Oleh Arif Atan
Sepanjang kira-kira dua dekad terlibat dalam bidang kewangan, Naib
Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui tidak pernah beliau menemui sebuah
syarikat yang mencatatkan kerugian mencecah sehingga RM1 bilion setiap
tahun.
Menurutnya, sejak Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV)
disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012, kumpulan Felda telah
mencatatkan kerugian tahunan pada jumlah yang besar berturut-turut
sehingga 2015.
"Kumpulan Felda telah mencatatkan kerugian komprehensif yang melebihi
satu bilion ringgit setiap tahun tanpa gagal iaitu RM1.67 bilion tahun
2013, RM1.1 bilion (2014) dan RM1.112 bilion (2015).
"Pengalaman saya lebih kurang 20 tahun dalam bidang kewangan, saya
tidak pernah jumpa syarikat rugi RM1 bilion setiap tahun. (Kerugian) Tak
masuk tahun 2016, 2017. Mungkin lagi teruk?
"Namun, setakat ini yang dikeluarkan sehingga 2015, kerugian
terkumpul daripada itu saja hampir RM3.9 bilion," dedahnya pada sidang
media di Sungai Besi, Selangor hari ini.
Sehubungan itu, pengasas Invoke Malaysia berkenaan mahu memaklumkan
kepada orang ramai terutama generas baru Felda yang antaranya menjadi
golongan profesional selain akauntan bertauliah dan penganalisa kewangan
tentang status Felda pada masa ini.
"Jika kumpulan Felda adalah sebuah syarikat biasa yang tidak dijamin
kerajaan, dengan prestasi kewangan yang rugi lebih satu bilion ringgit
setiap tahun, syarikat itu sudah tentu diisytihar muflis," tempelaknya.
Walaupun impak kejatuhan mendadak harga saham FGV tidak akan memberi
kesan segera terhadap status kewangan kumpulan Felda, Rafizi berkata,
masalah akan berlaku apabila kumpulan Felda tiba satu tahap terpaksa
menjual kesemua saham FGV.
"Sebarang perubahan harga saham FGV tidak serta-merta mempengaruhi
prestasi kewangan Felda. Ia hanya akan ditunjukkan sekaligus apabila
Felda menjual saham-saham tersebut.
"Namun, hal ini cukup berbahaya apabila ia berlaku. Kumpulan Felda
saya jangka akan jatuh muflis kerana kerugian daripada kejatuhan harga
saham FGV yang telah berbilion ringgit akan ditunjukkan sebagai kerugian
sekaligus dalam satu tahun kewangan.
"Maknanya kalau terlambat, FGV tidak dapat diselamatkan lagi, sebab
itu kita kena tahu apa kesan penyenaraian FGV kepada kumpulan Felda
walaupun tidak ditunjukkan serta-merta dalam laporan kewangan Felda yang
diaudit," jelasnya.
Oleh sebab itu, tambah Ahli Parlimen Pandan berkenaan lagi, perkara tersebut perlu dicegah daripada berlaku.
Untuk rekod, FGV disenaraikan pada 28 Jun 2012 dan merupakan tawaran
awam permulaan (IPO) ketiga terbesar di dunia ketika itu dan dilapor
dapat mengumpul dana sebanyak RM10.4 bilion.
'Saya tidak pernah jumpa syarikat rugi satu bilion ringgit setiap tahun'
Written By Wadah Baru on Jumaat, 8 September 2017 | 5:00 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan