterawan rakyat bersenjata pena dan puisi.
Lim Kit Siang ialah Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah
Pak Samad sasterawan rakyat bersenjata pena dan puisi
Written By Wadah Baru on Ahad, 23 Julai 2017 | 9:04 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan