Oleh Mohd Sayuti Omar
Tindakan berupa protes ahli Pas keluar meninggal parti agama itu
serta kian rancaknya perarakan (road show) memperkenalkan GHB yang
kemudian akan menjelma menjadi sebuah parti baharu menyebabkan semua
mata pemerhati dan pengamat politik serta orang-orang atas pagar terarah
kepada Pas.
Masing-masing
bertanya apakah akan berlaku kepada parti agama yang sudah melangakau
enam dekad dan berusia 61 tahun itu. Pas menjadi fokus selepas
berlakunya "rampasan kuasa" besar-besar ke atas kepimpinannya dalam
muktamar lepas, dimana kesemua pemimpin yang progresif dan liberal
ditendang keluar. Masing-masing kini menghitung dan mencongak apa akan
jadi kepada Pas kini?
Apakah Pas akan berkubur ditangan orang-orangnya sendiri yang kini
sedang membina parti baharu yang dianggap sebagai pesaing Pas? Ataupun
parti itu tetap akan utuh dan kekal di atas peta politik negara ini, dan
ianya makin mudah mencapai hasrat dan cita-citanya mengapai mardhatilah? Dan
Pas tetap menjadi sebuah parti yang unggul dan parti alternatif kepada
Umno yang ternyata semakin hari semakin rosak reputasinya sebagai sebuah
parti nombor satu negara dikagumi selama ini.
Pas mampu hidup seribu tahun
Kalau mengikut perkiraan dan sifir pimpinan baru Pas kini, terutamanya
dari minda siasah Presiden dan Mursyidul Am, begitulah. Mereka berdua
sangat konfiden Pas mampu hidup walaupun seribu tahun lagi. Dan bagi
mereka kewujudan parti baharu serpihan Pas sedikit pun tidak memberi
kesan dan melemahkan Pas?
Lantaran itu mereka terus menghalau mana-mana ahli yang tidak betah dan
suka dengan Pas. Mereka beranggapan apa yang berlaku kini bukan satu
liabiltiti kepada Pas tetapi suatu pembersihan dalaman.
Perangai dan sikap itulah juga yang menurun kepada pemimpin pelapis
dalam Pas yang berjaya menempatkan diri dalam muktamar yang lalu.
Mendengar bahasa percakapan, maki hamun dan ulasan-ulasan skeptikal dan
sarkastik mereka yang begitu angkuh dan sombong seolah-olah bekas
pemimpin Pas yang lama tidak sedikit pun memberi keuntungan kepada Pas.
Mereka tidak berasakan ketiadaan bekas pemimpin yang kebanyakan
profesional itu sebagai satu kerugian.
Dalam catatan ringkas ini saya tidak mahu mengira dan menghitung nasib
dan implikasi ke atas masa depan Pas dengan terwujudnya parti baharu
kelak. Tidak kisah apa namanya, Amanah Rakyat, Parti Islam Progresif,
atau Parti Islam Baharu, tetapi bagi saya kewujudan itu tentu memberi
kesan kepada Pas. Tidak banyak, sedikit. Kewujudahan itu menjadikan Pas
akan terbelah, kalaupun tidak terbelah dua tetapi sebahagian, suku
sudah memadai untuk menderitai Pas.
Yang hendak dipersoal dan didebatkan di sini, mencari jawaban tuntas dan
rasional, apakah parti itu kelak bakal menjadi pembunuh kepada Pas,
kemudian menjadi pengganti Pas dalam komponen Pakatan Rakyat baru dalam
usaha untuk merampas Putrajaya?
Ataupun parti baharu itu menjadi pemangkin kepada Pas menyebabkan parti
itu makin subur dan kuat lagi dan sekaligus mempercepatkan proses
pembentukan kerajaan baharu bersama Pakatan Rakyat? Dalam erti kata lain
parti baru itu dan Pas akan bertindak saling kukuh mengukuhi di antara
satu sama lain seperti aur dengan tebing saling bergandingan.
Kedua-dua kemungkinan itu ada, ia terpulang ke atas kebijaksanaan politik para pemainnya. Kalau pemain politik kedua pihak understanding,
bersikap profesional, keduanya bisa membentuk persefahaman lebih jauh
dan bermakna, ternyata kewujudan parti baharu itu bukan menyusahkan Pas
sebaliknya memperkuatkan Pas. Hubungan sedemikian menjadikan Pas tidak
mengalami kerugian, kekurangan manpower, walaupun ada parti baharu. Kewujudan parti baru itu satu kemujuran dan keperluan.
Jadi apakah parti baharu itu "PENGKHIANAT" atau pun sebenarnya "PENYELAMAT"?
Dari sisi orang-orang Pas, yang taksub dan wala' tanpa berhujah,
walaupun mereka memandang remeh kepada parti baharu itu, sehinggakan
mempersendakan dengan pelbagai konotasi dan ejekan buruk; dianggap
nyamuk, pengorek kapal, menjadi alat kepada DAP, atau hanya hidup
sekejap sahaja dan sebagainya, tetapi hakikatnya tidak dapat
disembunyikan, puak yang hendak menubuh parti baharu itu dianggap
sebagai pengkhianat.
Mereka tidak langsung menyebut perkataan "pengkhianat" itu tetapi
berselindung di sebalik berbagai istilah yang membawa pengertian kepada
maksud itu. Mereka tidak ada sekelumit pun perasaan baik walhal mereka
yang berada di hilir itu adalah dulu sekutu dan kawan mereka juga.
Lebih parah lagi ada yang membuat cadangan agar kewujudan parti baharu
itu hendaklah dibunuh sebelum ia membesar. Biarlah ia dihancurkan
sebelum ia bertunas dan mencambahkan daun, ranting dan dahan. Disini
menujukkan dalam hati kecil mereka yang membuat cadangan itu sudah
terbibit rasa takut dan gundah dengan cabaran bakal didatangkan oleh
parti baharu itu. Kalau mereka tidak takut dan gerum masakan tergamak
untuk membunuh bayi yang masih dalam kandungan?
Gelaran dan maki hamun iu semua menunjukkan Pas sangat takut dengan
kewujudan parti baharu itu. Mungkin awalnya ia tidak begitu menakutkan,
tetapi akhir-akhir ini khasnya selepas berlaku tindakan protes keluar
parti beramai-ramai sehingga ada cawangan yang lumpuh baharu rasa
gemetar melanda diri. Fenomena yang berlaku di Selangor, Perak, Penang,
Johor dan lain-lain, dimana beberapa kawasan Pas berhadapan dengan
tindakan keluar parti memberi kesan menakutkan kepada pimpinan Pas
menyebabkan mereka terpaksa mengubah strategi. Rasa ralik berbulan madu
dan selesa beberapa bulan lalu kini sudah bertukar menjadi cemas.
Harap GHB bersama Pas
Sebab itulah sudah ada suara-suara lunak memujuk dan merayu dilakukan
oleh beberepa pemimpin yang insaf dan tahu membaca gelombang politik dan
meramal tentang masa depan Pas yang buruk. Misalnya Timbalan Presiden
Pas Tuan Ibrahim Tuan Man dalam nada merayu berharap GHB akan bersama
Pas untu menumbangkan BN dan begitu juga seruan-seruannya agar
berpolitik secara baik dan sedarhana.
Paling baru Naib Presiden Pas Mohd Amar Nik Abdullah sudah memberi
isyarat Pas akan menarik balik gencatan senjata dengan Umno sekiranya
akta Hudud tidak dibentang di parlimen, Isyarat itu menunjukkan sudah
ada rasa gundah dan gelisah dalam jiwa Nik Amar mengenai masa depan dan
nasib Pas yang mungkin celaka dengan sikap yang diambil kini.
Ekoran perkembangan positif dipihak GHB itu maka berbagai jalan
dilakukan untuk menyekat kemaraanya termasuk menghalang ahli keluar
parti. Ayat-ayat Quran dan Hadith serta petikan kata-kata pimpinan
lampau dikeluarkan untuk memberi keinsafan agar ahli tidak memprotes Pas
dan meninggalkan parti. Namun amaran demi amran berserta dengan ejekan
demi ejekan yang dilakukan tidak memberi kesan, GHB terus bergerak
membuka kepak dan menegakkan paruhnya.
GHB kini sudah tidak main-main lagi. Ahli-ahli Pas dan penyokongnya juga
sudah membuang rasa taksub dan wala' yang tidak berhujung pangkal itu
untuk bersama GHB. Mungkin mereka beranggapan masa untuk merayu dan
berbaik-baik demi Pas sudah terlambat. Tempoh yang mereka berikan sudah
pun berlalu.
Pendeknya semua mereka yang rasa sedih, duka dan kecewa kerana
dipersendakan, bermaufakat dan berganding bahu dan memadu semangat dalam
GHB. Mereka juga sudah bersedia menerima apa sahaja tindakan termasuk
dipecat sebagai ahli Pas dan dikutuk sebagai penderhaka hatta sebagai
ahli Neraka sekalipun. Mereka sudah nekad membina wadah baru tanpa ada
niat seperti mana diprejudiskan kepada mereka, yakni pengkhianat.
Iulah tuduhan dan itulah persepsi kepada GHB yang digambarkan. Gambaran
ini mudah dimakan dan ditelan oleh mereka yang tidak mahu berfikir atau
pun lemah dalam menghadapi metametika dan sains politik. Mereka yang
mengenal politik dengan abjad dan huruf dan mengamalkan dongengan
politik dari ustaz-ustaz konsevertif langsung menerima umpanan itu tanpa
menghitung dan mentafsir apa yang ada di sebaliknya.
Sebaliknya bagi mereka yang cekap membaca politik dan tahu pergerakan
arus bawah, tidak mudah untuk menerima cercaan dan tuduhan bahawa GHB
atau parti baharu nanti sebagai pengkhianat kepada Pas. Atas dasar
kemanusiaan dan prinsip yang mereka (pimpinan GHB) dokongi selama berada
dalam Pas ada sejak lebih 30 tahun setengahnya lebih 50 tahun, rasanya
tidak ada sekuman kurus pun niat mereka untuk mengkhianati Pas.
Dengan menganalisa hujan dan alasan mereka, penubuhan GHB bukan untuk
mengkhianati Pas jauh sekali menderhaka dan menyelewengi Islam yang
menjadi dasar Pas. Penubuhannya umum sudah tahu punca dan apa
masalahnya. Ia ditubuh setelah kumpulan dalam GHB itu dibuang, menjadi
orang kalah yang terbuang kemudian diseksakan dengan kata-kata nesta dan
gelaran yang comot.
Sebelum tertubuhnya GHB, dan bergerak untuk megagaskan sebuah parti
menjadi wadah perjuangan mereka, sudah ada usaha-usaha dilakukan untuk
mengendurkan pertelingkahan dalam Pas. Seruan dan ajakan sudah dibuat
kepada pemimpin baharu Pas agar berlembut dan mengambil sikap untuk
berbaik denghan semua pihak. Cadangan agar diadakan tindakan berbaik,
adakan majlis mahabbah dan dengan memberi kerja dan fungsi tertentu kepada mereka, tidak dipedulikan.
Penulis sendiri sudah lenguh mulut dan tangan menulis menggesa agar satu
usaha dilakukan untuk merapatkan saf dan mempereratkan persaudaraan
keahlian dan kepenyokongan parti selepas muktamar. Usaha membuang yang
keruh dan mengambil jernih dilontar dan disarankan. Sayangnya seruan itu
tidak diendahkan dan tidak dianggap penting menyebabkan ia berlalu
bagaikan angin lalu sahaja. Malahan mereka di sebelah sini diterajang
dengan kata-kata sindiran yang memedihkan.
Apabila puak yang kalah, yang berasa mereka tidak diperlukan mengagaskan
wadah baharu sebagai keseninambungan perjuangan mereka, maka mereka
tidak boleh dipersalahkan. Semua pihak kena terima, mereka sebagai
pejuang mereka tidak boleh berhenti ditengah jalan. Pilihan buat mereka
sebagai pejuang hanya dua; mencapai kemenangan, sama ada mati dalam
perjuangan atau dapat mencapai piala perjuangan memiliki kuasa. Itu
adalah sifat dan sunnah orang berjuang.
Penafian hak sebagai pejuang
Penubuhan GHB adalah kerana mereka tidak dilayan, dinafikan hak malahan
diejek-ejek sedangkan jiwa perjuangan mereka membara, maka mereka
menubuhkan wadah untuk mereka bergerak. Penubuhan itu bukan bersifat
untuk bersaing dengan Pas sebaliknya sebagai menyediakan wadah kepada
mereka yang ditolak untuk berjuang dalam Pas. Mereka tidak boleh bersara
daripada berjuang hanya kerana Pas tidak mahu menerima mereka atas
sebab-sebab personal dan sentimen. Pintu untuk menuju ke Syurga bukan
sahaja melalui Pas tetapi masih banyak pintu-pintu lain.
Jelas penubuhan parti baru itu sesutau yang postif kerana ia boleh atau
akan bergerak bersama Pas. Matlamat parti baharu juga adalah mendokong
prinsip dan dasar yang diamalkan oleh Pas. Ia juga berlandaskan kepada
prinsip dan dasar religionisme. Disini tidak ada konflit dan kontradik
sama sekali kerana selagi mereka berpegang kepada kitab-kitab dan
tafsiran yang sama, mereka akan bersama kerana prinsip dan konsep agama
itu itu tetap sama sebab ia rigid, (kadim) tidak berubah Apa yang
mungkin berbeza ialah pendekatan, mekanimse dan teknik perjuangan
sahaja. Itu boleh disesuaikan dengan menggunakan akal kebijaksanaan.
Perbezaan dalam pendekatan dan teknik itulah juga menyebabkan mereka
ditolak beramai-ramai dalam Pas, kerana mempunyai kefahaman agama serta
mengambil pendekatan yang tidak sama dengan apa yang mereka fahami,
konservetif dan masih kekal berfahaman ortodoks. Golongan profesional
ini pula menolak pegangan dan fahaman itu kerana ia tidak bersifat
dinamik lagi dan sudah out of date. Jadi janganlah ada yang
menuduh penubuhan parti baharu adalah sebagai alat untuk memecahkan Pas,
jauh sekali sebagai mengkhianati parti agama itu. Dengan adanya tuduhan
dan prejudis itu maka pimpinan, ahli Pas dan GHB ini akan bertekak
hingga ke Neraka. Tidak ada untung dan labanya.
Lantaran itu jika difahamai dengan baik, fikiran yang jilah, maka
penubuhan parti baharu adalah sebagai penyelamat kepada matlamat
perjuangan Pas, iaitu Islam - keselamatan dan kesejahtraan sejagat. Jika
ini difahamai dengan baik jelaskan kewujudahan parti baharu itu sebagai
pemangkin kepada Pas bukan penghurai kepada kepaduannya yang sudah
dikecapi selama ini sehinggakan Pas mampu menguasai beberapa buah
negeri.
Politik itu bersifat dinamik dan selalu menuntut akal fikir bagi
membangunnya. Untuk kedua parti ini menjalani kerjasama bagi menghadpai
musuh yang sama, tidak ada masalah. Kerana mereka sudah lama berada
dalam satu bumbung, masing-masing sudah faham kelemahan dan kekuatan
masing-masing. Jadi ia tidak perlu kepada intraksi mendalam lagi untuk
meserasikan gerakan bagi berhadapan dengan musuh.
Musuh parti baharu, tetap sama dengan musuh Pas iaitu kezaliman dan
kekejaman yang dilakukan kerajaan yang memerintah hari ini. Kalau parti
baru menjadikan skandal 1MDB dan penyonglapan wang ke akaun Perdana
Menteri sebanyak RM2.6 billion sebagai satu pengkhiatan, maka begitulah
juga dengan Pas. Pas juga seharusnya menentang dan ganyang Najib atas
skandal yang sama. Itu sepatutnya.
Melainkan Pas dibawah kepimpinan baharu kini sudah tidak lagi menganggap
kerajaan dan Umno sebagai musuh mereka, atau skandal 1MDB dan
penyonglapan dana itu sebagai tidak satu kejahatan, maka ini menyebabkan
musuh mereka berbeza bahkan antara keduanya akan bertukar menjadi
pesaing dan seteru yang tegar. Sekiranya Pas mengambil sikap menyokong
dan melindungi kejahatan dilakukan kerajaan itu, maka tidak ada helah
untuk GHB wujud dan menentang Pas kerana itu adalah kewajiban dan
tanggungjawab ummah.
Melihat kepada kenyataan dan sikap diambil oleh Pas berhubung kejahatan
dan kezaliman yang melibatkan Najib Razak menjelaskan ada kecenderongan
Pas menjadi pembela kepada Najib. Misalnya kenyataan diberikan oleh
Presiden dan Mursyidul Am Pas agar Najib diberi peluang memerintah dan
menjawab segala masalah dihala kepadanya, memperlihat ada simpati dan
sikap apologetik Pas kepada Umno. Sikap dan tindakan demikianlah menjadi
tanda tanya dan tentunya menyebabkan pemimpin GHB dan rakyat umum kian
keliru dengan pendirian dan sikap Pas.
Dengan mencerakin dan menganalisa segala titik mula itu, maka jelas
kewujudan parti baru bukan pengacau dan menjadi musuh kepada Pas, tetapi
tepatnya ia sebagai penyelamat dan pengimbang kepada Pas yang mungkin
terbabas kerana tersilap dalam membuat tafsiran dan menerima kawan baru
dalam politik yang hakikatnya ia adalah musuh dunia akhirat Pas sejak
dahulu. GHB atau parti baharu akan bertindak sebagai safty boat
kepada bahtera bernama Pas yang bakal diancam gelombang besar sekiranya
parti itu berbaik sangka melebihi sejarah tatkala mula kepada Umno.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan