Oleh Zulkifli Sulong
Pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini menyifatkan
kekalahan mereka secara blok dalam pemilihan itu menjadi "rahmat yang
terselindung” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk
Malaysia selepas ini.
Setiausaha jawatankuasa bertindak kumpulan 18 (G18) yang tewas itu,
Dr Dzulkefly Ahmad berkata penyingkiran mereka menyebabkan satu wadah
baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia.
"Sejak sekian lama kita bergaduh dalam PAS dengan pendekatan dan
pandangan yang berbeza berhubung beberapa perkara, sekarang kita bebas
untuk membentuk wadah baharu lebih inklusif untuk semua rakyat negara
ini," katanya kepada The Malaysian Insider.
G18 mengadakan pertemuan pertama di Muar, Johor pada 16 Jun lalu dan membentuk jawatankuasa bertindak di kalangan mereka.
Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang gagal mempertahankan
jawatannya dipilih sebagai pengerusi kumpulan ini sementara bekas Naib
Presiden Salahudin Ayub dilantik menjadi timbalan manakala bekas Ketua
Pemuda Suhaizan Kaiat sebagai penolong setiausahanya.
Semua ahli G18 yang lain dilantik sebagai ahli jawatankuasa (AJK) badan bertindak ini.
Dzulkefly berkata badan ini akan menggabungkan semua masyarakat sivil
di negara ini terutama badan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi membentuk
satu wadah baharu politik Malaysia berteraskan Islam yang lebih
progresif berbanding parti lama mereka.
"Kami yakin wadah ini akan lebih diterima masyarakat Malaysia kerana
sifatnya yang inklusif dalam sebuah negara berbilang agama dan bangsa
ini," katanya yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Pusat Penyelidikan
PAS itu.
Selain bersatu dengan PKR dan DAP, wadah baharu itu akan menghimpun semua NGO Islam di Malaysia yang mempunyai cita-cita sama.
Dzulkefly bagaimanapun berkata, beliau dan pimpinan G18 akan
mengambil pendekatan tidak akan berkonfrontasi atau menjadikan parti
lama mereka iaitu PAS sebagai musuh.
"Kita akan melihat masa depan dan cuba melupakan perbezaan pendapat
kita dalam PAS. Kita akan membawa gagasan masa depan dan lupakan masalah
lama kita," katanya.
Dzulkefly berkata, sepanjang Ramadan ini kumpulan berkenaan akan
mengadakan mesyuarat bersama pertubuhan Islam dan bukan Islam serta
pemimpin masyarkat di seluruh negara bagi menjelaskan peranan pergerakan
itu.
Pengumuman lanjut, katanya hanya akan dibuat selepas sambutan
Aidilfitri dan selepas mendapat maklum balas daripada akar umbi serta
pertubuhan yang berkaitan.
Menurut laporan, kumpulan itu juga merancang untuk menganjurkan
pameran bergerak di seluruh negara dan akan menyokong kempen “Harapan
Baru” atau “The New Hope and Dream” selepas sambutan Hari Raya
Aidilfitri.
Daripada sekian lama kita bergaduh dalam PAS. ..
Written By Wadah Baru on Isnin, 22 Jun 2015 | 8:34 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan