Home » , » Inklusif ...

Inklusif ...

Written By Wadah Baru on Selasa, 28 Julai 2015 | 8:57 PG


1. Inklusif atau keterangkuman adalah ciri-ciri paling penting bagi sebuah parti politik yang mahu menjadi kerajaan sesebuah negara ataupun negeri. Lawan inklusif adalah eksklusif atau 'rangkuman terhad' atau 'tidak dikongsi dengan pihak lain'.

2. Inklusif mudah disebut tetapi hakikatnya sukar diamalkan. Inklusif bukan sekadar mampu bergaul dengan orang kampung dengan berpelikat atau mesra bersuapan dengan rakan bukan Melayu di rumah terbuka, tetapi ertinya jauh lebih luas daripada itu.

3. Kunci utama kejayaan UMNO terus memerintah Malaysia sehingga ke saat ini adalah kerana UMNO berjaya menjadikan partinya inklusif untuk hampir semua entiti Melayu yang wujud.

Kewujudan UMNO adalah hasil muafakat 41 buah persatuan yang bergabung pada tahun 1946.

Kejayaan UMNO menguruskan permuafakatan entiti-entiti yang bergabung membentuk UMNO adalah suatu kunci yang menentukan sejauh mana ia mampu bertahan. Walaupun ada beberapa entiti yang kemudiannya menarik diri seperti PKMM namun ia hanyalah kes yang terpencil.

4. Begitu juga apabila UMNO menerajui Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Formula itu yang diguna pakai.

5. Inklusif adalah seni. Bukan mudah untuk memastikan bahawa setiap entiti dalam kepemimpinan kita mampu berpuas hati dengan sesebuah kepemimpinan. Agihan kerusi menteri mengikut negeri, jawatan utama dalam GLC, institusi-institusi kerajaan, senator, duta dan pelbagai lagi dibuat dengan teliti agar tidak ada pihak yang merasa tersisih ataupun tidak dihargai. Setiap isu yang wujud dalam setiap entiti diselesaikan. Peranan mereka diiktiraf manakala suara mereka mestilah didengari.

6. UMNO ada kelemahan yang banyak bertimbun tetapi fokus UMNO pada nilai inklusif kekal hingga ke hari ini. Motto UMNO ' Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' serta motto pada jata negara iaitu 'Bersekutu Bertambah Mutu' memberikan pentunjuk yang jelas bahawa nilai iklusif, kesatuan, sinergi menjadi elemen penting perjuangan parti Melayu ini dan ia wajar dicontohi.

7. Individu yang eksklusif memang akan menimbulkan rasa meluat tetapi jika suatu parti yang eksklusif, ia akan ditolak oleh rakyat. UMNO sedang menuju ke arah itu.

8. Cabaran utama Gerakan Harapan Baru (GHB) adalah bagaimana menjadikannya inklusif untuk semua. Setiap elemen yang boleh membantunya mencapai matlamatnya perlu diraikan dan diuruskan dengan sebaik mungkin untuk membuahkan kemenangan.

9. GHB perlu mengumpulkan sebanyak mungkin elemen yang boleh membantunya meraih kemenangan. Jangan remehkan golongan mahasiswa yang membentuk setengah juta rakyat negara ini. Kelompok orang muda, bukan Melayu, agamawan, profesional, penganggur, artis, karyawan, usahawan, peniaga kecil, penjaja, wanita, penjawat awam serta semuanya perlu disantuni dan dirangkumkan dalam perjuangan.

10. Tempoh awal penubuhan PKR (ketika itu PKN) kelihatan malap dan kurang sambutan kerana ia kelihatan tertumpu untuk membela Anwar. Lingkaran kepemimpinan juga seolah-olah terhad kepada bekas pimpinan UMNO serta beberapa NGO Islam semata-mata. Tetapi apabila Anwar dibebaskan dan PKR memfokuskan perjuangannya bukan lagi untuk Anwar sebaliknya untuk rakyat, maka ia mendapat sokongan yang meluas daripada rakyat. Pemimpin muda boleh diangkat menjadi exco dan pemimpin utama parti dan kerajaan negeri manakala tidak ada budaya label-melabel yang ketara menjadikan ia sebuah parti yang popular khususnya untuk anak muda.

11. Era awal kepemimpinan Dato' Asri Muda juga cemerlang kerana gaya kepemimpinannya ketika itu inklusif. Menamakan Ustaz Nik Aziz sebagai calon PRK Kelantan Hilir pada 1967 walaupun ditentang ulama' tradisional, pemilihan tenaga muda seperti Cikgu Pa dan Zahari Awang sebagai calon PRU 1974 selain pelawaan kepada pemimpin muda ABIM menyertai PAS menjadikan PAS segar dan popular di mata rakyat. Apabila beliau mula dilihat eksklusif dengan mengutamakan rakan-rakan rapat untuk dilantik memegang jawatan Setiausaha Agong, Bendahari dan Ketua Penerangan, beliau mula ditolak secara meluas oleh pimpinan PAS yang lain. Klimaksnya, keputusan beliau mengetepikan Pesuruhjaya PAS Kelantan (TGNA) dalam soal pelantikan calon PRU 1982 menjadikan beliau terperosok ke penjuru penolakan paling kuat dalam parti.

12. Mudah-mudahan GHB menekuni setiap lekuk sejarah lampau untuk dijadikan iktibar.

13. Mudah-mudahan GHB bersungguh-sungguh dalam menjadikannya sebuah parti yang inklusif untuk semua.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger