Oleh Mujahid Yusof Rawa
Dalam
buku terbaru saya, Islam dan Kepelbagaian: Rahmat Untuk Semua (terbitan
Ilham Books), saya memperkenalkan konsep Rahmat, prinsipnya dan
pendekatan untuk membawa nilai Rahmat dalam kepelbagaian kaum dan agama
di Malaysia.
Ianya
tidak hanya membahaskan dari sudut teori dan falsafah, bahkan saya
membawanya kepada dalam konteks realiti fiqh Malaysia dan bagaimana ia
seharusnya berinteraksi.
Oleh sebab asas politik Islam adalah memacakkan pengertian Rahmat
sebagai wahana interaksi dan formula membuat dasar-dasar pemerintahan
maka artikel ini akan fokus kepada aspek siyasah syariah yang
diperjuangkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam merealisasikan
maqasid syariah yang menjadi teras kepada syariat Islam.
Makna Rahmat
Rahmat membawa segala maksud kebaikan dan pemberian yang membawa
kesejahteraan. Bagi Allah kemuncak RahmatNya adalah memberikan
keampunan. Dengan itu kerahmatanNya mendahului kemarahanNya dalam
hubungan Hablum Minnal Allah (hubungan dengan Allah).
Bagi Hablum Minnal Nas (hubungan sesama manusia) pula, Rahmat bermakna
memberikan kebaikan dan kesejahteraan melalui santunan dan memaparkan
keramahan dan ketamahan.
Nabi Muhammad menyifatkan dirinya sebagai nabi Ar Rahmah. Allah menggambarkan nabiNya sebagai Rahmatan Lil Alamin.
Sifat menyantun, sifat Ramat dan tamah menuntut GHB membumikannya dalam
struktur organisasi, dasar yang hendak diperjuangkan dan budaya
interaksi dalam suasana suhu meninggi politik Malaysia dan antarabangsa.
Membumikan dasar Islam Rahmat & ramah
Islam adalah untuk semua berpandukan kepada hadis yang menyebut bahawa
ciri perbezaan Nabi Muhammad berbanding dengan risalah Anbiya sebelumnya
adalah sifat Kaffatan Lin Nas (untuk keseluruhan bangsa manusia)
sedangkan sebelumnya adalah Khassatan Lil Qaum (hanya untuk kaumnya
sahaja).
GHB tidak boleh lagi berdolak-dalik atas prinsip ini dan untuk
membumikannya dalam struktur organisasinya maka ia mesti membuka
keahlian untuk semua warganegara yang layak dan sudah barang pasti untuk
setiap warganegara yang layak menjadi ahli perlu meyakini dasar yang
dipegang oleh gerakan itu iaitu Islam walaupun seseorang ahlinya itu
tidak semestinya menganut agama Islam.
Islam pada hakikatnya dan sumbernya hanyalah satu berpandukan kepada
Inna Addin Inda Allah Al Islam (agama di sisi Allah hanyalah Islam)
namun pentafsiran Islam itu dipertontonkan oleh individu dan jemaah
Islam terjelma dalam pelbagai rupa dan bentuk.
Dunia keliru apakah perwatakan sebenar Islam. Adakah ianya keras dan
marah-marah? Ataupun ianya cair dan longga? Atau Islam itu agama makian
dan cacian pada yang tidak menyokong pandangannya dan jemaahnya?
Islam yang menjadi inspirasi GHB ialah cirinya Syamilah atau
Tadhamuniyah iaitu konsep keterangkuman. Dari dasar politiknya GHB mesti
memperjuangkan nasib semua bangsa dan kaum serta pelbagai agama di
negara ini sebagaimana ia juga perlu menyantuni semua peringkat strata
sosial dan mengambil kira pelbagai aspek kesan keputusan politiknya.
Keterangkuman menuntut gaya interaksi ramah dan tamah lewat budaya
dialog, perundingan dan laras bahasa yang menyantuni walaupun pada
penentangnya. Keterangkuman juga menuntut isu yang diperjuangkan tidak
eksklusif tetapi inklusif.
Persoalannya bukan sahaja soal agama tetapi juga ekonomi, pendidikan,
sosial, budaya, perundangan dan antarabangsa. Keterangkuman juga melihat
aspek perlaksanaan dengan mengambil kira perundangan negara, kerangka
sistem politik tempatan dan antarabangsa.
Alat memahami dan membuat pertimbangan itu dalam siyasah syariah
ialah Maalatul Afa’al (timbang kira kesan tindakan) yang diperuntukkan
Islam. Ini termasuk kepada pelaksanaan Islam secara berperundangan
seperti hudud.
GHB perlu berani mendepani pendekatan ini dan harus mempertahan prinsip
siyasah syariah tanpa perlu terdesak dan tertekan oleh Islam yang
dibawa oleh sesetengah kelompok yang sifatnya rigid dan keras kerana
kejahilan tentang khazanah prinsip itu yang melimpah.
Syariah perlu dilihat dalam kerangka yang luas mendepani persoalan
kehidupan keseluruhannya bukan sahaja soal undang-undang semata-mata.
Islam yang mesti diusahakan untuk dibawa oleh GHB ialah cirinya yang
manusiawi berpandukan kepada Karamatul Insan yang dianjurkan oleh dalah
surah Al Isra ayat 70.
Dasar yang melantun dari prinsip ini ialah mempertahankan hak. Sama ada
hak itu diperuntukkan dalam Perlembagaan negara seperti Islam sebagai
agama rasmi negara dan agama lain bebas untuk diamalkan, sama ada hak
sama rata dalam mendapat keadilan seperti artikel 8 Perlembagaan
Persekutuan mahupun hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah,
Sarawak.
Kesemua hak itu lahir daripada Karamatul Insan (kemuliaan insan) yang
cuba dipelihara oleh perlembagaan negara. Ini termasuk hak berhimpun dan
berorganisasi serta memberikan pandangan adalah kebebasan yang perlu
dipertahankan bukan disekat.
Hak Asasi Manusia perlu juga diperjuangkan oleh GHB dan perlu punya
ketetapan sikap Islam yang Syamilah dalam melanggan persoalan besar ini.
Penetapan kepada piawaian akhlak yang dianjurkan oleh Islam perlu lewat
pendidikan dan dakwah bukan menggunakan kekerasan dan semata-mata
penguatkuasaan.
Lingkungan masalah akhlak terbahagi kepada ruang awam dan ruang
peribadi. Hanya apabila ruang awam dicerobohi maka penguatkuasaan
undang-undang yang sedia ada perlu digunakan.
Selagi perilaku akhlak yang tidak mengikut piawaian Islam dilakukan
secara ruang peribadi maka kesalahannya adalah antara pelaku dan Allah.
Jika kita mengetahui perbuatannya yang dilakukan dalam ruang
peribadinya maka hendaklah menasihatinya dengan cara baik semoga ia
menjadi umat Islam yang baik.
Dosa yang ditetapkan oleh syariat atas perbuatan tertentu tetap berdosa
dan Allah membuka ruang untuk istighfar dan bertaubat, bezanya ialah
apabila ia lakukan secara terang-terangan ataupun secara tertutup maka
penguatkuasaan adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang
ada.
GHB perlu tegas dalam meletakkan persoalan akhlak ini agar Islam itu
tidak dijadikan alasan sebagai unsur pemaksaan tetapi perlu lebih banyak
mendidik dan menunjukkan contoh yang baik.
Penerimaan wujudnya kepelbagaian adalah ciri Islam Rahmat & ramah
yang mesti diusung oleh GHB. Kenyataan bahawa Allah menciptakan alam ini
dan segala isi kandungannya dalam kepelbagaian adalah satu tanda
kebesaran pencipta.
Di sebalik kebenaran yang diimani oleh umat Islam, ia tidak mewajarkan
kebencian hubungan antara agama. Mudahnya, prinsip La Ikraha (Tiada
Paksaan) adalah manifestasi kepada penghayatan Islam yang Rahmat dan
ramah.
Memberikan hak kebebasan beragama adalah sebab kenapa Islam berkembang
kerana Islam mengajar kita bahawa hanya Allah sahajalah yang memberi
hidayah. interaksi yang wujud ialah berdialog dan berhujah dengan cara
yang bertamadun.
GHB tidak boleh berkompromi dengan mengizinkan dirinya dibawa arus
hanyut daripada fahaman agama yang dogmatik serta yang memaksa-maksa
manusia.
Menterjemahkan siyasah syariah
Siyasah syariah adalah disiplin yang membicarakan tindak-tanduk
pentadbiran sesebuah negara berpandukan kepada prinsip-prinsip syariat
mengikut ketentuan semasa untuk mencapai maslahat kepada orang ramai
yang dipimpin.
Memberi kehidupan yang selesa, ketetapan perundangan, penetapan cara
pemerintahan dan menjaga keamanan dalam dan luar negara daripada diancam
adalah tugas sebuah pemerintahan dengan mengambil kira kaedah yang
boleh berubah mengikut hukum sama ada wujud atau tiada ataupun mengikut
kaedah Maalatul Afa’al yang melihat kesan tindakan sama ada akan membawa
mudarat atau maslahat, mahupun memakai kaedah aulawiyat (keutamaan)
yang melihat keutamaan dalam mempertimbangkan perlaksanaan perintah
Allah secara Wadhi’e.
GHB yang bakal menjadi platform politik untuk memerintah negara perlu
ada sikap yang akan membentuk dasar yang jika ia memerintah, kerajaannya
akan melaksanakan siyasah (polisi atau kebijakan) tertentu.
Contohnya ialah model negara yang digagaskan ialah negara Madaniyyah,
budaya politik yang dibawanya ialah demokrasi, dasar pendidikannya ialah
pendidikan rakyat, ekonomi yang digagaskan ialah menggarap jurang
ketaksamaan manakala dasar sosialnya ialah peluang sama rata.
Begitu juga dasar buruhnya ialah pekerjaan dan produktiviti manakala
dasar hijaunya ialah kelestarian dan tenaga boleh diperbaharui. Dasar
hubungan antara agamanya ialah memelihara hak dan berdialog.
Ini antara contoh kepada tawaran yang bakal menentukan negara yang akan
dibentuk selagi ianya tidak bercanggah dengan prinsip syariah dan
membawa maslahat terbaik untuk semua.
Soal Islam dalam kerangka negara mestilah ditetapkan oleh peruntukan
perlembagaan dan perundangan yang ada. Segala percanggahan dengan Islam
dalam kerangka syariah perlu ditangani dengan kebijaksanaan siyasah
syariah.
Jikalau sesuatu perkara tentang Islam memerlukan untuk dilontarkan
dalam ruang lingkup pemerintahan maka hendaklah ianya diluluskan
mengikut lunas demokrasi sebagai keabsahan sebagai sebahagian daripada
polisi negara.
Percanggahan dalam melihat Islam dalam “Syariah vs Islam” dalam
kerangka negara perlu ditangani secara objektif dan bukan emosi dan
semua pihak perlu mencari jalan terbaik melalui proses demokrasi,
dialog, pendidikan dan desakan yang diizinkan.
Penolakan atau perbahasan dalam kerangka negara isu Islam seharusnya
tidak dilihat “menentang syariat Allah” tetapi ia perlu dilihat dalam
bingkai kekangan peruntukan perundangan negara yang memerlukan proses
demokrasi untuk menjayakannya.
Inilah yang membezakan pembawaan Islam secara politik dan Islam secara kekerasan.
Siyasah syariah juga menetapkan suasana setempat sebagai faktor utama
mendefinisikan tindakan politik. Malaysia memerlukan satu ketetapan
tentang suasana setempat dalam menentukan tindakan yang tidak bercanggah
dengan prinsip syariah.
Suasana kemajmukan yang agak tinggi di Malaysia adalah unik dalam
menetapkan panduan syariat dalam pemerintahan. Keperwakilan dalam
Parlimen Malaysia yang membahaskan isu Islam sudah tentu tidak sama
semangatnya dengan ahli Parlimen yang majoritinya umat Islam.
Peluang kepada ketegangan hubungan antara agama di Malaysia agak tinggi
sehingga memerlukan keutamaan hubungan ini dipelihara berbanding dengan
segala keperluan lain dan kerana itu isu Islam perlu dibawa dengan
mengambil kira realiti ini.
Dengan kata lain GHB perlu menyediakan tapak untuk terbentuknya kaedah fiqh Malaysia mengikut kesesuaian suasana setempat.
Siyasah syariah menetapkan kerangka Perlembagaan negara sebagai realiti yang membentuk kedaulatan sesebuah negara hari ini.
Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan premis warganegara sebagai satu
hak yang dilindungi. Umat Islam vs bukan Islam dalam pandangan premis
ini sama sahaja dan oleh kerana itu kerangka umat Islam vs Kafir Harbiy
atau Dzimmy sudah tidak relevan lagi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Diskriminasi agama atau kaum dilarang sama sekali dalam Perlembagaan
Persekutuan dan GHB perlu tegas dalam menetapkan prinsip ini dalam
suasana bentuk politik Malaysia yang berteraskan etnik dan ras.
GHB perlu tamatkan politik perkauman dengan menjanjikan Malaysia
sebagai bebas perkauman jika ia ambil alih dan perlu menetapkan
agendanya ke arah itu.
Sememangnya tidak mudah untuk mendatangkan sesuatu yang baru apatah
lagi jika dikaitkan usaha ini adalah sesuai dengan tuntutan Islam.
GHB terpaksa berhadapan dalam medan falsafahnya terlebih dahulu kerana
di sinilah pertembungan hebat berlaku antara kelompok Islam yang
beroperasi di seluruh dunia.
Semasa pasca kebangkitan Arab membicarakan kegagalan politik Islam
memenuhi kekosongan yang ditinggalkan regim diktator, Malaysia melalui
proses demokrasi perlu membuktikan bahawa kewujudan politik Islam adalah
sesuatu yang mungkin dan boleh berlaku.
Namun kemungkinan itu memerlukan parti berteraskan Islam merombak cara
ia berfikir dan cara ia beroperasi dalam satu usaha Rejuvenasi dan Islah
untuk meyakinkan dunia bahawa Islam Rahmat & ramah melalui khazanah
siyasah syariah adalah kunci kepada perkara ini boleh berlaku.
-
See more at:
http://www.themalaysianinsider.com
Membumikan Islam Rahmat dan ramah bukan Islam marah-marah
Written By Wadah Baru on Khamis, 6 Ogos 2015 | 8:24 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan