Home » , » Parti baharu dilancar sebelum 31 Ogos terbuka pada bukan Islam, kata GHB

Parti baharu dilancar sebelum 31 Ogos terbuka pada bukan Islam, kata GHB

Written By Wadah Baru on Sabtu, 15 Ogos 2015 | 9:07 PTG

Parti baharu Gerakan Harapan Baru (GHB) yang bakal dilancarkan sebelum sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos ini, dibuka kepada bukan Islam untuk menyertainya.

Timbalan Pengerusi GHB Salahuddin berkata, sebahagian besar ahli kumpulan ditubuhkan pemimpin progresif PAS itu akan menyertai parti baharu yang masih belum diputuskan namanya itu

"Ia juga dibuka pada bukan Islam, tapi kami kekalkan dasar Islam. Tentang nama, kita tunggu satu sidang akhbar akan dipanggil.

“Terpulang nanti sekiranya ada di antara kami yang ingin ataupun ada pandangan GHB perlu kekal sebagai NGO, tapi yang pastinya sebahagian kami akan menyertai parti baharu itu," katanya pada sidang di Shah Alam, hari ini.

Bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu berkata, penubuhan parti baharu itu akan turut menjadi pelengkap kepada Pakatan Rakyat baharu sebagai persediaan untuk pilihan raya umum akan datang.

"Itu lebih mudah untuk kita buat keputusan penting, dan kita rasakan perlu diisi dalam kelompangan untuk memperkukuhkan atau membina kembali Pakatan Rakyat," katanya.

Salahuddin turut menafikan parti baharu itu akan dianggap serpihan PAS.

Katanya, ia hanyalah persepsi sesetengah pihak dan gerakan baharu itu tidak akan terperangkap dengan persepsi tersebut kerana sudah terbukti mempunyai banyak sokongan pelbagai lapisan.

"Yang ada di hadapan kami adalah kumpulan masyarakat semua golongan yang menyokong kami. Hari ini terbukti penyertaan luar biasa golongan as-satizah, golongan ustaz yang bersama kami, itu belum lagi memperincikan sokongan kami pada jelajah yang berlangsung yang mana akan berakhir di Kedah.

"Ini membuktikan bahawa kami mendapat sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat negara kita".- .themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger