Home » , » Surat Terbuka Kepada Datin Seri Wan Azizah, Lim Guang Eng Dan Mohamad Sabu

Surat Terbuka Kepada Datin Seri Wan Azizah, Lim Guang Eng Dan Mohamad Sabu

Written By Wadah Baru on Sabtu, 19 September 2015 | 2:52 PTG

Datin Seri Wan Azizah Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung Democratic Action Party (DAP)

Mohamad bin Sabu
Presiden Parti Amanah Negara (PAN)
.
BANTAHAN TERHADAP CADANGAN UNTUK MENERUSKAN KERJASAMA POLITIK DENGAN PAS DALAM PAKATAN PEMBANGKANG BARU
.
Keputusan pilihanraya bukan hanya ditentukan oleh ‘orang politik’ sahaja, tetapi orang-orang yang tidak berparti adalah merupakan golongan yang membentuk pecahan paling besar daripada seluruh pengundi dan sangat mempengaruhi keputusan di semua kawasan pilihanraya. Jadi, sebarang anggapan yang memperkecil, meremehkan atau membelakangkan terus pandangan orang yang tidak berparti dalam membuat sesuatu keputusan politik bukanlah suatu tindakan yang bijak atau boleh memberi keuntungan kepada parti.
.
Orang yang tidak berparti tetapi menjadi penyokong Pakatan Rakyat lebih ghairah untuk menumbangkan UMNO jika hendak dibanding dengan orang politik yang memegang jawatan dalam parti. Kerana mereka tidak ada apa-apa kepentingan. Harapan mereka cuma mahu melihat pemerintahan yang baik, telus, tidak rasuah, tidak menyeleweng, tidak menyalah-gunakan kuasa, tidak mengumpul kekayaan negara untuk keluarga dan adil terhadap rakyat, itu saja!
.
Berbeza dengan orang yang memegang jawatan, tidak kira di peringkat nasional atau di peringkat cawangan. Samada calon mereka kalah atau menang dalam pilihanraya, tidak banyak beza pada mereka. Mereka tetap boleh terus bermain politik di dalam parti atau dalam pakatan. Tetapi tidak bagi orang atas pagar. Mereka tidak suka berparti. Mereka lebih senang menjadi penyokong yang kuat. Bahkan harapan mereka lebih tinggi dan semangat mereka lebih kuat untuk menumbangkan UMNO kalau nak dibandingkan dengan orang politik. Mereka menyokong PR secara keseluruhan, bukan bersikap asobiyyah yang lebih mementingkan parti sendiri sahaja. Mereka tidak suka terlibat dalam permainan politik dalaman. Sebab itu mereka lebih senang berada di luar parti. Jangan kita lupa, golongan tidak berparti ini mewakili 90% dari jumlah keseluruhan pengundi.
.
Dalam PRU-13 yang lalu, majoriti orang yang mengundi adalah atas sentimen Pakatan Rakyat lawan Barisan Nasional. Pihak PR sendiri telah menetapkan strategi satu lawan satu. Orang yang tidak berparti lebih melihat pilihanraya umum ialah medan untuk memilih Perdana Menteri Malaysia, samada Anwar Ibrahim atau Najib Razak. Orang-orang atas pagar itu mengharapkan sebuah kerajaan yang baik dan telus. Ramai pengundi memilih calon PAS atau PKR atau DAP adalah atas dasar menyokong PR untuk menumbangkan BN yang diterajui oleh UMNO. Itu saja.
.
Apabila sesuatu kawasan itu ditandingi oleh calon PAS, maka PKR dan DAP tidak meletakkan calon. Penyokong PKR dan penyokong DAP juga akan mengundi calon PAS, atas dasar Pakatan Rakyat, bukan sebab mereka sudah jadi orang PAS. Pengundi atas pagar pula, kalau mereka mengundi PAS pun, atas sentimen Pakatan Rakyat nak tumbangkan Barisan Nasional. Tidak boleh dikatakan mereka sudah masuk PAS dan menjadi orang PAS.
.
Jadi, berdasarkan senario itu, bolehkah kita tentukan berapa orang sebenarnya pengundi PAS, berapa orang pengundi PKR dan pengundi DAP dalam satu-satu kawasan parlimen?
.
Kalau pun boleh dikira berapa orang ‘pengundi PAS’ dalam PRU-13 yang lalu, apakah boleh diandaikan bahawa sokongan pengundi pasti tidak boleh berubah atau beralih arah dalam PRU-14?
.
Jadi, atas dasar apa tuan berfikiran bahawa PAS masih diperlukan dalam pakatan pembangkang kerana sebahagian besar pengundi Melayu adalah pengundi PAS? Sekadar bertanyakan pendapat beberapa orang responden dan kebetulan pula responden itu ialah pengundi tegar PAS, maka adakah tuan merasakan hasil kaji-selidik itu tepat dan wajar dijadikan asas petunjuk dalam merangka strategi politik?
.
Kak Wan, Guan Eng dan Abang Mat,
Orang mengundi calon PR dalam PRU-13 yang lalu adalah kerana mereka mahu Anwar Ibrahim jadi PM. Mereka tidak mahu Najib. Mereka sudah tolak BN. Mereka lebih percayakan Anwar dan Pakatan Rakyat. Mereka mengharapkan sebuah kerajaan yang adil dan telus. Mereka memerlukan seorang Perdana Menteri yang baik dan berkemampuan. Kalau calon PAS yang diletakkan bertanding di kawasan mereka, calon PAS lah yang mereka undi. Kalau calon PKR, undi PKR lah, begitu juga dengan DAP…. Tidak patut timbul soal mereka itu pengundi PAS, PKR atau DAP, kerana yang pasti mereka adalah pengundi Pakatan Rakyat. Anwar berjanji, kalau PR memerintah, kerajaan akan menurunkan harga petrol, pendidikan percuma, PTPTN dimansuhkan; mereka menyambut janji itu dengan penuh harapan dan turut membantu sebarang usaha untuk menumbangkan UMNO…. Inilah sebabnya kenapa PR dapat undi yang tinggi dalam PRU-13 lalu…. Bukan sebab kehebatan jentera PAS atau PKR atau DAP…. Jentera parti hanya sekadar memeriahkan suasana pilihanraya semata-mata… Orang mengundi bukan kerana terpesona dengan jentera parti.
.
Jadi, atas alasan apa tuan merasakan PAS masih diperlukan dalam pakatan pembangkang yang baru? Pakatan yang lama hancur disebabkan kerenah Presiden PAS, sekarang mahu buat pakatan baru, lagi mahu ajak PAS? Sejak pilihanraya 2008, PAS tidak berhenti-henti cuba menikam PR dari dalam, berulangkali melakukan khianat, berunding dengan UMNO secara senyap-senyap, tidak menghormati PKR dan DAP, melanggar keputusan mesyuarat, memburukkan Anwar Ibrahim, menentang DAP secara terbuka dengan memainkan sentiment agama dan kaum; apakah tuan merasakan perlu untuk terus bekerjasama dengan parti seperti PAS? Kenapa..? Adakah kerana tuan hanya mementingkan politik tuan semata-mata, tanpa perlu memikirkan perasaan sebahagian besar pengundi yang telah banyak terluka dengan tindak-tanduk PAS selama ini?
.
Tidakkah tuan mahu mendengar suara hati pengundi tidak berparti yang menjerit dan melolong ingin memberitahu ‘Jangan berpakat apa-apa dengan PAS…! Kami menolak PAS secara total…! Kami sudah hilang kepercayaan kepada PAS…! Kami telah bersedia untuk pertarungan 3 penjuru…. Tiga penjuru adalah lebih baik dari dua penjuru yang ada PAS di dalamnya…. Kalau berpakat dengan PAS, PR 2.0 akan kalah sebelum masuk gelanggang lagi…. Sebelum pilihanraya pun, PR telah kalah, paling akhir pun pada hari penamaan calon. Samada berada di dalam PR atau di luar PR, PAS tetap akan tindan calon….. Kalau tragedi di hari penamaan calon PRU-13 lalu tidak kita jadikan pengajaran dan peringatan, apa lagi kebaikan yang boleh kita ambil dari kejadian tindan calon itu?
.
Berperang dengan musuh secara berdepan lebih mudah dari menghadapi ‘musuh dalam selimut’ yang menikam dari dalam. Jadi, biarkanlah PAS berada di luar PR…. Penyokong yang berada di luar parti, sebahagian besarnya berkata : “Kalau PAS ada sekali dalam PR 2.0, aku akan tutup buku politik dalam diari hidup ku, dan aku tidak akan mengundi dalam PRU”…. Itu kata sebahagian besar dari penyokong PR yang berada di luar parti, setakat yang saya dengar…. Hampir semuanya mengucapkan perkataan yang sama….. Tidak percaya lagi kepada PAS, tidak setuju PAS sertai pakatan baru, kalau ada PAS, semuanya tidak mahu ambil tahu hal politik lagi.
.
Sekian saja untuk kali ini. Terimakasih.
.
Abe Awang Malaya
b/p Jebonesta

1 ulasan:

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger