Oleh Dr Afif Bahardin
Saya menyambut baik saranan kumpulan aktivis Anak Muda yang menggesa
seluruh parti politik pembangkang untuk kembali ke meja rundingan dan
membentuk satu pakatan politik baru yang lebih kuat dan inklusif untuk
berhadapan dengan UMNO dan Barisan Nasional.
Gesaan mereka ini pastinya mewakili sebahagian besar suara anak muda
yang mahu melihat satu barisan pembangkang yang benar - benar jitu dan
kukuh, berdiri di atas prinsip-prinsip keadilan, keterbukaan dan dengan
harapan membentuk masa depan Malaysia yang lebih cerah. Kewujudan
barisan pembangkang yang kuat bukan sahaja mampu mengimbangi kekuasaan
Barisan Nasional, tetapi juga mampu menjadi suara yang mewakili rakyat
Malaysia menghadapi tempoh yang mencabar ini.
Harapan yang diletakkan anak muda kepada parti pembangkang untuk menjadi
alternatif yang lebih baik kepada Barisan Nasional tidak harus
dipersia-siakan. Saya memandang keperluan untuk semua parti politik
pembangkang, baik di peringkat sayap dan juga organisasi induk kembali
ke meja rundingan dan mengariskan ketetapan dan dasar bersama untuk
membentuk pakatan politik yang jitu sebelum Pilihan Raya Umum ke 14.
Saya yakin Parti Keadilan Rakyat mampu untuk menyediakan wadah bagi
setiap parti politik pembangkang untuk duduk di meja rundingan dan
memacu pembentukan satu kerjasama politik baru yang dibina atas prinsip
dasar bersama yang boleh dipersetujui. Saya juga ingin mencadangkan agar
usaha ini dimulakan segera, dengan memulakan rundingan untuk membentuk
satu pakatan politik yang kukuh di Sarawak bagi menghadapi Pilihan Raya
Negeri Sarawak. Diharap dengan bermulanya kerjasama ini di Sarawak di
antara ke semua parti, akan mampu memberi tentangan yang sengit dan
menawarkan alternatif kepada rakyat negeri itu untuk menolak Barisan
Nasional.
Dr Afif Bahardin
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN
0 ulasan:
Catat Ulasan