Betapa yang kuat pun boleh tumbang. Dahulu dianggap sebagai ‘tangan kanan’ kepada perdana menteri, tetapi beliau kini sudah tersungkur.
Selepas disingkirkan dengan biadab
oleh Najib Razak, yang menggantikannya dengan pendokongnya Zahid
Hamidi, rakyat Malaysia masih lagi dalam proses menerima kenyataan
bahawa Muhyiddin Yassin kini bukan lagi sebahagian daripada Kabinet
negara. Beliau telah berada dalam Kabinet sejak 1995, berkhidmat dalam
pelbagai kementerian selama hampir dua dekad. Sehinggalah beliau dipecat
hari ini.
Sementara ini adalah sesuatu yang
mengejutkan, Muhyiddin sendiri pasti sudah menjangkakannya.
Penggugurannya ini berlaku dua hari selepas beliau bercakap secara
terbuka tentang isu 1MDB, dan meminta Najib memberikan penjelasan kepada
rakyat.
Kenyataannya mencetuskan kritikan
balas daripada Najib, yang keesokannya mengeluarkan amaran keras kepada
semua anggota Kabinet, termasuk Muhyiddin, agar menunggu hasil siasatan
dan berhenti membuat komen yang dapat menjejaskan tanggapan rakyat
terhadap kerajaan.
Dan sehari kemudian, Muhyiddin pun dipecat.
Nampaknya dua pemimpin Umno ini
tidak lagi boleh berkompromi, dan apa sahaja perbincangan – kalaupun ada
– sudah mencapai jalan buntu.
Jadi apa yang menunggu di hadapan ‘panglima perang’ veteran Umno dan pejuang hak Melayu ini?
Adakah beliau akan mengikut jejak
langkah seorang lagi timbalan perdana menteri yang pernah dipecat –
Anwar Ibrahim, dan akan menentang Najib habis-habisan?
Ini kelihatan hampir mustahil
memandangkan situasinya jauh berbeza dengan Anwar, yang juga dipecat
daripada semua jawatan dalam Umno pada September 1998. Muhyiddin pula
masih lagi timbalan presiden Umno, dan pengaruhnya dalam parti itu
barangkali tidak akan terjejas.
Malah Muhyiddin secara tidak
langsung telah menyentuh soal ini dalam kenyataan terbarunya. Beliau
menyatakan yang akan sentiasa setia dengan perjuangan.
Katanya: “Sebagai
Timbalan Presiden UMNO, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah
dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya
demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan
rakyat kepada UMNO.”
Yang menariknya, kenyataan media
yang dikeluarkan hari ini itu bertarikh 27 Julai (semalam), petunjuk
jelas yang beliau sudah tahu tentang penyingkirannya lebih awal.
Najib barangkali cuba mengukuhkan
kedudukannya dalam kabinet dengan langkah ini, akan tetapi ia mungkin
hanya akan memberikan kelebihan kepada Muhyiddin.
Muhyiddin tidak lagi terikat
dengan keputusan Najib dan Kabinet berhubung 1MDB. Beliau tidak lagi
perlu mempertahankan perdana menteri, peranan yang sudah menjadi tradisi
untuk timbalan perdana menteri. Beliau juga tidak lagi akan terjejas
dengan apa-apa dasar tidak popular yang dibuat Najib.
Pejuang Umno ini kini tidak lagi dibelenggu, dan bebas untuk mengutarakan pandangan dan mengambil tindakan.
Budaya Umno menolak “pengkhianat”.
Maka dari satu sisi, penyingkiran Muhyiddin ini adalah satu rahmat.
Orang Umno tidak akan menyokong timbalan yang menikam belakang ketuanya,
tetapi akan menerima pejuang yang berani bersuara bagi pihak yang
tertindas dan melawan pemimpin yang berkuasa dan tidak memahami rakyat.
Najib sudah pun kehilangan hampir
semua popularitinya berikutan pertelingkahan dengan bekas perdana
menteri Dr Mahathir Mohamad. Akan tetapi ahli Umno tidak akan sanggup
mendesak pemimpin mereka ditukar, kecuali jika ada pengganti yang layak.
Persoalannya adalah sama ada Muhyiddin mampu meyakinkan Umno bahawa beliaulah pengganti itu.
Pengisytiharannya untuk “mengembalikan
keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO” boleh dilihat sebagai
tanda yang beliau mahu kekal aktif dalam parti. Namun begitu,
kedudukannya sebagai timbalan presiden masih belum terjamin.
Apa yang diperlukan untuk
menyingkirkannya adalah keputusan daripada Majlis Tertinggi (MT), yang
dijadualkan akan bermesyuarat Jumaat ini. Namun langkah itu boleh
dianggap mustahil, kerana ia akan menyebabkan perpecahan dalam parti.
Kini giliran Muhyiddin pula untuk
bertindak. Dan seluruh negara sedang memerhati rapat untuk melihat
apakah langkahnya yang seterusnya.
-
0 ulasan:
Catat Ulasan