Oleh Ibnu Yusuf Al-Samari
Saya
mohon mencadangkan sesuatu yang sangat drastik. Sebagai ahli biasa, ini
adalah saluran terbaik yang saya ada untuk mengharapkan ianya
didengari. Cadangan saya ialah agar PAS memulakan langkah menukar
presiden sedia ada, YB. Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada pemimpin
baharu yang lebih dinamik, terbuka, mesra dan berdaya saing dalam
kepimpinan.
Sebaiknya daripada kalangan agamawan seperti ustaz Tuan Ibrahim Tuan
Man atau tokoh ekonomi seperti YB. Husam Musa atau tokoh muda seperti
Saudara Salahuddin Ayub . Oh ya, YB Husam mungkin akan menyertai parti
baharu yang mungkin dinamakan sebagai Parti Amanah Rakyat bersama-sama
dengan Salahuddin Ayub. Jika begitu, sesiapa yang layak dan mampu
menggantikan ketokohan mereka nanti, dialah yang saya fikir termasuk
dalam senarai pendek presiden menanti.
Kenapa saya menyarankan pandangan ini? Asas saya tidak susah. Ianya
merujuk kepada kegagalan ustaz Abdul Hadi bertindak menjaga parti
daripada terdedah kepada perpecahan dan kelemahannya membiarkan
kekaburan dalam matlamat jangka pendek parti serta strateginya. PAS
masih seperti dilambung ombak. Nakhoda, walaupun seorang, jika gagal
mengemudi bahtera, tiada makna kemudi di tangannya. Lepaskan sahaja
kepada tangan lain.
Dalam suasana Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang lemah dan bagi saya
paling lemah sepanjang 20 tahun kegemilangan parti, kekeringan tokoh
ekonomi dan strategis serta kecelaruan pemikiran politik dan organisasi
yang tiada sekata antara ahli dan pimpinan, PAS perlu disuntik dengan
dos yang tinggi, dari atas.
Presiden baharu perlu menyusun semula organisasi parti secara betul.
Jauhkan puncak pentadbiran daripada dikuasai sekelompok kecil pemuda
berkelulusan Timur Tengah yang gagal memandu parti bergerak betul.
Kembalikan sokongan anak muda kepada parti melalui keterampilan presiden
baharu mesra pemuda dan golongan generasi Y. Jangan bina tembok pemisah
antara parti, tanzim, ahli dengan masyarakat awam biasa yang langsung
tidak mengenali apa itu tanzim dan jamaah.
Jika PAS adalah platform perjuangan Islam sebenar, mata rantai
perjuangan Rasulullah saw, dan bukannya tokoh tertentu sebagai platform
kekal, maka lepaskan ustaz Abdul Hadi daripada jawatannya sekarang dan
bantulah beliau bertindak selaku Mursyidul Am parti dan tokoh gerakan
Islam seluruh dunia.
Jika PAS mahu dibiarkan kepada beberapa orang bekas pelajar Timur
Tengah mengemudinya, menentukan hala tujunya, atas sangkaan kononnya
mereka adalah kumpulan ulama yang mengetahui segalanya, mendapat
keberkatan dan dekat dengan Allah, maka jangan nanti terkejut masyarakat
berpusu-pusu menyertai parti baharu berlandaskan perjuangan Islam gaya
baharu.
Kita menggunakan khidmat ustaz Abdul Hadi kerana kehebatan ilmu dan
pidatonya. Tiada siapa boleh menafikannya. Tetapi percayalah, akhirnya
ilmu itu akan sampai masanya ia tidak lagi berkembang, sebaliknya
mendatar dengan pengulangan fakta dan info yang diketahui sekian lama.
Percayalah juga, akhirnya seorang pemimpin yang paling baik untuk
mengemudi bahtera bergoncang ini ialah yang mahir memimpin, mengurus dan
mentadbir organisasi dan rakyat. Tidak berguna sokongan padu keliling
pinggang jika pemimpin itu sendiri gagal menguasai parti dan melakukan
reformasi dalaman demi pengukuhannya.
Terima kasih ustaz Abdul Hadi atas jasa dan pengorbanan. Kepimpinan dan
lautan ilmu. Moga Allah merahmati Tuan Guru dan sentiasa dirahmati
dalam perjuangan ini. Ustaz Tuan Ibrahim, kami belum nampak tokoh lain
lebih baik bagi menjadi pengganti. Masuklah ke pejabat baharu dengan
penuh keterampilan dan bijaksana, secepat mungkin.
Jika tuan sayang kepada Tuan Guru, ketahuilah, parti lebih memerlukan kasih dan sayang tuan selaku presiden bernafas baharu.
Jangan berlengah lagi
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan