OLEH YASMIN RAMLAN
Pengerusi
Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu menyindir kronologi isu
syarikat kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh dijadikan
sebagai filem Hindustan.
Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu menggambarkannya sedemikian
ekoran pelbagai masalah yang dihadapi syarikat sarat hutang itu ketika
siasatan dijalankan.
"Isu 1MDB dah jadi filem Hindustan. Polis tangkap SPRM (Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia), SPRM tangkap polis, ketua SB (special
branch) kena tukar, SPRM pula diambil tindakan, dalam pada itu balai
polis terbakar.
"Siapa nak buat filem ini? (Datuk) Yusof Haslam hanya nak buat Gerak
Khas sahaja," katanya ketika berucap di Jamuan Hari Raya dan Pelancaran
GHB Selangor yang dihadiri kira-kira 1,000 penyokong di Dewan Teratai,
Shah Alam malam tadi.
Bekas timbalan presiden PAS itu turut mempersoalkan sama ada individu
yang sebenarnya terlibat dengan rasuah disiasat selepas pihak polis dan
SPRM masing-masing menyiasat sesama sendiri.
"Sekarang berlaku ibu segala skandal, iaitu 1MDB. Mother father of
scandal (ibu bapa kepada skandal) lebih RM42 bilion. Tony Pua, Rafizi
Ramli dedah semuanya (mengenai 1MDB). Tun Dr Mahathir Mohamad, (Tan Sri)
Muhyiddin (Yassin) gelisah.
"Datang pilihan raya adakah BN menang lagi?" soalnya kepada penyokong sambil para hadirin bersorak mengatakan "tidak."
Mohamad bagaimanapun berkata, Barisan Nasional (BN) akan terus menang sekiranya rakyat tidak bersatu.
Bekas ahli Parlimen selama 3 penggal itu mengulangi, walaupun DAP
merupakan parti yang kuat, parti itu juga tidak mampu mengambil alih
negara jika melakukannya seorang diri.
Katanya perkara yang sama akan terjadi sekiranya PAS bergerak seorang diri.
"Tetapi bila 3 parti bergabung tenaga hadapi BN, boleh tak kita ambil alih Malaysia?" soalnya sambil disambut sorakan "boleh".
"Tak boleh, kerana DAP yang kuat – bercerai dengan PAS, PAS yang kuat –
bercerai dengan DAP. Pakatan Rakyat mesti cari 'isteri baru'.
"Isteri baharu itu adalah kami. Cantik, jelita, bertenaga, kuat, menawan, inilah dia Harapan Baru," katanya.
"Inilah negara paling pelik dalam dunia. Oleh itu, kita tamatkan
kepelikan itu. Kita mahukan pilihan raya yang bersih. Kita mahu
berkumpul 29 Ogos ini," katanya yang merujuk kepada himpunan Bersih 4
yang akan diadakan pada 29 Ogos ini.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas acara berkenaan
Mohamad berkata, sambutan orang ramai terhadap GHB menakjubkan walaupun
gerakan tersebut tidak melakukan kempen yang gilang-gemilang.
"Saya nampak sudah menjadi arus rakyat. Kita tidak berkempen sebanyak
mana, tapi sokongan rakyat begitu menakjubkan," katanya kepada pemberita
selepas pelancaran tersebut.
Mohamad turut mengulas spekulasi anak kepada bekas Mursyidul Am PAS
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar dikatakan akan menyertai GHB.
"Itu kita akan periksa dan rakan-rakan (GHB) akan bertemu beliau. Saya
pun tidak ada maklumat mengenai perkara itu dan saya juga lama tidak ke
Kelantan," katanya.
Katanya, keahlian GHB terbuka luas kepada sesiapa pun termasuk pemimpin
PAS, ketika ditanya sekiranya benar Nik Omar akan menyertai GHB.
Kisah 1MDB boleh jadi filem Hindustan, sindir Mat Sabu
Written By Wadah Baru on Isnin, 17 Ogos 2015 | 11:11 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan