Menjelang
perhimpunan Bersih 4 yang akan berlangsung hujung minggu ini, Gerakan
Anak Muda
Harapan Baru (GAMHB) hari ini menghantar surat kepada Tan Sri
Muhyiddin Yassin menjemput beliau menyertai protes aman tersebut.
Ketua penyelarasnya Mohd Sany Hamzan berkata, beliau berharap Muhyiddin
dapat bersama perhimpunan yang akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini
bagi menyokong perjuangan terhadap 5 tuntutannya.
"Kami percaya sebagai bekas timbalan perdana menteri, Muhyiddin
merasakan negara ini perlu diselamatkan. Malah lebih penting, rakyat
menunggu seorang bekas timbalan perdana menteri untuk berani keluar
perjuangkan masa depan rakyat.
"Yang kita maklum sekarang ini, keadaan negara kita amat sakit, ekonomi
menjunam dan keadaan politik yg tak menentu," katanya kepada pemberita
selepas beliau dan rombongan sayap Pemuda GHB itu menyerahkan surat
jemputan tersebut.
Beliau berkata, Muhyiddin sebagai bekas pimpinan kerajaan dan kini
masih timbalan presiden Umno, dikenali sebagai pemimpin mempunyai
integriti moral yang tinggi dan berani.
"Sebab itu rakyat mengharapkan Muhyiddin dapat bersama dengan semua
parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), bersama dalam himpunan
Bersih ini," katanya.
Surat jemputan kepada bekas timbalan perdana menteri itu dihantar GAMHB
ke rumah Muhyiddin di Jalan Setiabakti, Kuala Lumpur pagi ini.
Beliau bagaimanapun tiada di rumah kerana berada di luar negara.
Setelah berbincang dengan pengawal keselamatan di situ, surat jemputan tersebut diletakkan di dalam peti surat rumah itu.
Sementara itu, Naib Penyelaras GAMHB Shazni Munir berkata surat
jemputan tersebut merupakan inisiatif daripada pihak mereka sendiri.
Katanya, pihaknya sudah memaklumkan kepada pegawai khas Muhyiddin pada minggu lepas mengenainya.
Shazni juga menyatakan keyakinan Muhyiddin akan menyertai Bersih 4 berdasarkan maklum balas yang diterima pegawai beliau.
"Kita melihat daripada cara pegawainya membalas, seakan positif," katanya.
Putrajaya semalam mengisytiharkan Bersih 4 sebagai pertubuhan haram dan
menasihati rakyat Malaysia supaya tidak menyertai perhimpunan bermalam
di hujung minggu ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim
berkata, kementerian itu mendapati Bersih 4 mampu menimbulkan keresahan
dan kebimbangan di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Bersih 4 adalah satu perhimpunan selama 34 jam bertujuan menggesa
pembaharuan institusi dan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak meletak jawatan.
Ia akan diadakan di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kota
Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak dan beberapa bandar raya utama di
seluruh dunia.
Gerakan Anak Muda Harapan Baru jemput Muhyiddin sertai Bersih 4
Written By Wadah Baru on Rabu, 26 Ogos 2015 | 3:48 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan