Bagaimana
Penglibatan Berkesan Politik Islam dalam Kerangka Negara dan Kedaulatan
Undang-undang"
Pujian kepada Allah SWT dan selawat serta salam ke atas Rasulullah SAW.
Saudara-saudara yang dikasihi para ulama peserta Nadwah Ulama Nahdhah
Jadidah di Malaysia, semoga Allah merahmati saudara sekalian dan
memimpin saudara bangkit bersama ummah menuju kedudukan mulia yang
dikehendaki Allah SWT sebagaimana maksud firmanNya: "Kamu adalah
sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia..."
Izinkan saya
wahai saudara yang dikasihi sekalian, untuk saya susun di hadapan
kalian beberapa patah dua kata secara sepintas lalu tentang Siyasah
Syar'iyyah.
Saudara, Islam adalah agama Allah dan ia adalah satu
sistem rabbani untuk seluruh urusan dan keperluan hidup. Islam telah
mencipta satu umat dan tamadun yang telah mengembirakan dunia Islam dan
bukan Islam. Di antara petunjuk-petunjuk Siyasah Syar'iyyah yang utama
dalam Islam, saya gariskan seperti berikut:
Pertama, sistem
politik Islam dibangunkan atas prinsip menjaga maslahah (kebaikan) dan
menolak mafsadah (keburukan). Sekiranya boleh, saya ingin katakan
sebagai mana para ulama kita berkata bahawa Islam datang dengan seluruh
hukum-hakamnya untuk merealisasikan maslahah untuk manusia. Demikian
kata Imam al-‘Iz bin Abdus Salam rahimahuLlah. Maka sistem Islam secara
khususnya berdiri di atas prinsip menjaga maslahah dan menolak mafsadah,
bahkan itulah realiti seluruh syariat Islam.
Kedua, dalam Fiqh
Siyasah Syar'iyyah ada beberapa perkara penting yang dipelihara. Yang
utama sekali ialah Fiqh Realiti Semasa, Fiqh Keutamaan, Fiqh Matlamat
Syarak, Fiqh Implikasi Tindakan dan Fiqh Pertimbangan di antara maslahah
dan mafsadah. Semua hal ini mempunyai pertimbangan dalam menilai
pendirian, mengambil keputusan dan menentukan maslahah yang wajib
direalisasikan dalam kehidupan manusia. Fiqh yang pelbagai jenis ini
hendaklah diberi pertimbangan dan diambil berat, kerana tidak mungkin
kita boleh mengeluarkan hukum tanpa kita mengetahu realiti semasa, tanpa
kita memahami apa yang lebih utama daripada yang lain, tanpa kita
mengetahui apa matlamatnya dan apakah kesan akibat daripada tindakan
itu. Inilah isu-isu yang menjadi perkara asas dan utama dalam Siyasah
Syar'iyyah.
Semua perkara ini mempunyai pertimbangan dalam
menilai pendirian, membuat keputusan dan menentukan maslahah. Di antara
kaedah-kaedah syarak yang terpasak di dalam Fiqh Islami ialah keadaan
fiqh dan hukum syarak itu berubah menurut zaman, tempat, keadaan dan
individu. Semua itu berdasarkan prinsip menjaga maslahah sebagaimana
anda ketahui. Perkara ini amat penting untuk diberi perhatian,
dipasakkan dan dipelihara.
Ketiga, di sana ada satu terminologi
yang mungkin baru dari segi pengistilahan tetapi sudah lama sebagai
pasakan usul, iaitu istilah Fiqh Haraki. Fiqh Harakah adalah berbeza
dengan Fiqh Kitab. Fiqh Kitab mungkin anda boleh baca daripada
kitab-kitab dan anda akan memahami apa yang ditulis.
Manakala Fiqh
Harakah pula, anda mesti memerhati situasi, perubahan dan perkembangan
terkini. Secara ringkas saya mengatakan bahawa kehidupan Nabi SAW telah
melalui beberapa fasa yang berubah-ubah. Setiap fasa ada ciri-cirinya
dan hukum-hakam yang sesuai untuknya. Sebagai contoh, fasa Makkah tidak
sama dengan fasa Madinah. Fasa sebelum Perjanjian Hudaibiyah tidak sama
dengan fasa selepas itu. Fasa sebelum Pembukaan Kota Makkah tidak sama
dengan fasa selepasnya.
Yang penting dalam kesempatan ini ialah
fasa-fasa selepas tidak memansuhkan atau menghapuskan hukum-hakam
fasa-fasa sebelumnya. Inilah satu isu yang wajib ditekuni oleh para
ulama komtemporari. Isu-isu pemeringkatan fasa dalam gerakan Islam,
dalam fiqh maslahah dan dalam fiqh Siyasah Syar'iyyah merumuskan bahawa
isu-isu selepas tidak memansuhkan isu-isu sebelumnya.
Sebaliknya, bahkan
inilah yang lebih utama, iaitu umat Islam mesti menilai melalui para
ulama tentang situasi fasa yang mereka alami dalam waktu semasa dan
mengambil apa yang sesuai daripada kehidupan dan sirah Nabi SAW. Situasi
kuat tidak sama dengan situasi lemah, situasi aman tidak sama dengan
situasi perang. Inilah yang diucapkan oleh para ulama kita yang muktabar
ketika mentafsirkan ayat (al-Quran Surah al-Baqarah: 106 yang
bermaksud): "Apa sahaja ayat yang Kami mansuhkan, atau yang Kami
tinggalkan, Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya atau yang
sebanding dengannya..", ayat ini dibaca dalam qiraat lain yang muktabar (
ننسأها ) dengan maksud “Kami tangguhkan..” di tempat ( ننسها ) “...Kami
tinggalkan..” itu. Kadang-kadang hukum ditangguhkan kerana sesuatu
situasi atau keadaan yang menyelubungi ummah, maka hal ini hendaklah
diambil perhatian.
Sudah banyak kali saya bercakap tentang hal ini dalam buku saya al-Fiqh al-Haraki al-Mu'asir - Dirasah Ta'shiliyyah Naqdiyyah.
Keempat: Sikap terhadap kebudayaan luar dan tamadun asing. Kita sebagai
umat Islam melihat umat lain dengan akal yang terbuka. Tiada dalam
kebudayaan kita sikap menolak kebudayaan asing, sebaliknya kita
menyaring setiap budaya lantas kita mengambil apa yang baik dan
bermanfaat tanpa melihat sumber dan asal-usulnya. Bahkan kita
mengiktiraf pemilik sesuatu kebaikan, walaupun ia adalah musuh kita. Apa
sahaja kebudayaan, tamadun dan aliran pemikiran asing yang berfaedah
dan tidak bercanggah dengan ketetapan aqidah kita, saya ulang sebut:
ketetapan aqidah kita (iaitu perkara yang bukan ijtihadi dan
teoritikal), maka kita mengambilnya, memuji pemiliknya dan
memanfaatkannya tanpa mengira dari mana ia datang. Inilah yang dilakukan
oleh Rasulullah SAW dalam Perjanjian Madinah dan pujian baginda
terhadap perjanjian Hilfu l-Fudhul. Inilah juga yang dilakukan para
al-Khulafaa al-Rasyidun dalam sikap memanfaatkan ketamadunan asing
seperti sistem al-Diwan (jabatan pentadbiran) dan lain-lain lagi. Dan
boleh juga untuk kita katakan bahawa demokrasi di zaman moden ini
sebagai salah satu bentuk tamadun asing yang kita ambil, dengan
batasan-batasan yang wajib yang sukar untuk kita huraikan dalam waktu
sekarang.
Saya ingin katakan, bahawa kita percaya kepada proses
dialog, interaksi dan krisis di antara pelbagai tamadun dan sejarah kita
menjadi saksi tentang hal itu. Tiada dalam kehidupan kita bersama
kebudayaan dan tamadun lain sebarang bentuk hubungan krisis
berpanjangan. Di sana ada dialog, di sana ada hubungan kerjasama,
interaksi.. bahkan setiap waktu dan keadaan ada pendiriannya.
Akhirnya dalam hal ini, di antara ketetapan agama kita dalam Siyasah
Syar'iyyah ialah memelihara identiti Islam dan kejelasannya. Kita wajib
memelihara identiti Islam yang jelas dan menjaga kemerdekaan identiti
Islam itu, iaitu jatidirinya sendiri, bukan kecairannya.
Keenam:
Di antara ketetapan kebudayaan kita dalam hal ini ialah kita bersikap
terbuka kepada kebudayaan asing dan kita sedia berdialog dengan mereka
serta bekerjasama dengan pelbagai lapisan manusia untuk mencapai
maslahah yang sama dalam kerangkan ketetapan-ketetapan agama kita.
Demikianlah beberapa lontaran spontan berkaitan fiqh Siyasah Syar'iyyah
yang kita harapkan ulama dan para pemikir dalam nadwah yang diberkati
ini dan juga gerakan-gerakan Islam di pelbagai lapangan agar mereka
menyebarluaskannya dalam kalangan umat. Ia adalah asas yang fundamental
daripada asas-asas Islam yang agung dan asas tadbirannya dalam hal ehwal
kehidupan.
WaLlahu a'lam
Terjemahan Ucapan Syeikh Sayyid Muhammad Ferjani (Jurucakap Resmi Parti An Nahdah Tunisia)
Di Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah 2015 (NUNJI)
Anjuran: Harapan Baru Malaysia
"Politik Islam Pasca Arab Spring di Negara Islam"
Written By Wadah Baru on Isnin, 17 Ogos 2015 | 11:22 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan