Home » , » Keluar PAS bukan bermakna keluar Islam, kata Siti Mariah

Keluar PAS bukan bermakna keluar Islam, kata Siti Mariah

Written By Wadah Baru on Rabu, 19 Ogos 2015 | 7:39 PTG

OLEH NABIHAH HAMID

Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud menegaskan hari ini, tindakan individu yang keluar meninggalkan PAS bukan bererti mereka murtad atau terkeluar daripada agama Islam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai sumpah atau bai'ah yang dikatakan dibuat setiap ahli PAS sewaktu menyertai parti itu.

"Bai'ah itu adalah ikrar. Seperti juga di Parlimen. Kita ada nas dan ijtihad daripada alim ulama. Tetapi, na'uzubillah (minta dilindungi Allah), keluar daripada PAS bukan keluar Islam.

"Ia adalah penghijrahan dari satu pertubuhan kepada satu pertubuhan," katanya pada sidang media mengumumkan peletakan jawatan beliau bersama ahli parti lain dari PAS Kawasan Kota Raja. Dr Siti Mariah bagaimanapun berkata, peletakan jawatan beramai-ramai oleh ahli dalam kawasan Parlimen Kota Raja itu bukanlah sesuatu yang dibanggakan.

"Kami lakukan ini untuk bersama dengan Pakatan Rakyat (PR) dalam memenangi Putrajaya," beliau menjelaskan.

Anggota PAS Kota Raja hari ini mengumumkan peletakan jawatan masing-masing di peringkat cawangan dan kawasan di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kota Raja di Klang.

Bekas yang di pertua PAS Kota Raja, Jaafar Samsudin berkata, 9 daripada 38 ketua cawangan di kawasan itu meletakkan jawatan mereka dalam parti itu hari ini.

"Kami menyahut saranan atau arahan pimpinan agar semua ahli yang hendak bergerak atas wadah baru perlu meletakkan jawatan.

"Dengan rasa penuh tanggungjawab kami merasakan peletakan ini adalah untuk memudahkan ahli jawatankuasa (AJK) yang masih bersama PAS dapat menjalankan tugas atau aktiviti di Kawasan Kota Raja," katanya.

Dr Siti Mariah, yang meletak jawatan sebagai naib yang dipertua PAS Kota Raja berkata, tindakan beliau bukan satu pengkhianatan kepada rakyat.

"Saya tidak khianati amanah rakyat. Saya masih dalam perjuangan Islam. Tetapi, pendekatan politik kami sudah berbeza," katanya.

Pada majlis hari ini, lebih 30 orang pimpinan dan AJK kawasan serta cawangan, termasuk pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), menyuarakan sokongan mereka terhadap perletakan jawatan berkenaan.

Dua lagi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor dijangka akan mengambil tindakan sama dalam masa terdekat.

Mereka ialah Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib.

Seramai 183 ahli yang memegang jawatan dalam PAS Kota Raja meletakkan jawatan selain 227 ahli PAS Kapar dan 3 PAS Klang hari ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger