Home » » Ikram sokong kemunculan parti baru

Ikram sokong kemunculan parti baru

Written By Wadah Baru on Selasa, 30 Jun 2015 | 9:31 PTG

Oleh Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.Segala puji bagi Allah SWT dan Selawat dan Salam buat junjungan Nabi Muhamad SAW.

Semoga seluruh ikhwah dan akhawat ahli-ahli IKRAM, AT dan AA sentiasa berada dalam rahmat dan magfirah Allah SWT dan sedang menanti pembebasan dari neraka yang sangat mengerikan. Semua ini boleh dikecapi ketika peluang menghayati Ramadhan masih di tangan kita lagi.

Sebagaimana maklum, IKRAM adalah sebuah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam.

Kita memilih “Manhaj Taghyir” yang tersendiri dalam sama-sama membina, mempertahan dan membangunkan negara dan umat yang tercinta.

Telah berlaku satu perubahan besar dalam pentas politik negara. Ketika kita masih kekal menuntut satu sistem demokrasi adil, bebas dan telus, kita tetap menghormati parti-parti politik besar mahupun kecil. PAS, UMNO, PKR, DAP dan parti-parti lainnya mempunyai amanah dan peranan mereka dalam pentas demokrasi negara.

Sehubungan dengan itu, satu jawatankuasa  telah dibentuk di peringkat pusat untuk merancang dan melaksanakan tindakan yang bersesuaian ke arah menangani perubahan tersebut. Jawatankuasa  ini akan mengadakan siri-siri lawatan ke negeri-negeri untuk memberi penjelasan lanjut serta bagi menyusun penglibatan ahli-ahli IKRAM ke arah usaha tersebut.     

IKRAM mengalu-alukan kemunculan sebuah parti baru yang ingin memainkan peranannya yang tersendiri; demi memastikan sistem dwi-parti  dapat terus diperkukuhkan.

Justeru, semua ahli-ahli IKRAM di pelbagai peringkat dinasihati agar peka dengan perkembangan terkini dan sentiasa memberi pandangan membina untuk memastikan negara sentiasa terpelihara dan diurus dengan baik, amanah dan adil, bertepatan dengan cita-cita Malaysia Menuju Negara Rahmah (MMNR). Semua AT dan AA adalah digesa untuk hadir ke siri-siri lawatan ke negeri masing-masing bagi mengikuti perkembangan dan arahan terkini.

Sekian.

الله اكبر  الله اكبر  الله اكبر  ولله الحمد

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus
Timbalan Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger