Home » » Ombak Baru dan Janji Bakri

Ombak Baru dan Janji Bakri

Written By Wadah Baru on Khamis, 2 Julai 2015 | 10:02 PTG

Oleh Hishamuddin Rais

Kepada peminat dan pelajar filem pasti akan tahu tentang makna Gelombang Baru – New Wave –

yang meledak di kota Paris pada tahun 1960 dahulu.

Dalam tahun itu Jean-Luc-Goddard membuat filem À bout de souffle atau Breathless atau dalam Bahasa Melayu, Putus Nafas. Filem ini memulakan gerakan sinema Ombak Baru yang melanggar hukum-hukum lama dan membuka nahu baru dalam pembuatan filem.

Di kota Paris, anak-anak muda dan warga Perancis amat taksub dengan filem, maka Ombak  Baru yang lahir ialah ombak untuk filem dan sinema.

Manakala di Malaysia anak-anak muda dan warga Malaysia amat taksub dengan politik maka yang muncul ialah Ombak Baru dalam politik. Seperti New Wave di Paris, New Wave di Kuala Lumpur juga akan melanggar hukum-hukum lama dalam politik Malaysia.

Untuk memahami Ombak Baru ini, wajib kita memahami sedikit latarnya. Sama seperti New Wave di Paris, ianya muncul apabila anak-anak muda menjadi bosan dengan yang lama.

Kebosanan dengan yang lama inilah yang menjadi pemangkin utama Ombak Baru. Titik bermulanya sejarah Ombak Baru politik Malaysia ialah Muktamar PAS yang baru berlangsung.

Muktamar PAS yang baru selesai dilihat sebagai perhimpunan genre komedi. Selesai sahaja Muktamar ini, ia terus menjadi bahan lawak anak-anak muda di media sosial. Muktamar ini menjadi komedi bukan kerana siapa yang kalah atau siapa yang menang. Perkara ini bukan komedi.

Yang menjadi bahan komedi ialah sikap Dewan Ulama PAS. Dewan ini membuat ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Ketetapan Dewan Ulama telah diterima Muktamar tanpa apa-apa perbincangan. Keputusan ini wajib dihormati kerana ianya datang dari Dewan Ulama dan diluluskan oleh Muktamar – tempat pembuat dasar tertinggi.

Putus hubungan, tapi tidak

Perkembangan seterusnya – sesudah tamat Muktamar – menjadikan keputusan Dewan Ulama ini lawak. Jika mengikut logik keputusan Dewan Ulamak maka putuslah hubungan PAS dengan DAP. Tapi ini tidak berlaku.

Tup tup... ada kenyataan kata belum putus lagi. Tup tup ada saranan meminta ahli menunggu apa kata Majlis Syura pula. Tup tup, ada kenyataan yang menuduh kalau sudah cerai sudah talak tiga kenapa masih tak mahu belah.

Inilah yang menjadi bahan lawak kepada anak-anak muda. Maka dari sinilah munculnya gelombang Ombak Baru – New Wave politik Malaysia.

Ombak Baru ini sedang memukul pantai politik Malaysia. Sikap kluk-klek flip-flop dolak-dalik dari pimpinan PAS sekarang berjaya menjemput ombak besar yang akan melanda politik Malaysia.

Maknanya Ombak Baru ini bukan hanya melanda PAS, PKR dan DAP tetapi melanda politik negara ini. Apa sebenarnya Ombak Baru ini?

Pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam muktamar baru-baru ini memperlihatkan pertembungan dua garis politik. Pertembungan ini sebenarnya telah lama berjalan. Rintik-rintiknya boleh dilihat seawal malam kemenangan parti pembangkang pada 8 Mac 2008 dahulu.

Kebelakangan ini, umum telah membaca dan mengetahui bagaimana telah berlaku pertemuan sulit antara Pak Lah dengan Haji Hadi. Ini diatur oleh Hasan Ali. Malah Khalid Samad sendiri telah mengakui fakta ini. Pertemuan ini dalam usaha kerjasama untuk menubuhkan kerajaan Selangor. Maka dari sini muncullah konsep You Ji – Unity Government.

Dua garis atau dua jalur pandangan dalam satu parti politik bukan satu yang pelik atau menghairankan. Dalam semua parti politik – kiri dan kanan – pasti akan ada jalur dan garis pandangan politik yang berbeza-beza.

Ditolak dari PAS

Dalam PAS ada jalur yang mengajukan keterbukaan dengan garis Islam yang tidak jumud. Garis ini mahu membuktikan kekuatan Islam yang inklusif. Islam yang memiliki kekuatan untuk terbuka. Islam untuk anak semua bangsa. Islam yang terbuka untuk bangsa semua agama.

Satu lagi garis ialah politik Islam yang tua lagi kolot dan membosankan. Kejumudan ini dibaluti pula oleh naluri keMelayuan yang tebal hingga sanggup dan sedia bekerjasama dengan United Malays National Organisation atas nama perpaduan ummah.

Garis politik Islam jenis ini amat cepat dan taksub untuk menghukum, malah mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sebulu dengan mereka.

Pertembungan dua garis politik inilah yang menetaskan Ombak Baru. Garis politik yang terbuka sedang melawan garis Islam yang jumud. Politik jumud sedang berusaha memadamkan nafas ombak rakyat yang telah bersedia untuk menggulingkan kerajaan Bani Ketuanan Melayu.

Jalur politik Ombak Baru ini pula sedang membuat persediaan untuk membawa Malaysia berhadapan dengan politik Asean, Asia Tenggara dan politik dunia.

Para pemain utama Ombak Baru tidak mendapat tempat dalam pemilihan Muktamar PAS baru-baru ini. Mereka diikat dan dibungkus untuk dicap kafir. Mereka dituduh bersubahat dan didanai oleh parti kafir DAP.

Kerana tidak lagi memiliki tempat dalam PAS maka pemain utama Ombak Baru ini memiliki empat pilihan dalam usaha untuk meneruskan garis perjuangan mereka:
  1. Terus berada dalam PAS
  2. Mencebur diri dalam NGO
  3. Menjadi ahli PKR atau DAP
  4. Menubuhkan parti baru
Empat pilihan ini dihadapkan kepada bekas pimpinan PAS pada malam 16 Jun 2015 di Bakri Muar Johor. Sejarah merakam apa yang berlaku di Bakri pada malam itu dan siapa yang hadir. Program Himpunan Jasamu DiKenang mengumpulkan hampir kesemua pemain utama Ombak Baru.

Secara tuntas pada malam itu pemain utama Ombak Baru yang hadir di Bakri dengan sebulat suara bersetuju dengan pilihan ke empat: Menubuhkan parti baru. Maka keputusan ini telah dinamakan Janji Bakri.

Jelajah parti baru

Laungan “Parti baru!” jelas kedengaran pada malam 16 Jun di Bakri. Laungan ini berpindah ke Kota Bharu. Berpindah ke Kuala Lumpur. Kini laungan “Parti baru” sedang bergelombang ke seluruh negara.

Dalam bulan Ramadan 2015 ini secara terbuka, melalui laporan portal internet dan melalui media sosial warga Malaysia dapat mengesan pergerakan pemain utama Ombak Baru ini.

Mereka berpindah-pindah dari satu bandar ke satu bandar memberi penerangan. Mereka sedang mencari buah pandangan orang ramai tentang perincian garis politik Ombak Baru. Mereka sedang mengumpulkan semua fikrah untuk berfikrah.

Seperti biasa para Kang Kong dari pelbagai ceruk mula bersuara. Ada yang berpendapat bahawa sebuah parti baru jika ditubuhkan pasti akan gagal. Hujah Kang Kong ini dibuktikan dengan Hamim, KITA dan BERJASA. Pengalaman Semangat 46 juga menjadi hujah dan bukti yang memperkuatkan lagi hujah para Kang Kong ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa Hamim, KITA, BERJASA dan Semangat 46 akhirnya tutup kedai. Harus disedari bahawa parti-parti ini bukan Ombak Baru.

Parti-parti ini tidak dilihat ‘cool’ oleh anak-anak muda. Pemain utama parti-parti ini tidak dilihat ada kaitan dengan politik jalan raya. Pemimpin parti ini tidak pernah dilokap jauh sekali direhatkan di Kamunting.

Bukan ini sahaja. Ada satu perkara yang wajib difahami. Suasana dan ambience politik Malaysia dan dunia sedang berubah. Ketika Hamim atau Semangat 46 bergerak tidak wujud Malaysikini atau The Malaysian Insider. Tidak ada blog. Tidak ada media sosial. Tidak ada YouTube. Ketua Twitter Negara belum wujud.

Semua ini adalah ciri-ciri garis pemisah antara yang jumud dan kotai dengan dunia sekarang. Suasana ini akan menjadi bidan untuk menyambut kelahiran parti baru hasil dari Janji Bakri.

Wajah baru

Hakikatnya, pada hari ini penyebaran maklumat bukan lagi dimonopoli oleh United Malays National Organisation. Berita dan propaganda bukan hak mutlak Bani Ketuanan Melayu. Dengan wujudnya Internet semua kemungkinan untuk menyebar dan menyampai berita dan maklumat berada di hadapan mata.

Ini bukan bermakna apabila wujud sahaja parti baru ini maka dengan serta merta ianya menggelembung, merebak dan meluas. Ini anggapan salah.

Sebuah parti politik memerlukan wajah untuk melahirkan persepsi. Politik ialah persepsi yang direka dan dibangunkan. Semua ini memerlukan fikrah, strategi  dan perancangan yang terperinci. Semua ini memerlukan kerja keras.

Suasana dan iklim politik Malaysia pada ketika ini cukup ranum untuk menyambut kelahiran sebuah parti politik Ombak Baru. Pemenjaraan Anwar Ibrahim, pembunuhan Altantuya, kewujudan penyamun Jho Low dalam 1MDB dan kerenah Rosmah Mansor adalah latar politik kita pada ketika ini.

Semua ini adalah peluru berpandu Scud yang wajib disasarkan untuk meledakkan United Malays National Organisation

Suasana politik Malaysia bertambah rancak dengan sikap Mahathir Mohamad yang terus menyerang Najib. Dalam masa yang sama Najib Razak kelihatan tidak lagi memiliki kudrat untuk memimpin dan mengendalikan negara melalui dasar. Negara Malaysia hari ini bergerak dengan sendiri, justeru ekonomi dan nilai ringgit kita semakin merundum.

Najib ketika ini hanya berupaya menabur duit untuk mencari sokongan. Berapa lama agaknya Si Najib ini akan selamat menjadi Santa Claus? Atau seperti filem Jean-Luc-Goddard – Najib akhirnya akan putus nafas. Akan sampai ketika apabila kantung negara akan kosong kerana semua fulus telah beralih masuk ke dalam Beg Birkin.

Justeru untuk menghindar dari malapetaka ini maka kita wajib bersedia dilanda Ombak Baru. Bersedia untuk menerima kelahiran sebuah parti politik baru dengan garis politik baru.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger