Home » , » Selepas tangkap Isa, cabaran SPRM kini pastikan pensabitan

Selepas tangkap Isa, cabaran SPRM kini pastikan pensabitan

Written By Wadah Baru on Rabu, 16 Ogos 2017 | 3:42 PTG

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar dipuji kerana berjaya menangkap “ikan besar”, iaitu bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, kata peguam aktivis Eric Paulsen.

Bagaimanapun, kesungguhan SPRM memerangi rasuah masih perlu dibuktikan kerana kes terdahulu nampaknya tidak membawa kepada keputusan bersalah, tambahnya.

“Sudah tentu cabaran sebenar SPRM ialah usaha tulen memerangi rasuah dan salah guna kuasa secara berterusan di semua peringkat.

“Tangkapan dan siasatan yang berasas seharusnya membawa kepada kejayaan pendakwaan. Kini hanya masa akan mendedahkan sama ada SPRM benar-benar jujur dalam kes Isa Samad.

“Kita pernah lihat beberapa pendakwaan kes rasuah berprofil tinggi yang gagal dengan cara yang menakjubkan,” kata pengarah eksekutif Lawyers for Liberty di Twitter malam tadi.

Kes berprofil tinggi yang beliau senaraikan ialah skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), kes rasuah melibatkan bekas menteri Tan Sri Kasitah Gaddam pada 2004, dan kes melibatkan National Feedlot Corporation (NFC).

Kasitah, bekas menteri pembangunan tanah dan koperasi, didakwa atas tuduhan rasuah berkaitan dengan saham bernilai RM24 juta semasa menerajui sebuah badan milik kerajaan Sabah.
Beliau dibebaskan pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pendakwaraya gagal memanggil ahli lembaga sebagai saksi.

Skandal NFC menyaksikan suspek utama, Pengerusi Eksekutif NFCorp Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, suami kepada Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil, dibebaskan daripada semua tuduhan.

“Sudah tentu kes paling besar yang enggan disiasat SPRM ialah 1MDB,” tambah Eric, merujuk syarikat milik negara yang terpalit dakwaan transaksi meragukan di beberapa negara.
Isa semalam ditangkap SPRM berhubung pembelian 2 hotel oleh anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation (FIC).

Isa sebelum itu hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan lanjut berhubung pembelian 2 hotel itu antara tahun 2014 dan 2015.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata ia merupakan tindakan susulan hasil daripada keterangan yang dirakam oleh pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel tersebut sebelum ini.

Kertas siasatan dibuka atas arahan Dzulkifli bagi menyiasat pembelian yang disyaki dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran.

Berdasarkan maklumat siasatan awal SPRM, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian ratusan jutaan ringgit.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger