Home » , » Pakatan alu-alukan ‘satu lawan satu’ pada PRU14

Pakatan alu-alukan ‘satu lawan satu’ pada PRU14

Written By Wadah Baru on Isnin, 14 Ogos 2017 | 11:52 PTG

PAKATAN Harapan menyambut baik hasrat PAS yang sedia membuka pintu rundingan untuk memastikan parti-parti pembangkang tidak bertembung sesama sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat dikalahkan.

Pengarah Pilihan Raya PH Mohamed Azmin Ali berkata biarpun belum ada rundingan rasmi dengan PAS, PH sedia melihat kemungkinan mengadakan satu kerjasama yang akan membawa manfaat besar dalam usaha menumbangkan BN pada pilihan raya akan datang.

“Biarpun PAS bukan anggota PH, kita telah umumkan hasrat sebelum ini untuk mengelak pertembungan tiga penjuru.

“Tidak ada rundingan rasmi dengan PAS tetapi kita perlu lihat apakah boleh ada rangka kerja bersama untuk mengalahkan BN,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa pilihan raya PH di pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan.
Menurut Azmin, PH terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti asal saja parti itu mahu membuat perubahan demi negara.

“Sekiranya ada rundingan atau perbincangan dengan PAS, kita akan maklumkan rakan-rakan dalam PH. Kami akan kongsi maklumat dengan majlis dan berbincang serta mendapatkan konsensus untuk ke langkah seterusnya.

“Sekiranya kemudian mereka (PAS) sedia berunding dengan PH, kita akan bincang apakah pilihan terbaik untuk pilihan raya nanti,” katanya yang juga timbalan presiden PKR itu.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan PAS di Selangor, Kedah dan Kelantan dikatakan sedang menimbang untuk mendapatkan autonomi bagi membolehkan mereka bekerjasama dengan PH pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut sumber, pemimpin PAS dari ketiga-tiga negeri itu sedang berunding dengan pimpinan pusat agar membenarkan mereka kerjasama dengan PH bagi membolehkan parti Islam itu bertanding satu lawan satu dengan BN pada PRU14.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya benar PAS di tiga buah negeri mahu bekerjasama dengan PH, ia satu perkembangan yang positif untuk Malaysia.

"Insya-Allah, selagi semua pihak mengutamakan Malaysia dan mahu agar parti pemerintah yang sedang sibuk merompak harta rakyat dikalahkan menerusi pilihan raya," kata Nurul Izzah
Bagaimanapun Nurul Izzah berkata kerjasama dengan PAS hanya boleh berlaku sekiranya parti Islam itu tidak bertindak mengongkong PKR.

"Sekiranya agenda sempit yang mengongkong keputusan satu-satu parti, maka membujur lalu, melintang patah.

"Kita lawan dalam mempertahankan undi dan pilihan rakyat," katanya.
PKR juga tambah beliau sedang dalam "gencatan senjata" dengan PAS supaya hubungan kedua-dua parti itu tidak jadi lebih parah.
PAS memutuskan kerjasama politik yang sudah dibina sejak 1999 dengan PKR pada Mei tahun ini. Bagaimanapun, PAS masih kekal dalam kerajaan Selangor yang dipimpin PKR.

PKR juga belum melepaskan kesemua jawatan lantikan politik di Kelantan yang dipimpin PAS walaupun ada arahan dari peringkat pusat untuk berbuat demikian.

PAS sebelum ini bertegang urat dengan parti-parti gabung dalam Pakatan Rakyat pada 2015 apabila ia berlaga angin dengan DAP berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.

Pertelingkahan itu menyebabkan beberapa pemimpin PAS seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Dr Mujahid Yusof Rawa tersingkir daripada parti Islam itu dan menubuhkan Amanah.

PAS tidak menyertai PH sebaliknya dijadual melancarkan pakatan baharu, Gagasan Sejahtera Rakyat pada September ini, yang dijangka akan disertai oleh Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Sabtu lalu pimpinan tertinggi PKR membuat kejutan apabila melawat Presiden PAS Abdul Hadi Awang di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Pertemuan itu tidak boleh dianggap "lawatan biasa" kerana gambarnya dikongsikan sendiri Hadi di laman Facebook rasminya, tidak berapa lama selepas Presiden Umno Najib Razak memuji PAS.

"Menerima kunjungan ziarah oleh pimpinan PKR pada malam ini di Kuala Lumpur," tulis Hadi selepas Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersama Azmin dan Naib Presiden Shaharuddin Badaruddin melawat beliau di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Dr Wan Azizah dan Azmin turut berkongsi gambar pertemuan bersama Hadi itu di laman media sosial masing-masing, menyebabkan spekulasi timbul kedua-dua parti itu mungkin bekerjasama lagi pada PRU14 akan datang

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger